Pages

Sunday, September 29, 2013

Buang kepala tambahan


Kabul: Seorang bayi berusia tiga bulan yang dilahirkan dengan kepala tambahan kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan yang mengancam nyawa untuk membuang kepala kedua itu.

Menurut Badan Penyiaran Britain (BBC), Asree Gul menjalani pembedahan itu baru-baru ini.


Anak petani di daerah Chaparhar itu juga mempunyai adik kembar yang dilahirkan tanpa masalah.

Keadaan unik Asree itu menyebabkan dia sukar tidur.


Ketua pakar bedah hospital berkenaan, Ahmad Obaid Mojadidi berkata, pembedahan yang dilakukan ke atas bayi itu adalah yang pertama di wilayah itu.


Asree yang bermakna ‘bunga baru’ tidak berapa sihat selepas dibedah.

Foto
ASREE dengan kepala tambahan sebelum menjalani pembedahan.

Foto
ASREE (kiri) bersama adik kembarnya selepas dia menjalani pembedahan.
Bapanya, Nematullah berkata, dia tidak menjangka anaknya akan selamat.


“Dengan izin Allah, doktor berjaya menyelamatkannya,” kata Nematullah.

Doktor yakin kepala tambahan itu adalah milik adik kembar ketiga Asree yang tidak menjadi.


Seorang bayi Mesir, Manar Maged pernah mengalami keadaan serupa dan dia menjalani pembedahan itu ketika berusia 10 bulan pada 2005.


Meskipun pembedahan itu berjaya, kanak-kanak berkenaan dijangkiti kuman pada otaknya dan meninggal dunia setahun selepas dibedah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/29

Ribuan fosil kaki dinosaur ditemui

Ribuan    fosil kaki dinosaur ditemuiBanyak fosil ditemui di Alaska membonjol dari batuan dan tidak lekuk ke dalam. Washington: Beribu-ribu fosil tapak kaki dinosaur pemakan daging dan daun, ditemui di sepanjang Sungai Yukon di Alaska baru-baru ini, kata saintis.

Profesor geologi Universiti Alaska Fairbanks, Paul McCarthy berkata, beliau terkejut dengan jumlah fosil berjaya ditemui ketika melakukan ekspedisi bersama pasukannya.
“Kami temui fosil tapak kaki dinosaur hampir di semua lokasi yang kami lalui. Kesannya di sepanjang Sungai Yukon terlalu banyak. Kami dapat mengumpul sehingga 50 spesimen hanya dalam tempoh 10 minit,” katanya.



Tidak seperti tapak kaki dinosaur yang lain, banyak fosil ditemui di Alaska membonjol dari batuan dan tidak lekuk ke dalam.

Ketua Jabatan Paleontologi di Muzium Alam Semula Jadi Amerika, Mark Norell, berkata beliau kini memikirkan apa yang sebenarnya berlaku di atas kawasan basah dan berpasir itu berjuta-juta tahun lalu.

Fosil tertimbus
“Ribut besar dan tiupan angin akan menyebabkan fosil itu tertimbus tanah liat dan tidak kelihatan.

“Selepas berjuta-juta tahun acuan tanah liat itu, membentuk kesan tapak kaki seperti yang kita lihat sekarang. Ia adalah kesan sebenar tapak kaki haiwan itu ketika ia hidup,” katanya kepada stesen berita Perbadanan Penyiaran Amerika (ABC).

Wujud banyak laman web dipenuhi dengan fosil dinosaur kawasan sekitar Amerika Amerika Syarikat, tetapi Alaska belum diterokai dengan rapi setakat ini. - AGENSI 

Facebook aplikasi paling popular

Facebook aplikasi paling popular
Facebook aplikasi paling banyak digunakan.
Manila: Facebook tidak syak lagi adalah rangkaian media sosial paling popular di dunia. Kajian terbaru di tiga negara di Asia Tenggara menunjukkan Facebook aplikasi (app) adalah yang paling banyak digunakan mengikut kajian firma Nielsen.

Firma itu melakukan penyelidikan untuk menilai 10 app paling banyak digunakan pengguna telefon pintar.
Paling digemari


Facebook didapati yang paling digemari di Indonesia, Malaysia dan Filipina selain di tempat ke-2 di Filipina selepas app mesej LINE.

