Pages

Wednesday, January 27, 2010

Jaminan Islam untuk kemanusiaan

By Muslimah on December 15th, 2007 | No Comments
Islam terus terpelihara hingga ke akhir zaman. Demikianlah janji Allah SWT. Ia bukan suatu agama baru, malah telah wujud sebelum adanya cakerawala ini.

Sejarah membuktikan bagaimana usaha para Nabi dan Rasul telah cuba dihalang oleh tokoh-tokoh besar seperti raja Mesir (Firaun) yang cuba mengatasi kekuasaan Ilahi 4,000 tahun lalu.

Ratusan ribu anak lelaki yang lahir dibunuh dan kaum wanitanya dibiarkan hidup sengsara tanpa pembelaan.

Hati para ibu yang melahirkan begitu terseksa akibat kezaliman Firaun. Namun, ancaman mimpi yang cuba dihindari Firaun itu datang dengan sendirinya, dihantar oleh kuasa alam. Air Sungai Nil yang lembut mengalir telah mempersembahkan kepadanya seorang putera yang bakal menggulingkannya.

Itulah Nabi Musa as yang kemudian menjatuhkan pemerintahan Firaun dengan kuasa Allah SWT. Banyak lagi kisah yang dipaparkan di dalam Al-Quran mengenai bagaimana seorang raja atau sesuatu kaum yang cuba melenyapkan keindahan Islam. Namun mereka dilenyapkan Allah dalam keadaan yang terhina.

Raja Abrahah dari Habsyah telah cuba merobohkan Kaabah tetapi tumpas di tangan ababil (burung). Kaum Nuh tenggelam oleh air bah, kaum ‘Ad iaitu umat Nabi Hud dihapuskan daripada muka bumi ini dengan tiupan angin kencang. Kaum Tsamud, umat Nabi Saleh, juga mengalami nasib serupa.

Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu Maha Kaya lagi mempunyai rahmat. Jika Dia menghendaki nescaya Dia memusnahkan kamu dan menggantimu dengan siapa yang dikehendaki-Nya setelah kamu (musnah), sebagaimana Dia telah menjadikan kamu daripada keturunan orang-orang lain.” (Al-An’aam: 133)

Ternyata bahawa agama ini mempunyai penjaga dan pengawalnya yang teragung sedang manusia pula tidak berupaya melakukan sesuatu. Yang boleh dilakukan ialah menjadi pemerhati dan mengambil ikhtibar daripada peristiwa-peristiwa dahsyat dan menggerunkan.

Ketahuilah setiap umat yang diciptakan Allah mempunyai ragam tersendiri dan untuk mereka itu diutus pula nabi dan rasul yang sesuai dengan keadaan mereka.

Kebiasaanya, tempat-tempat yang diturunkan para rasul ini merupakan tempat yang banyak pergolakan yang sukar diatasi oleh manusia biasa. Menurut sejarah, daerah Asia Tenggara boleh dianggap kawasan aman. Atas faktor ini, mungkin segelintir sahaja para Nabi dan Rasul yang diutuskan ke daerah ini.

Jika dikaji, kebanyakan para Rasul, pembesar dan solihin wujud di daerah Timur Tengah. Setiap nabi yang diutus amat sesuai dengan keadaan kaum itu sendiri.

Contohnya, Nabi Musa as diutus dengan keistimewaan mukjizat untuk menginsafkan kaumnya yang begitu ahli dalam sihir dan silap mata. Nabi Daud as pula diutus dengan mukjizatnya yang berupa kekuatan melenturkan besi dengan tangannya. Beliau juga yang mula-mula mencipta baju besi yang digunakan dalam peperangan. Keadaannya begitu sesuai dengan suasana kaumnya yang terdiri daripada umat yang gagah dan tangkas berperang.

Nabi Muhammad SAW pula diutus untuk kaum Arab dan umumnya bagi seluruh alam termasuk alam jin dan ghaib. Pada zaman ini, tiada lagi Nabi dan Rasul. Namun, pewarisnya ialah golongan Ulama’, termasuk solihin, yang berjuang memelihara kesucian Islam.

Umat Islam senantiasa perlu menyebarkan salam (amalan sejahtera) kepada kemanusiaan sejagat dan menjadikan diri mereka umat contoh.

Oleh: Mohd Yusop Hassim

No comments:

Post a Comment