Pages

Sunday, January 24, 2010

Ida Nerina ingin cerai cara baik

KUALA LUMPUR 22 Jan. - "Ida Nerina menafikan berlaku lafaz cerai oleh suaminya namun dia bersetuju bercerai secara baik selepas ini."

Demikian penjelasan peguam syarie, Akbardin Abdul Kader yang mewakili pelakon, Ida Nerina Hussain dalam kes pengesahan lafaz cerai yang dikemukakan suaminya, Sha'rin Mohd. Razali.

Akbardin menyatakan demikian ketika ditemui pemberita di luar Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini selepas kes tersebut ditangguhkan sehingga 25 Februari ini.

Menurut beliau, Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin yang mendengar sebutan kes itu di kamar beliau membenarkan penangguhan bagi memberi peluang kepada pihaknya untuk memfailkan pembelaan.

Katanya, anak guamnya kini masih menjalani rawatan di India dan wakalah pelantikannya sebagai peguam syarie sebelum ini ditandatangani Ida menerusi satu persidangan video.

Ida, 45, mengalami kecederaan tulang belakang selepas dilaporkan terjatuh dari tangga di kediamannya, Jun tahun lalu.

Ditanya sama ada Ida akan hadir di mahkamah pada tarikh sebutan akan datang, Akbardin menyatakan, segala-galanya bergantung kepada tahap kesihatan pelakon itu.

Sha'rin, 40, yang merupakan bekas pemuzik kumpulan Blackrose memfailkan permohonan tersebut pada 12 Oktober tahun lalu setelah mendakwa dia melafazkan cerai terhadap Ida pada September tahun yang sama.

Pasangan tersebut bernikah pada 2 Jun 2006 dan tidak dikurniakan anak.

Sha'rin bagaimanapun mempunyai dua cahaya mata, Narissa, 14, dan Arman, 8, melalui perkahwinan pertamanya.

Sha'rin dan peguam syarie yang mewakilinya, Mahyuddin Md. Zahari masing-masing tidak hadir ke mahkamah hari ini.

No comments:

Post a Comment