App popular lain termasuk Google Play Store, YouTube, LINE dan Candy Crush Saga, semuanya dalam senarai 10 paling popular di empat negara berkenaan mengikut kajian Nielsen Informate Mobile Insights.

“Pengaruh dan pentingnya app dalam pasaran telefon bimbit pada masa ini meningkat sejak beberapa tahun lalu,” kata Sagar Phadke, jurucakap unit Telecom and Technology Practice Nielsen di Asia Tenggara, Asia Timur dan Pasifik.

“Pengguna telefon bimbit di Asia memang menyukai app dan bilangan penggunanya di Asia meningkat pantas dan ini memberi peluang besar kepada pemasar jenama untuk mewujudkan hubungan rapat dengan pengguna,” katanya lagi.
Di Filipina, 10 app utama ialah Facebook, Google Play Store, YouTube, Candy Crush Saga, Viber, WeChat, LINE, Google Search, Skype dan Facebook Messenger.

Tiga suku jam sehari

Kaji selidik Nielsen juga menunjukkan pemilik telefon pintar di Asia Tenggara menghabiskan masa tiga suku jam sehari menggunakan app.

Penggunaan tertinggi ialah di Malaysia dengan 66 minit sehari diikuti Thailand, 46 minit; Filipina, 41 minit dan Indonesia, 40 minit.

Dalam perkembangan berkaitan, Facebook juga menghadapi persaingan hebat daripada app WhatsApp yang mencatat 25 bilion teks sehari.

Jun lalu, dalam satu tinjauan di India membabitkan 17,500 remaja, 75 peratus berkata mereka lebih suka menghantar teks daripada berbual. - AGENSI

Dunia semakin panas

Dunia semakin panasSuhu bumi diramal meningkat hingga 4.8 darjah Celsius lagi abad ini

Stockholm: Dunia akan menjadi semakin panas, manakala suhu Bumi dijangka meningkat sehingga 4.8 darjah Celsius pada abad ini, kata panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Panel berkenaan juga menegaskan bahawa manusia menjadi punca pemanasan global dan pembakaran bahan api fosil perlu dibendung.
“Gelombang panas, banjir dan paras air laut yang meningkat adalah antara ancaman yang akan semakin kerap melanda,” kata laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dalam laporannya.


Laporan itu juga menyatakan bahawa panel berkenaan 95 peratus yakin bahawa manusia adalah punca pemanasan global berdasarkan pemerhatian sejak 60 tahun lalu.

Peringatan kepada seluruh dunia

Ketua panel iklim PBB Christiana Figueres berkata, laporan itu adalah peringatan kepada seluruh dunia supaya berusaha menghindari penghuninya daripada zon bahaya.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan segera dengan mempersetujui perjanjian menentang penghasilan gas rumah hijau pada 2015,” katanya.
Setiausaha Negara Amerika John Kerry juga menggesa tindakan tegas diambil dan menyifatkan laporan itu sebagai ‘pembuka mata’.

“Mana-mana pihak yang menafikannya dan enggan mengambil sebarang tindakan akan menerima kesan buruk,” katanya.

IPCC sudah menyerahkan empat laporan penilaian sejak 25 tahun penubuhannya.
Setiap edisi laporan menyuarakan tahap kebimbangan yang semakin meningkat membabitkan suhu yang semakin meningkat dan masalah dalam sistem iklim yang semakin ketara.

Ramalan masalah iklim pada awal abad ini dibuat berasaskan model komputer membabitkan trend penghasilan gas rumah hijau, teruma daripada arang, minyak dan gas yang menjadi tulang belakang bekalan tenaga hari ini.

Laporan itu menyatakan bergantung kepada sebanyak mana gas karbon memasuki atmosfera, paras air laut akan meningkat antara 26 hingga 82 sentimeter menjelang 2100.

Pengerusi bersama bagi persediaan laporan, Thomas Stocker berkata tempoh 30 tahun diperlukan untuk melihat tahap perubahan iklim dunia.

