Pages

Thursday, January 28, 2010

Bantah Hambali dibicara di AS

WASHINGTON 27 Jan. – Perancang serangan bom al-Qaeda, Hambali yang mahu dibicarakan di negara asalnya, Indonesia, tidak patut dihadapkan ke mahkamah awam Amerika Syarikat (AS), demikian menurut Senator Jim Webb dari Parti Demokrat semalam.

Webb, yang menyertai barisan pendesak yang mahu Presiden AS, Barack Obama membicarakan suspek pengganas melalui mahkamah tentera, menyatakan Hambali mempunyai kaitan dengan serangan bom di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing.

“Hambali adalah rakyat Indonesia. Dia terlibat dalam serangan di dalam Indonesia yang membunuh 202 nyawa, termasuk 88 warga Australia, 38 penduduk tempatan, 24 rakyat United Kingdom dan tujuh warga AS,” tegas Webb.

Beliau yang berasal dari Virginia yang bersempadan dengan ibu negara AS ini , meluahkan tentangan terhadap laporan wujudnya rancangan membicarakan Hambali atau nama sebenarnya, Riduan Isamuddin di Washington.

Senator itu tidak menyebut secara jelas mahu Hambali diekstradisi ke Indonesia apabila menyatakan bekas ketua pertubuhan pengganas itu ditangkap di Thailand sebelum dihantar ke penjara Teluk Guantanamo.

“Kerajaan Indonesia yang sudahpun menghukum tiga pesalah dalam pengeboman itu, mahu membicarakannya. Saya tidak faham bagaimana perbicaraan sebagai penjenayah biasa di mahkamah awam AS adalah sesuatu yang relevan,” tegas beliau lagi.

Ulasan Webb dibuat selepas beliau dan lima lagi senator mendesak Peguam Negara, Eric Holder agar menarik balik keputusan untuk membicarakan dalang serangan 11 September 2001, Khalid Sheikh Mohammed dalam mahkamah awam dan bukan suruhanjaya tentera

No comments:

Post a Comment