Pages

Thursday, January 28, 2010

Bermukim di dua kota suci

OLEH Hassan Mohd Noor


Bermukim di dua kota suci

DUA kota suci, Mekah dan Madinah mula menerima tetamu dari seluruh pelosok dunia. Mereka mula memasuki kedua-dua kota suci itu sebagai persiapan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini yang bermula pada bulan depan. Bagi jemaah Malaysia, mereka yang mendapat penerbangan awal akan singgah di Madinah untuk ziarah manakala selebihnya akan terus ke Mekah. Bagi jemaah yang singgah di Madinah, mereka akan tinggal di sana sekurang-kurangnya sembilan hari sebelum berangkat ke Mekah.

Bagi menyambut kedatangan jemaah haji yang dijangkakan kira-kira tiga juta orang tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi seperti pada tahun-tahun sebelumnya telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan ibadah haji pada musim ini berjalan lancar.

Setiap tahun, ada saja projek yang dilancarkan sama ada di Mekah atau Madinah.

Misalnya pada Oktober lalu, di kota Madinah, kerajaan melancarkan pelbagai projek pembangunan termasuk pembesaran kawasan Masjid Nabawi, projek bekalan elektrik, air, kesihatan dan sebagainya yang dianggarkan menelan kos 12 bilion Riyal Saudi. Dalam bidang kesihatan pula, jumlah katil di hospital juga akan ditambah. Begitu juga dengan pembesaran lapangan terbang di Madinah. Langkah ini bukan sahaja untuk keperluan penduduk tempatan tetapi juga bagi menjaga kebajikan para jemaah setiap tahun yang semakin meningkat. Walaupun projek- projek ini akan mengambil masa yang panjang tetapi matlamatnya adalah untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia yang setiap tahun berebut-rebut mahu menunaikan haji di Mekah sambil melakukan ziarah di kota Madinah.

Di Mekah pula, pelan komprehensif sentiasa dilakukan bagi menjaga kebajikan, keselesaan dan keselamatan para jemaah setiap kali tiba musim haji. Tidak ketinggalan kemudahan pengangkutan awam, penginapan serta kemudahan asas lain termasuk bekalan air bersih. Sejak awal tahun ini, kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram dilakukan di samping menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan Mina.

Menurut satu laporan media, pihak berkuasa juga mengedarkan risalah pelbagai bahasa kepada jemaah mengenai ibadat haji. Beberapa orang ulama juga dipilih untuk memberi kuliah selepas solat Subuh dan Asar sehinggalah waktu Isyak di Masjidil Haram. Mereka akan menyampaikan ceramah dalam pelbagai bahasa termasuk Arab, Urdu, Indonesia dan Inggeris bagi membimbing jemaah mengenai ibadat haji.

Maklumat berkaitan haji juga disediakan melalui perkhidmatan telefon.

Sementara itu, tenaga kerja bagi membantu jemaah turut ditingkatkan. Misalnya di Masjidil Haram sahaja, sebanyak 3,000 petugas dilantik bagi memastikan kebersihan di sekitar masjid terpelihara. Para pekerja ini akan dibekalkan dengan alat pencuci elektrik dan kenderaan kecil bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan dan sampah sarap dibawa keluar daripada masjid. Bagi yang pernah mengerjakan umrah, mereka dapat melihat ketangkasan serta kecekapan para pekerja ini membersihkan lantai di sekitar Baitullah tanpa mengganggu umat Islam melakukan tawaf atau solat.

Sejuk dan panas

Para pekerja ini juga akan bertanggungjawab memastikan 18,000 termos air zamzam di dalam Masjidil Haram sama ada sejuk dan panas sentiasa diisi penuh.

Bagi kemudahan tawaf dan sai pula, sebanyak 10,000 kerusi roda akan disediakan untuk memudahkan pergerakan mereka yang kurang berupaya. Kerusi-kerusi roda ini boleh didapati di kawasan luar masjid dan di tingkat pertama pintu masuk Safa. Kerusi roda ini bagaimanapun hanya boleh digunakan di tingkat pertama yang menyediakan ruang khusus untuk jemaah berkerusi roda melakukan tawaf dan sai.

Bagi mengelakkan kes-kes jenayah, pasukan penguat kuasa juga dikerah untuk memastikan kejadian ragut tidak berlaku dan kamera litar diletakkan di semua tingkat masjid untuk memastikan keselamatan para jemaah.

Jumlah petugas yang mengawal masjid juga ditingkatkan. Jika sebelum ini, hanya 300 orang yang bertugas mengawal di 139 pintu masjid tetapi pada musim haji ini, jumlah itu meningkat kepada 700 orang. Bagi memudahkan jemaah juga, lapan tangga elektronik di dua pintu masuk masjid akan beroperasi 24 jam. Sebuah jambatan juga dibina bagi menyambung kawasan masjid dengan Hospital Ajyad.

Dalam soal kesihatan juga, Kementerian Kesihatan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kesihatan jemaah haji terkawal. Sebanyak 10,000 pekerja kesihatan dilantik termasuk melibatkan 40 doktor dan 147 jururawat dari luar negara. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan juga akan digunakan untuk membantu melicinkan perkhidmatan kesihatan.

Terdapat 138 pusat kesihatan di Mekah, 28 di Mina, enam di Muzdalifah, 46 di Arafah dan 19 Madinah.

Jumlah katil di semua hospital di dua kota suci juga ditingkatkan kepada hampir 4,000 katil. Terdapat tujuh buah hospital di Mekah, tiga di Muzdalifah, empat di Mina dan 10 di Madinah. Langkah-langkah keselamatan juga diambil di kawasan melontar dengan menempatkan pasukan doktor dan jururawat serta ambulans. Pada masa yang sama sebagai program pendidikan kesihatan, kementerian berkenaan juga mengedarkan 1.75 juta risalah dalam tujuh bahasa bagi memberi mesej kesihatan kepada jemaah.

Secara keseluruhannya, Arab Saudi sudah bersedia menerima kedatangan tetamu-tetamu Allah dari seluruh dunia tanpa mengira kaum, kedudukan, pangkat atau darjat. Mereka ke situ dengan satu tujuan iaitu untuk beribadat.

No comments:

Post a Comment