Beliau berkata IPCC mengakui walaupun perubahan iklim didapati semakin perlahan, tahun 2010 masih menjadi tahun paling panas pernah direkodkan. - AGENSI

Duta Besar Paraguay di Indonesia peluk agama Islam


Duta Besar Republik Paraguay ke Indonesia, Cecar Estebon Grillion (dua dari kiri) memegang naskhah al-Quran semasa mengucapkan dua kalimah syahadah sambil disaksikan Menteri Agama, Suryadharma Ali (kiri sekali) dalam satu majlis di Masjid Istiqlal, Jakarta, kelmarin. - Agensi
JAKARTA 28 Sept. - Selepas sekian lama tertarik dengan agama Islam, Duta Besar Republik Paraguay ke Indonesia, Cecar Estebon Grillion akhirnya memilih untuk memeluk agama itu selepas mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Istiqlal di sini, semalam.
Di hadapan ribuan jemaah yang selesai mengerjakan solat Jumaat dan disaksikan Menteri Agama, Suryadharma Ali, Grillion secara rasmi kini merupakan seorang penganut agama Islam.
Grillion dibimbing oleh Imam Besar Masjid Istiqlal, Ali Mustafa Yaqub ketika mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab.
Ribuan jemaah Masjid Istiqlal didengar mengucapkan Alhamdulillah sebaik-baik duta itu selesai melafazkan kalimah syahadah.
Menurut Grillion, beliau sudah lama tertarik dengan agama Islam.
"Saya mengenal Islam setelah membaca buku-buku mengenai Islam milik anak saya," ujarnya seperti yang dipetik dari laman web Kementerian Agama Indonesia.
Pada masa sama, Grillion juga mendapat hidayah untuk mendalami Islam melalui perkenalannya dengan seorang muslimah Indonesia, Yulie Setyohadi yang membuka hatinya untuk mempelajari agama itu.
"Saya berjanji saya memeluk agama Islam bukan atas dasar menukar agama sahaja, tetapi untuk menjadi seorang muslim yang baik dengan bantuan semua," jelas beliau.
Sementara itu, Suryadharma berharap, keputusan Grillion memeluk Islam dapat memberi inspirasi kepada saudara lain untuk sama-sama mengambil jalan yang diredai oleh Allah.
"Semoga imannya makin kuat, menjadi muslim yang soleh serta mematuhi perintah Allah," katanya.
Bagi Ali Mustafa yang membimbing Grillion pula, keinginan duta besar itu untuk memeluk agama Islam bukan disebabkan oleh tekanan atau kerana ingin bernikah dengan wanita Islam.
Sebaliknya, hasrat itu, katanya, bertitik tolak daripada hidayah yang diperoleh Grillion daripada Allah.
Keseriusan Grillion untuk memeluk agama Islam dapat dilihat melalui usahanya mendalami agama itu daripada tokoh agama tersohor Indonesia, Prof. Quraish Shihab selain dengan beliau sendiri sebagai Imam Besar Masjid Istiqlal.
Grillion juga berhasrat menukar namanya kepada Ibrahim.
"Saya cadangkan ditambah Muhammad pada awal nama itu," tambah Suryadharma pula.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_04/Duta-Besar-Paraguay-di-Indonesia-peluk-agama-Islam#ixzz2gEgq3YqO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pesara tanam sayur gergasi



IAN NEALE menunjukkan lobak merah terbesar di Britain yang ditanam di kebunnya di Langstone, selatan Wales.- AGENSI


LONDON - Seorang pesara memecahkan dua rekod perkebunan semalam apabila dia mendedahkan lobak swede terbesar di dunia dan lobak merah paling besar di Britain.
Ian Neale memecah rekodnya sendiri dengan menanam lobak swede seberat 54 kilogram (kg) dan mengatasi satu lagi rekod apabila lobak merahnya mencatat berat 8.35 kg.
Semua sayuran itu ditanam di kebun belakang rumahnya di Langstone, selatan Wales.
Neale, 70, menggunakan baja buatan sendiri dengan ramuan yang disempurnakan sejak lebih 30 tahun lalu untuk menghasilkan tanaman yang segar dan besar.
"Namun, jika cuaca tidak terlalu pelik pada tahun ini seperti musim panas yang ekstrem, saya rasa saya dapat menanam sayuran lebih besar," katanya.
Dia mempamerkan produk pertanian itu menjelang pameran tanaman musim luruh di Worcestershire.
Pameran tersebut menarik kehadiran sekitar 50,000 pengunjung pada setiap tahun.
Dalam pada itu, seorang pekerja pasar raya, Richard Smith, 48, mempamerkan sebiji labu gergasi seberat 100 kg. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2gDzJcCRj 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi kuat gegar barat daya Pakistan



