Pages

Wednesday, January 27, 2010

34 mayat ditemui

2010/01/26
BEIRUT: Sebuah pesawat Syarikat Penerbangan Ethiopia membawa 90 penumpang terbakar dan terhempas ke dalam laut beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang di sini awal semalam.


Sekurang-kurangnya 34 mayat sudah ditemui oleh pasukan penyelamat.


Punca nahas masih belum diketahui. Bagaimanapun, Lubnan mengalami cuaca buruk dengan ribut petir dan hujan sejak malam Ahad lalu.


“Kami melihat bebola api jatuh dari udara ke dalam laut,” kata Khaled Naser, pekerja sebuah stesen minyak yang mendakwa menyaksikan pesawat itu terhempas kira-kira jam 2.30 pagi (waktu tempatan) ke dalam Laut Mediterranean.


Presiden Lubnan, Michel Suleiman berkata, beliau tidak mengesyaki keganasan menjadi punca nahas Penerbangan 409 itu yang dalam penerbangan ke Addis Ababa, ibu negara Ethiopia.


Mereka yang terbunuh termasuk beberapa kanak-kanak, menurut seorang pegawai pertahanan Lubnan yang enggan namanya disiarkan. Pesawat Boeing 737-800 itu berlepas kira-kira jam 2.30 pagi (waktu tempatan) dan terhempas kira-kira 3.5 kilometer di luar pantai, kata Menteri Pengangkutan, Ghazi Aridi.


“Cuaca ketika itu amat buruk,” katanya.


Menurutnya, seramai 54 penumpang adalah warga Lubnan, 22 Ethiopia, seorang Iraq, seorang Syria, seorang Kanada, seorang Russia, seorang wanita Perancis dan dua warga Britain.


Serpihan daripada pesawat itu hanyut ke tepi pantai beberapa jam kemudian, termasuk kerusi penumpang, selipar bayi, beg pakaian dan botol ubat.


Kedutaan Perancis di Beirut berkata, isteri duta negara itu ke Lubnan turut berada dalam pesawat malang itu.


Gerakan mencari disertai oleh helikopter dan kapal tentera laut Lubnan.

No comments:

Post a Comment