Pages

Thursday, January 28, 2010

Luka di tangan dapat diubat, luka di hati siapa tahu

Oleh Hassan Mohd. Noor
hassan.noor@utusan.com.my

APA yang berlaku di China, Indonesia dan selatan Thailand serta banyak negara lain di dunia sejak kebelakangan ini amat mendukacitakan. Kita simpati terhadap nasib masyarakat Islam di selatan Thailand.

Begitu juga dengan rakan seagama di China berikutan rusuhan kaum yang turut melibatkan etnik Uighur di Xinjiang. Begitu juga dengan letupan bom di negara tetangga, Indonesia. Syukurlah negara kita masih terselamat daripada peristiwa seumpama ini. Jika tidak, untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara misalnya memerlukan kawalan pasukan keselamatan seperti berlaku di Xinjiang. Mungkin peminat-peminat Manchester United (MU) kempunan untuk menyaksikan aksi pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil sebanyak dua kali. Itulah tuah hidup di negara bernama Malaysia ini.

Di sini juga, tidak ada bencana alam besar seperti tsunami, taufan, puting beliung, gunung berapi atau gempa bumi. Jika ribut yang berlaku hanyalah ribut kecil yang mungkin merosakkan rumah di kawasan pedalaman atau kampung, tanah runtuh pula meranapkan rumah besar di lereng bukit di bandar. Banjir kilat pula kadangkala angkara manusia manakala banjir besar akibat hujan lebat merupakan fenomena alam yang tidak boleh dihalang walau secerdik mana manusia cuba mengatasinya. Banjir tidak mengenal sama ada negeri itu diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Pas atau PKR. Tidak wajar mengatakan jika banjir berlaku di negeri yang diperintah Pas, itu sebagai satu ujian atau rahmat Tuhan dan jika berlaku di negeri BN, itu dianggap pula sebagai bala. Bencana alam tidak boleh dipolitikkan atau dijadikan sandiwara alam.

Tidak seperti politik yang di dalamnya ada bencana seperti apa yang dikatakan ribut dalam cawan - contohnya pertelingkahan antara pakatan PKR-DAP-Pas di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Apa yang berlaku tidak akan ke mana, hanya berkisar dalam keluarga pakatan itu. Mungkin ini juga sandiwara politik bagi mengukuhkan kedudukan serta menarik perhatian ramai supaya masyarakat tidak lupakan kewujudan mereka. Maka janganlah pula musuh-musuh PKR, DAP atau Pas bersorak gembira melihat ribut dalam cawan ini. Kata orang, ‘senduk dan belanga lagikan berlaga’ atau ‘senduk dan periuk lagikan terhantuk’. ‘Sedangkan lidah lagi tergigit’! Lainlah jika musuh DAP, Pas, PKR cuba mengungkitkan soal ‘senduk besar tidak mengenyangkan’ atau ‘lembut gigi daripada lidah’. Maka semuanya yang berlaku dalam dunia politik hari ini bolehlah diibaratkan satu sandiwara semasa. Inilah politik. Namun dalam keghairahan berpolitik sama ada melibatkan orang politik atau di luar politik, eloklah setiap orang sama ada yang terlibat secara langsung dalam politik atau tidak, lebih berhati-hati supaya ribut di dalam cawan tidak menjadi tsunami atau ribut lebih besar. Politik yang melampau mampu mencetuskan perbalahan yang berterusan. Walaupun kita terlepas daripada letusan gunung berapi tetapi kita tidak mampu mengelak daripada letusan ‘batu api’.