MANGSA-MANGSA gempa bumi Pakistan diberi bantuan khemah di sebuah lokasi di Awaran, barat daya Pakistan semalam.- AFP


ISLAMABAD - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan barat daya Pakistan semalam beberapa hari selepas rantau berkenaan dilanda gempa yang meragut lebih 300 nyawa.
Menurut pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran baharu itu pada pukul 12.34 tengah hari (waktu tempatan)
Ia berpusat 96 kilometer (km) ke timur laut daerah Awaran pada kedalaman 14km di bawah permukaan bumi.
"Ini bukan gegaran susulan tetapi, satu gempa bumi berasingan," kata Pengarah Pusat Seismik Pakistan, Zahid Rafi di saluran Geo TV.
Bagaimanapun, ketua ahli meteorologi Pakistan, Arif Mehmood memberitahu saluran televisyen Express News bahawa gegaran semalam berukuran 7.2 pada skala Richter.
Awaran yang merupakan daerah pedalaman di wilayah Baluchistan digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter pada Selasa lalu.
Bencana buruk tersebut meragut 359 nyawa dengan lebih 100,000 orang hilang tempat tinggal.
Seorang wartawan agensi berita AFP di Awaran berkata, beratus-ratus pesakit yang dirawat di sebuah hospital lari menyelamatkan diri apabila gegaran baharu berlaku. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2gDykYTjj 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, September 28, 2013

Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiri

Bosan di kuliah, pelajar lukis di peha sendiriFLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Jodi Steel menghilangkan rasa bosan dalam bilik kuliah dengan cara unik.

Gadis kelahiran Florida ini bakal melukis pehanya sendiri semasa menunggu kuliah pensyarahnya berakhir.

Sebaik pulang ke rumah, Steel akan memuatnaik gambar itu di blognya dan memadamkannya lukisan di pehanya.

Uniknya, lukisannya itu menghasilkan gambar-gambar yang mengagumkan dan membuatkan ramai pelawat ke blognya.

Malahan beberapa gambar 'hasil seninya' yang sering mendapat perhatian adalah seperti wajah pelakon dan seniman seperti Joseph Gordon-Levitt serta vokalis Radiohead, Thom Yorke sehingga ke gambar gajah dan kucing.

“Selalunya, orang memang berharap karya seninya dilihat orang tetapi saya sendiri tak berfikir bahawa gambar-gambar ini akan menjadi perhatian orang,” katanya seperti yang dipetik dari Daily Mail.

Tentera udara yang hilang sejak WW II dikebumi

Tentera udara yang hilang sejak WW II dikebumi28 September 2013
SALT LAKE CITY – AMERIKA SYARIKAT. Setelah 69 tahun hilang tanpa khabar berita, akhirnya keluarga juruterbang Perang Dunia Kedua dapat menarik nafas lega apabila beberapa rangka tulang juruterbang itu ditemui, baru-baru ini.

Walaupun tidak berada dalam jasad yang lengkap, mendiang tetap dikebumikan dengan penghormatan penuh adat istiadat ketenteraan di Utah, semalam.

Pesawat yang dipandu Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) Kedua, Leftenan Vernal J.Bird terhempas di sebuah pulau berhampiran Lautan Pasifik hampir 70 tahun yang lalu.

Bird hilang di Papua New Guinea ketika pengeboman lapangan terbang Jepun pada tahun 1944.

Kawasan kejadian ditemui 12 tahun lalu tetapi serpihan mayat yang ditemui baru dikenal pasti yang mengatakan ia milik Bird.

Hanya tulang kaki Bird yang ditemui dan ia dibawa dalam sebuah keranda yang dilitupi bendera.

Minggu ini, kira-kira 150 saudara mara Bird dari jauh datang ke Lapangan Terbang Salt Lake untuk menyambut ‘kepulangan’ Bird.

Namun, serpihan mayat juruterbang bersama Bird, Sarjan Roy Davis dari New Hampshire tidak ditemui.

