Pages

Thursday, January 28, 2010

Korea Utara, Selatan berbalas tembakan

SEOUL 27 Jan. – Tentera Korea Utara dan Selatan berbalas-balas tembakan meriam di kawasan sempadan laut di barat semenanjung Korea hari ini, menyebabkan ketegangan meningkat antara kedua-duanya. .

Tentera Korea Utara melepaskan kira-kira 30 tembakan meriam dari pantainya, kata seorang pegawai Ketua Turus Bersama di Seoul.

Tembakan itu segera dibalas oleh tentera Korea Selatan yang melepaskan kira-kira 100 tembakan amaran dari sebuah pangkalan marin di sebuah pulau dekat sempadan laut itu, katanya.

Pegawai tersebut berkata, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan, dan tembakan meriam Korea Utara mengenai perairannya sendiri manakala tembakan marin Korea Selatan dilepaskan ke udara.

Setiausaha Presiden, Chung Chung-kil mempengerusikan mesyuarat tergempar para pegawai keselamatan bagi pihak Presiden Lee Myung-bak yang sedang melakukan lawatan rasmi ke India, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap. Myung-bak sudah dimaklumkan mengenai insiden itu.

Kejadian berbalas-balas tembakan itu berlaku dua hari selepas Korea Utara menetapkan dua zon larangan belayar di kawasan berkenaan sehingga 29 Mac ini, menandakan Pyongyang mungkin bersiap sedia untuk menjalankan ujian peluru berpandu atau latihan ketenteraan lain.

Zon-zon itu meliputi beberapa kawasan perairan yang dikuasai oleh Korea Selatan.

Sempadan laut sebelah barat itu digariskan oleh Pemerintah Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) pada akhir Perang Korea 1950-53.

Kapal tentera laut kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran singkat pada November lalu, mengakibatkan seorang kelasi Korea Utara terbunuh dan tiga lagi cedera. – AP

No comments:

Post a Comment