Di kalangan masyarakat kita, memang banyak `batu api’ yang boleh dilontar pada bila-bila masa. Kita tidak boleh menjangka bila kewujudannya seperti para saintis tahu bila gunung berapi akan memuntahkan laharnya. `Batu api’ ini sentiasa mengambil kesempatan untuk memusnahkan masyarakat malahan negara. Mungkin kesannya sama dengan letusan gunung berapi. Di samping `batu api’, kita juga tidak dapat terlepas daripada kehadiran ‘ribut taufan’ yang mencetuskan kelam-kabut angkara berlegarnya pelbagai fitnah, tohmahan, andaian dan macam-macam lagi yang datang melalui surat layang, Internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya. Zaman ini surat layang bukan lagi melalui surat bercetak yang dihantar oleh posmen yang boleh dibakul sampahkan. Surat layang kini datang dengan pantas - sekadar menekan ‘keyboard’, ia akan sampai ke setiap komputer dan telefon. Maka akhirnya timbullah pelbagai persepsi yang tidak betul mengenai sesuatu isu yang dibincangkan melalui saluran tersebut. Akhirnya, ia boleh menjadi satu ancaman jika tidak dibendung. ‘Ibarat api dalam sekam.’

Harus diingat sejak pilihan raya umum lalu, masyarakat kita sering didedahkan dengan pelbagai isu serta kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum. Ada orang yang menggunakan imuniti untuk bercakap apa sahaja yang kemudiannya tersiar di media cetak, elektronik, Internet dan sebagainya. Ada juga pihak yang cuba mempertikaikan hak orang lain. Kita suka membuat persepsi yang kurang elok mengenai sesuatu isu yang sedang disiasat, masih disiasat atau belum disiasat. Kenyataan mereka menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan untuk membendung gejala ini. Sekali ia tersebar walaupun tidak betul, tidak tepat atau palsu semata-mata, sukar untuk memperbetulkan keadaan. Bagi mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan seumpama ini, hasrat hati sudah tercapai. Apa yang terbuku di hati, apa yang ingin diucapkan sudah pun dilontar. Biarlah seribu kecaman, kutukan dilontar balik tetapi yang penting, batu sudah dilontar. Sama ada ia mengenai sasaran atau tidak, itu soal kedua. Mereka puas kerana sudah melepaskan segala-galanya sama ada ia berbentuk kritikan, cercaan, makian dan sebagainya. Walaupun perkara yang kecil dibangkitkan tetapi apabila ia menyentuh perasaan orang lain maka ia akan menjadi isu besar. Cakap ‘sejengkal dibawa sehasta’ (perkara kecil dibesar-besarkan). Ini bukan soal ‘lontar batu sembunyi tangan’. Mereka ini berani menunjukkan tangan yang melontar batu itu. Selak balik pelbagai isu - agama, bahasa, budaya, kaum yang dilontarkan sebelum ini yang mengundang pelbagai kenyataan balas yang kadangkala mencemaskan. Namun syukurlah tidak ada tindakan sehingga boleh mengancam keselamatan negara. Cuma ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak puas hati, bak kata orang ‘luka di tangan dapat diubat, luka di hati siapa tahu’. ‘Luka di tangan kerana pisau, luka di hati kerana kata’. Memang mudah menarik balik kenyataan, bersalam-salaman memohon maaf dan pelbagai lagi tetapi ‘luka sudah hilang, parutnya tinggal juga’.

Maka berhati-hatilah ketika membuat kenyataaan. Fikir dulu sebelum berkata-kata. Kerana kata orang Melayu, ‘terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik’ (terlanjur kata, padah akibatnya). Begitu juga dengan hujah-hujah pelik seolah-olah bagaikan fatwa yang jarang kita dengar pada masa dulu diucapkan oleh pemimpin tertentu. Lebih-lebih lagi kerana menghormati kedudukan pemimpin ini, orang mudah percaya dan berpegang kepada kata-kata itu biarpun ia pelik. Kata orang ‘terlepas perahu boleh diundur, terlepas kata emas padahnya’(orang tidak lupa pada apa yang kita ucapkan). Maka untuk menjaga hati semua orang - tidak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya bukanlah satu kerja mudah. ‘Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’!

No comments:

Post a Comment