Wanita urus ladang 283 hektar


Dari kiri, Harriet, Carol, Georgina, dan Katy, mengambil tanggungjawab menguruskan ladang keluarga selepas kematian suami dan bapa mereka. - AGENSI
LONDON 27 Sept. - Walaupun bidang perladangan didominasi oleh lelaki, seorang ibu dan tiga orang anak perempuannya bertindak mengambil alih pengendalian ladang seluas 283 hektar apabila kematian ketua keluarga mereka akibat kanser.
Carol Besent, 52, mengambil keputusan untuk meneruskan ladang milik suaminya itu, Michael yang meninggal dunia empat tahun lalu, berbanding menjualkannya.
Keputusan untuk bekerja di ladang Higher Melcombe Farm di Dorchester, Dorset yang mengeluarkan komoditi gandum dan barli itu mendapat sokongan daripada tiga orang anak perempuannya.
Carol mengusahakan ladang tersebut bersama anak keduanya Harriet, 25, yang memiliki ijazah pertanian dengan Georgina, 28, dan Katy, 21, bertindak sebagai buruh.
Mereka kini sibuk mengusahakan ladang yang mampu menjana pendapatan satu juta pound (RM5.17 juta) setahun.
Ini berikutan musim penuaian semakin dekat yang memerlukan mereka bekerja selama 14 jam sehari.
Katy akan mengendalikan jentera penuai manakala Harriet akan memandu jentolak dan lori treler untuk membawa sebanyak 400 tan hasil tuaian barli dan Georgina pula akan menguruskan proses pemerahan susu melibatkan 180 ekor lembu susu.
Carol berkata, banyak pihak terkejut dengan keputusan yang diambilnya untuk menguruskan ladang tersebut.
"Ada yang memberikan sokongan dan nasihat kepada kami, perladangan secara tradisinya tidak diuruskan oleh kaum wanita dan beberapa petani tradisional melihat perkara dari sudut yang berbeza.
''Tetapi kami tidak melakukan semua perkara dan bertindak mengupah pekerja untuk membantu kami," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130928/lu_08/Wanita-urus-ladang-283-hektar#ixzz2g8CZY8E3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pil uri wanita bersalin semakin popular di AS


LAURA CURTIS mencuci uri wanita bersalin di kediamannya di Lindon, Utah pada 13 September lalu.


LINDON, Utah - Seorang wanita, Laura Curtis menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kapsul uri wanita bersalin sebagai makanan tambahan.
Amalan memakan uri sendiri semakin mendapat tempat di negeri Utah, Amerika Syarikat(AS). Ia ekoran organ itu dipercayai memiliki pelbagai khasiat sekali gus baik untuk ibu yang menyusu bayi mereka.
Jurucakap sebuah hospital di Utah memberitahu, dianggarkan antara 5 hingga 10 peratus ibu yang bersalin di fasiliti berkenaan akan meminta agar uri mereka disimpan.
"Amalan ini semakin popular, permintaan untuk uri kini bertambah," kata pengurus jururawat Hospital Universiti, Bernice Tenort.
Dalam pada itu, di kediamannya di sini, Curtis akan terlebih dahulu membuang gumpalan darah dan keganjilan lain pada uri sebelum mengukus organ itu selama 12 minit.
Uri tersebut kemudian dikisar menjadi serbuk sebelum diisi ke dalam kapsul ubat.
"Selain memakai sarung tangan, saya akan memastikan setiap peralatan dicuci dengan cecair pembunuh kuman sebelum melakukan kerja ini," kata Curtis.
Menurutnya, uri yang hendak digunakan perlu disimpan di dalam peti sejuk dan dihantar kepadanya dalam tempoh 48 jam selepas bersalin.
"Doktor juga perlu mengesahkan organ tersebut tidak dicemari kuman hepatitis atau HIV.
"Ramai pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan saya sehingga mendorong saya memasak 18 hingga 20 uri sebulan untuk dijadikan kapsul," tambah wanita itu.
Menurutnya, permintaan untuk kapsul uri itu meningkat 200 peratus sejak perniagaan tersebut diasaskan pada tahun 2011.
Dalam pada itu, seorang ibu berusia 28 tahun, Amy Coffield memberitahu, pil uri tersebut telah membantu menyelamatkan nyawanya.
"Selepas melahirkan bayi pertama, saya meroyan dan tidak ingin hidup.
"Namun, selepas mengambil pil uri sendiri ini. saya kembali ceria dan dapat melaksanakan tugas sebagai seorang ibu dan isteri," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2g83ESSfc 
Hakcipta terpelihara 

