Pages

Tuesday, January 26, 2010

ku adalah lebih mulia dan lebih unggul daripada dia

Penulis:Zulkifli Khair

Terbitan: PTS Islamika

“Manusia yang berjaya adalah mereka yang mengisytiharkan perang ke atas syaitan. Senjata penting yang digunakan adalah senjata kerohanian. Saya yakin, buku Offline dengan Syaitan membicarakan tentang perkara-perkara ini. Buku ini menjelaskan kepada kita tentang siapakah musuh kita yang sebenar serta bagaimana mengalahkannya. Tahniah! Ia begitu relevan dengan kehidupan manusia terutamanya pada hari ini yang dipenuhi pelbagai cabaran.”

-Dr Danial Zainal Abidin-
Doktor, penulis & penceramah

“Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya daripada lumpur.”

Begitulah kata-kata syaitan dengan angkuh dan sombong di hadapan Allah apabila disuruh bersujud kepada Adam. Ini menunjukkan syaitan merasakan dirinya lebih bertaraf tinggi daripada Adam kerana dia diperbuat daripada api dan Adam diperbuat daripada tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh. Oleh sebab Allah menjatuhkan hukuman dicampakkan ke dunia, dia berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat, dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya sampai hari Akhirat kelak.

Syaitan diciptakan sebagai ujian tahap keimanan manusia kepada Allah. Siapa yang terpedaya dengan ajakan syaitan, Allah membalasnya dengan azab sengsara yang pedih di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang berjaya melawan dan menyekat kejahatan syaitan, Allah memberikannya penghargaan yang tidak terkira dan dibalas dengan syurga.

Buku di tangan anda ini membawa kita mengenali makhluk perosak terbesar di muka bumi dan bagaimana mereka merosakkan seluruh keturunan Adam di muka bumi secara halus. Dapatkan juga tip dan langkah kawalan bagi menghadapi dan menghalang bisikan dan hasutan mereka seterusnya menjalani hidup dalam keadaan aman dan menenangkan.

Prakata
Kata Pengantar
Bahagian 1 : Mengenali Iblis dan Syaitan
Bab 1: Siapa Kami?
Bab 2: Aku Jutawan!
Bab 3: Ketika Remang Senja
Bab 4: Allah Lebih Perkasa

Bahagian 2 : Teknologi Syaitan Menyesatkan Manusia
Bab 5: Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)
Bab 6: Bahaya Virus P1A1
Bab 7: Bahaya Pihak Ketiga
Bab 8: Sihir dan ‘Bomohisme’
Bab 9: Filem Seram dan Mesra Magis
Bab 10: Zaman Gawat, Iman Tenat
Bab 11: Wanita Agen Syaitan?
Bab 12: Seksi yang Seksa
Bab 13: Lawrence of Arabia
Bab 14: Mustafa Kemal Ataturk
Bab 15: Mirza Ghulam Ahmad
Bab 16: Salman Rushdie
Bab 17: Mengapa Makan Guna Tangan Kiri?
Bab 18: Dunia Siber
Bab 19: Dajal

Bahagian 3 : Firewall daripada Syaitan
Bab 20: Kemas Kini ‘Perisian’ Anti Syaitan
Bab 21: Klik ‘Refresh’
Bab 22: Solat Di Mana-mana
Bab 23: Kuruskan Nafsu, Perkasakan Akal
Bab 24: Muat Turun Ayat Kursi
Bab 25: Klik Zikir Delete Sihir
Bab 26: Melontar Jamrah Secara Maya
Bab 27: IT untuk ‘Ilm Technology
Bab 28: Ouija Board Vs Istikharah
Bab 29: Membina ‘Blog’ Takwa
Bab 30: Dr. Yusuf Estes
Bab 31: Dr. Zakir Naik
Bab 32: Kemuncak Offline
Bab 33: Malunya Ber-Facebook di Padang Mahsyar

Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)

Satu cara syaitan menyesatkan manusia adalah menimbulkan rasa waswas atau ragu-ragu ke dalam hati manusia dalam menyembah Allah. Allah menyebut syaitan sebagai al-Khannas, iaitu pengintip atau pengintai yang sedang mencari peluang bagi menyerang seseorang. Hal ini Allah jelaskan dalam surah an-Nas, iaitu surah terakhir dalam al-Quran. Surah yang pendek ini menjelaskan tujuan dan misi al-Khannas iaitu membisikkan rasa ragu-ragu ke dalam hati manusia.

