Pages

Saturday, January 23, 2010

Islam larang bakar gereja

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DENGAN niat membantu dan mempromosi keharmonian antara kaum serta agama di Malaysia, saya menulis artikel ringkas ini. Diharap ia mampu memberi mesej yang baik buat rakan Islam juga bukan Islam yang membacanya.

Jelas lagi terang, tindakan membakar gereja bagi melahirkan ketidakpuasan hati terhadap kes penggunaan nama 'Allah' bagi Kristian salah disisi undang-undang. Namun masih ada yang bertanya, benarkah tindakan sebegini salah di sisi agama Islam? Artikel ini cuba memberi jawapan ringkas tetapi padat.

Di dalam sebuah negara Islam di zaman silam dan sejarah pembukaan Islam ke negara yang mempunyai gereja, Rasulullah SAW dan sahabat tidak sama sekali mengarahkan meruntuhkannya.

Baginda tidak membenarkan pembinaan gereja baru saja, namun gereja yang sudah wujud dan tidak digunakan untuk mencetus peperangan selain tidak menjadi kubu tentera, tidak sama sekali dirosak atau dirobohkan.

NABI DAN SAHABAT TIDAK ROBOHKAN GEREJA

Sahabat besar, Imam Ibn Abbas ra pernah dicatatkan berkata: “Mana-mana kawasan 'ajam' (bukan Arab) yang dibuka dengan izin Allah SWT melalui kekuatan Islam, maka penduduk asal bukan Arab boleh mengekalkan binaan mereka,”.

Ibn Qudamah kemudian mengulas: “Itu kerana walaupun sahabat membuka banyak negara baru melalui jalan peperangan, tidak sama sekali mereka merobohkan mana-mana gereja.”

Khalifah Umar Abd Aziz menulis kepada petugasnya supaya “tidak merosakkan gereja, biara, rumah api (tempat ibadat), kerana sudah ijma' atas perkara itu dan tidak dapat dinafikan wujud di negara umat Islam,” (Al-Mughni, Jld 10, hlm 609).

Itulah pendirian Islam khususnya di dalam keadaan Islam begitu kuat dan menguasai sebahagian besar daripada peta dunia. Berbeza di zaman serba moden ini, tatkala penganut Islam tidak seperti dulu, mereka tidak benar-benar 'menguasai' seperti sahabat dulu.

Mereka hanya berkongsi kuasa bersama golongan bukan Islam. Dalam keadaan seperti itu, keharmonian melalui kefahaman untuk tidak mengganggu tempat ibadat agama lain tentulah menjadi amat penting dan utama. Khususnya apabila penduduk bukan Islam di sesebuah negara itu sudah mengikat janji taat setia kepada negara dan menjadi warga negara.


MEMBAKAR TINDAKAN ZALIM

Allah SWT menyebut: “Orang-orang yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, Tuhan kami hanyalah Allah,”.
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya (masjid-masjid) itu banyak disebut nama Allah.

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa,” (Al-Haj: 40)
Imam Al-Tabari ketika mengulas ayat ini berkata: “Itulah hasil daripada Allah SWT menolak keganasan antara satu sama lain. Jika tidak kerana itu, mereka akan saling zalim menzalimi, maka yang kuat akan merobohkan tempat ibadat yang lemah,” (Tafsir At-Tabari, Jil 18, hlm 648).

Imam Al-Qurtubi pula membawakan kata-kata ulama sebelumnya yang berkata: “Ayat ini mengandungi larangan meroboh dan merosakkan binaan gereja kafir ahli zimmah, dan biara-biara mereka,” (Tafsir Al-Qurtubi, Jld 12, hlm 67).

Walaupun status ahli zimmah mungkin sukar diterima pakai untuk penganut bukan Islam di zaman ini, yang jelas dalam sebuah negara moden berbilang agama dan bangsa, kekuatan negara dikongsikan secara bersama.

Jadi, kurang tepat untuk mengambil bulat-bulat beberapa pandangan ulama silam, yang dilakukan berdasarkan situasi politik dan agama yang ada di depannya, di ketika kekuatan Islam yang sangat berbeza.

Justeru, Muslim tidak boleh sewenang-wenangnya mengganggu gereja, Yahudi, Kristian dan lain-lain. Penganut agama selain Islam pula tidak boleh merosak dan mengganggu masjid.

TINDAKAN MESTI DIKUTUK

Maka dengan itu, saya malah kita semua patut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pelaku pembakaran gereja. Namun, saya juga ingin melahirkan kebimbangan jika tindakan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk memberi gambaran buruk kepada penganut Islam dan Islam itu sendiri.

Lebih berbahaya jika ia satu provokasi untuk menyeru tindak balas daripada pihak Kristian. Hakikatnya, jika ia dilakukan oleh orang Islam, itu akibat ketidakfahamannya terhadap kehendak sebenar Islam.

Jelasnya, tindakan sebegitu bukan sama sekali arahan Islam khususnya apabila ia hanya bakal mencetuskan kemudaratan yang lebih besar. Ini sekali lagi menjadikan tindakan bakar gereja sebagai haram.


CADANGAN JIKA INGIN MEMBANTAH

Kepada semua yang membantah, sebelum meneruskan bantahan, amat bijak jika kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa mengadakan diskusi tertutup antara wakil muslim dan Kristian.

Terangkan dengan jelas situasi di Malaysia dan beritahu permintaan kita dengan diskusi. Saya kira cara itu mungkin jalan terbaik ketika ini. Bagi yang ingin terus membantah, jangan sesekali memulakan pergaduhan dan pemusnahan fizikal kerana ia bakal mencetuskan kesan yang jauh lebih buruk, bukan saja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Malah, berita ini sudah pun tersebar meluas di negara Barat, menampakkan seolah-olah umat Islam sentiasa wajar digelar pengganas. Padahal tidak mampu dipastikan lagi siapa pelakunya dan apakah agamanya.

Oleh itu, boleh nyatakan bantahan secara aman melalui Facebook, blog persendirian, demonstrasi aman, memorandum dan selebihnya, tunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Jika keputusan masih tetap menghala kepada mengharuskan, desak dan berikan idea kepada kerajaan untuk meletakkan syarat penggunaan atas nama keselamatan negara.

Mereka perlu cari peruntukan undang-undang sesuai yang boleh digunakan bagi tujuan itu.

No comments:

Post a Comment