Menara ikan buntal setinggi 15 tingkat



MENARA berbentuk seperti ikan buntal yang dalam pembinaan di sebuah pulau di Daerah Yangzhong, selatan China.- Agensi


YANGZHONG - Sebuah menara pemantau menyerupai seekor ikan buntal gergasi mencetuskan kontroversi dalam kalangan pengguna internet di China, lapor sebuah akhbar semalam.
Dibina menggunakan 8,920 kepingan tembaga dan menelan belanja 70 juta yuan (RM37.4 juta), menara itu terletak di sebuah pulau di daerah ini, dalam wilayah Jiangsu di timur China.
Binaan berkenaan memiliki ketinggian 15 tingkat.
Penduduk setempat yang menyambut baik pembinaan menara itu memberitahu, struktur mewah itu meningkatkan imej daerah mereka.
Namun, ramai pengguna internet menganggap pembinaan menara tersebut satu pembaziran.
"Saya benar-benar memuji golongan kaya ini kerana sanggup berbelanja besar untuk membina sesuatu yang tidak berguna," kata seorang pengguna laman jaringan sosial Sina Weibo, Mother 988 secara sinis.
Akhbar People's Daily yang menjadi lidah pemerintah China mengakui bahawa orang ramai mempunyai pendapat yang berbeza berhubung menara tersebut.
Rekod awam menunjukkan pentadbiran wilayah Jiangsu mempunyai hutang paling banyak di China. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2g82e0d7b 
Hakcipta terpelihara 

Pelukis hasilkan tiga lukisan serentak



Kiessling menghasilkan sebuah lukisan di Vienna manakala paparan skrin menunjukkan sebuah robot menirunya di London kelmarin.- REUTERS


VIENNA - Seorang artis seni melukis tiga keping gambar di tiga ibu kota di Eropah secara serentak kelmarin.
Pencapaian tersebut dilakukan oleh Alex Kiessling dengan bantuan dua robot yang meniru lukisannya pada masa sebenar, di Britain dan Jerman.
Kiessling melukis di bandar raya ini manakala sepasang robot industri di London dan Berlin pula melukis gambar sama secara serentak.
Dia berbuat demikian dengan bantuan siaran satelit.
Para penonton di London dan Berlin dapat melihat perkembangan lukisan tersebut pada skrin gergasi.
"Lukisan oleh robot-robot berkenaan masih sebahagian daripada karya saya tetapi ia mempunyai fungsi yang berbeza," kata Kiessling. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2g82JZxKR 
Hakcipta terpelihara 

Friday, September 27, 2013

Pak belang tinggal serumah

Pak belang tinggal serumahBorges bersama seekor daripada harimau peliharaan di Sao Paulo.

SAO PAULO - BRAZIL. Sebuah keluarga pencinta haiwan sanggup tinggal serumah dengan tujuh harimau seberat kira-kira 222 kilogram di Maringa, Brazil.

Ary Borges berkata, beliau mula memelihara haiwan pemangsa itu selepas menyelamatkan dua harimau dari sarkas lapan tahun lalu.

"Saya tidak bimbang membiarkan anak dan cucu bermain dengan harimau ini. Kita perlu tunjukkan rasa sayang dan hormat kepada haiwan itu supaya ia lebih jinak," katanya pada Daily Mail.

Menurutnya, selain membenarkan harimau itu bebas, mereka juga melakukan aktiviti riadah bersama.

"Saya terpaksa mengawal pembiakannya selepas pihak berkuasa mengehadkan permit pemilikan," katanya.

Beliau berkata, keluarganya kini dalam perancangan membina taman eko seluas 17 hektar untuk melakukan program pembiakan.

Gempa Pakistan wujudkan pulau baru

Gempa Pakistan wujudkan pulau baruOrang ramai mengunjungi 'pulau baru' di perairan Gwadar. Gambar kecil: Lokasi pulau.

ISLAMABAD - PAKISTAN. Sebuah pulau baru kira-kira 600 meter dari pantai Gwadar di Laut Arab terbentuk selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 skala Richter melanda daerah Awaran di wilayah Balochistan, Pakistan, kelmarin.

Ketua Pusat Pemantauan Seismologi, Zahid Rafi berkata, pembentukan pulau sepanjang 91 meter dengan kedalaman 21 meter itu tidak mustahil jika dilihat kepada magnitud gempa.