Rasa waswas atau ragu-ragu ini disebut dengan istilah saintifik sebagai Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). OCD membawa makna, sesuatu yang dicirikan oleh fikiran dan imej yang tidak dikehendaki sehingga menimbulkan kebimbangan yang melampau. Contoh mudah dalam masyarakat adalah rasa ragu sama ada wuduk yang diambil sah ataupun tidak, serta ragu tentang bilangan rakaat dalam sembahyang. Orang yang mengerjakan haji ditimpa keraguan seperti ragu mengenai bilangan tawaf yang sudah dibuat, bilangan saei yang sudah dibuat dan bilangan lontaran yang dibuat ke atas jamrah.

Dalam kehidupan harian pula, ada orang yang ragu tentang kebersihan anggota badan. Mereka berasa tidak bersih, lantas membasuh tangan berkali-kali dengan sabun sehingga berlaku pembaziran air yang banyak.

Lebih dahsyat daripada semua itu, syaitan turut membisikkan keraguan dalam soal kepercayaan kepada Tuhan dan rukun iman yang lain. Antaranya syaitan menimbulkan pertanyaan seperti:

Benarkah Allah wujud? Sekiranya wujud, di mana Allah?
Benarkah al-Quran itu wahyu daripada Allah dan bukannya karangan Nabi Muhammad?
Benarkah kita mesti mendirikan sembahyang? Mengapa pula bilangan rakaat bagi setiap sembahyang berbeza-beza?
Benarkah Nabi Muhammad itu rasul terakhir? Mengapa generasi selepas Nabi Muhammad tidak layak dilantik sebagai rasul?

Pendek kata, orang yang mengalami OCD begitu obses pada sesuatu perkara. Contohnya, dia begitu obses dengan wuduk sehingga basah kuyup pakaiannya lantaran mengambil wuduk berulang-ulang kali.

Seorang ahli psikologi klinikal dari Kanada, Dr. Mohammed Sadiq memberitahu, bilangan lelaki dan wanita yang mengalami OCD sama banyak. Wanita, bagaimanapun, banyak yang cuba mendapatkan nasihat dan bantuan dalam menyelesaikan masalah OCD yang mereka dialaminya. Hal ini mungkin disebabkan oleh sikap wanita yang lebih suka meminta pertolongan berbanding lelaki.

Walau bagaimanapun, dalam kalangan ahli psikologi, psikatri dan doktor perubatan yang tidak percaya kepada Allah, mereka tidak mengaitkan fenomena OCD dengan syaitan. Tetapi bagi orang yang percaya kepada Allah, mereka sedar OCD terjadi angkara syaitan. Syaitanlah yang membisikkan kebimbangan dalam hati individu bagi tujuan menyesatkannya.

Dr. Mohammed Sadiq percaya OCD disebabkan oleh syaitan. Beliau memberitahu, terapi yang digunakan bagi memulihkan pesakit OCD seperti terapi dadah, terapi tingkah laku, terapi tingkah lagu kognitif dan siri latihan relaks sekadar dapat mengurangkan kebimbangan. Melalui terapi itu, OCD tidak dapat dipulihkan sepenuhnya tanpa penyucian jiwa dan kepercayaan kepada Allah. Beliau menegaskan, “Pemulihan tidak berjaya sekiranya pesakit dan ahli terapi tidak percaya kepada Allah dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan mereka.”

No comments:

Post a Comment