"Gempa bumi yang besar boleh menyebabkan perubahan bentuk ketara pada kerak bumi, terutamanya di sepanjang pantai," katanya pada Press TV.

Seorang ahli biologi marin dari Institut Oseanografi Pakistan, Muhammad Danish berkata, dasar laut berhampiran pantai Makran mempunyai hidrat gas beku dengan jumlah metana yang besar menyebabkan pengeluaran gas metana dari pulau itu.

Kemunculan pulau berhampiran Gwadar itu adalah yang keempat di rantau itu sejak 1945.

Sementara itu, media melaporkan, jumlah kematian akibat gempa bumi telah meningkat melebihi 340 orang. "Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan," kata laporan itu.

IPhone warna emas dilelong RM32,534



IPHONE 5S berwarna emas ini dilelong pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga runcit.


LONDON - Versi terbaharu telefon pintar iPhones 5S berwarna emas dijual di laman web lelongan eBay pada harga AS$10,100 (RM32,534), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Telefon pintar keluaran firma Apple Inc. itu dijual pada harga lebih tinggi berbanding telefon pintar bersalut emas lain yang berada di pasaran.
Selain itu, Apple turut menghasilkan telefon pintar iPhones 5S dalam versi warna perak dan kelabu.
Gajet kesukaan ramai itu menjadi rebutan peminatnya sejurus ia memasuki pasaran pada Jumaat lalu.
Sejumlah pengguna eBay sedaya upaya cuba memiliki telefon pintar berwarna emas berkapasiti 16GB itu dengan membida 12 kali ganda lebih tinggi daripada harga runcit.
Pada saat-saat akhir bidaan, harga tawaran yang bermula pada AS$2,500 (RM8,053) meningkat kepada AS$10,100(RM32,534).
Walaupun iPhone berwarna emas sudah beberapa kali dijual di eBay, lelongan tersebut mencatat harga paling tinggi setakat ini.
Dalam pada itu, Apple mendedahkan, ia telah menjual sebanyak sembilan juta unit iPhone 5S dan iPhone 5C dalam tempoh tiga hari selepas gajet berkenaan dilancarkan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2g21LkwvZ 
Hakcipta terpelihara 

Keluarga di Brazil bela tujuh ekor harimau



SEEKOR harimau bergurau dengan Borges di meja makan ketika ahli keluarganya menjamu selera bersama.


MARINGA - Sebuah keluarga di Brazil memelihara tujuh ekor harimau di rumah mereka sebagai haiwan peliharaan sejak lapan tahun lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Tindakan tersebut bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada mereka.
Pemilik haiwan itu, Ary Borges berkata, dia telah menyelamatkan dua ekor harimau dewasa bersama beberapa ekor anak harimau daripada sebuah sarkas.
Borges, 43, kemudian membina sebuah kandang di belakang rumahnya untuk memelihara dan membiak mamalia tersebut.
Ahli-ahli keluarga Borges makan dan berenang bersama harimau-harimau itu. Malah, dia turut membenarkan anak-anaknya menunggang binatang buas berkenaan.
"Saya tidak pernah risau apabila anak-anak saya bermain dengan harimau-harimau itu," kata Borges.
"Anda perlu tunjukkan rasa hormat dan kasih pada haiwan ini. Dengan cara itu, kita akan disayanginya," tambahnya.
Borges dan tiga anak perempuannya Nayara, 20, Uyara, 23, dan Deusanira, 24, kerap membawa harimau-harimau tersebut bersiar-siar.
Lelaki berkenaan juga memberi makan dengan menyuap daging ke mulut haiwan liar berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2g210DCvm 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, September 26, 2013

327 mangsa gempa


Aaran (Pakistan): Petugas penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa gempa bumi yang meragut 327 nyawa dalam kejadian gempa bumi yang melanda barat daya negara itu, semalam.

Bencana itu turut meruntuhkan ribuan rumah dan membentuk sebuah pulau baru di pesisir pantai.


Gempa bumi 7.7 magnitud itu berlaku di daerah Awaran di Wilayah Baluchistan.

Pegawai berkata, 327 orang disahkan mati setakat ini, 208 di daerah Awaran.


Jumlah itu dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat menghampiri lebih banyak kampung di kawasan pedalaman.


“Sejumlah enam daerah iaitu Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar dan lebih 300,000 penduduk terjejas akibat gempa bumi itu,” kata jurucakap Kerajaan Baluchistan Jan Muhammad Buledi.

Ketua agensi pengurusan bencana wilayah, Abdul Latif Kakar berkata, 30 mangsa disahkan terbunuh di daerah Kech.


Buledi berkata, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mayat tetapi memberi keutamaan kepada mangsa cedera untuk dibawa ke hospital segera walaupun tugas yang sukar kerana kawasan terpencil dan tiada kemudahan.

“Kami tiada kemudahan perubatan dan tidak ada ruang untuk merawat mangsa yang cedera di hospital di sini.


“Kami berusaha menghantar mangsa yang cedera parah ke hospital Karachi dengan menaiki helikopter dan pesakit lain ke daerah berdekatan,” katanya.


Pihak berkuasa Hospital Karachi Aga Khan berkata pihaknya sudah bersedia menerima pesakit, tetapi tiada seorang pun tiba setakat ini.


Tentera menghantar 100 kakitangan perubatan dan 1,000 anggota lain ke kawasan terbabit dan membina sebuah pusat perubatan di Tarteej, kawasan paling teruk dilanda bencana itu.


Pasukan tentera laut pula menghantar sebuah kapal membawa bekalan ke pelabuhan Gwadar dan pesawat untuk membawa mangsa cedera ke Karachi dan Ormara.


Seorang pegawai kanan di Awaran, Abdul Rasheed Baluch berkata, pasukan petugas berusaha mencari mayat dan mangsa yang terkambus dalam lumpur.


“Kira-kira 90 peratus rumah di daerah berkenaan musnah. Hampir semua rumah yang dibina daripada lumpur di situ runtuh,” katanya, semalam. Gempa yang berlaku lewat malam kelmarin turut dirasakan sejauh New Delhi dan Dubai.


Penduduk bandar Ahmedabad di India yang bersempadan dengan Pakistan turut merasa gegaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

Hidung baru atas dahi

Foto
DOKTOR memeriksa hidung asal Xiaolian yang mengalami jangkitan.
Foto
HIDUNG baru Xiaolian.

Beijing: Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Xiaolian mempunyai hidung baru yang tumbuh di dahinya.

Xiaolian, 22, menjalani rawatan bagi menggantikan hidung asalnya yang cacat selepas dijangkiti virus di sebuah hospital di Fuzhou, wilayah Fujian.


Xiaolian, mengalami kecacatan di bahagian hidungnya akibat kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu dan doktor yang merawatnya gagal memulihkan hidungnya.

Ekoran nahas yang dialaminya, hidung Xiaolian mengalami jangkitan dan tulang hidungnya terjejas.


Doktor tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa menjalankan prosedur yang membolehkan hidung barunya tumbuh di dahi bagi menggantikan hidung asalnya.


Hidung itu direka dengan menanam tisu kulit ke dahi Xiaolian.


Ia dipotong mengikut bentuk hidung dan disokong oleh tulang rawan yang diambil daripada rusuk Xiaolian.


Pakar bedah berkata, hidung baru itu tumbuh dengan baik dan pembedahan transplan akan dijalankan dengan secepat mungkin. - Agensi

Berlian merah jambu sebesar biji plum akan dilelong



SEORANG model menunjukkan berlian seberat 59.6 karat di Geneva, Switzerland semalam.- afp


GENEVA - Sebutir berlian merah jambu seberat 59.60 karat yang dikenali sebagai Pink Star akan dilelong oleh firma Sotheby pada November depan pada harga tawaran AS$60 juta (RM196.8 juta).
Harga tersebut adalah yang paling mahal untuk sebutir batu permata.
"Sebutir berlian merah jambu seberat 5 karat adalah sukar untuk ditemui, bayangkan permata ini mempunyai berat 59.60 karat," kata pengerusi divisyen barang kemas Sotheby's, David Bennett.
Menurutnya, batu berlian itu dilombong oleh firma De Beers di Afrika pada 1999 tanpa mendedahkan nama negara berkenaan.
"Berlian merah jambu yang sebesar buah plum kering itu dahulunya seberat 132.5 karat sebelum dicanai," ujar Bennet. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2fwGWnqC2 
Hakcipta terpelihara