Pencipta Facebook, Mark Zuckerberg dalam foto keluarganya yang dimuatnaikkan dalam Laman Facebook miliknya baru-baru ini.
PEMILIK dan pencipta Facebook, Mark Zuckerberg telah memuatnaik gambar dia bersama isterinya yang sarat mengandung serta bapa, ibu dan adik perempuannya sempena menjelang perayaan 'Thanksgiving' tidak lama lagi.
Dalam foto yang dirakamkan oleh jurugambar popular dunia, Annie Lebowitz, Mark Zuckerberg kelihatan mendakap isterinya Priscilla - seorang warga Amerika keturunan China-Vietnam - yang kini sedang sarat mengandung dan dijadualkan untuk melahirkan anak sulung mereka tahun depan.
Turut bersama-samanya dalam potret keluarga itu yang jarang-jarang dapat disaksikan oleh dunia ialah ibunya Karen, bapanya Edward dan adik perempuan Arielle.
Mark tidak menyembunyikan perasaan sayangnya kepada ahli keluarga terdekat dan juga isterinya.
"Priscilla dan saya mempunyai begitu banyak perkara yang ingin diucapkan menjelang perayaan Thanksgiving dan musim cuti ini dan keluarga adalah yang teratas di dalam senarai keutamaan saya," tulisnya.
Mark buat pertama kalinya mengumumkan tentang kemunculan anak pertamanya Julai lalu juga menerusi Facebook.
Dia juga telah mengumumkan baru-baru ini akan hasratnya untuk mengambil cuti selama dua bulan untuk mengasuh anaknya sendiri tahun depan.
Facebook - rangkaian sosial dalam talian terbesar dunia - mempunyai polisi yang membenarkan kakitangannya di Amerika Syarikat mengambil cuti selama empat bulan dengan bayaran gaji penuh untuk membantu isteri mengasuh anak di rumah.
Cuti itu boleh diambil secara terus selama empat bulan atau berperingkat-peringkat mengikut kesesuian seseorang kakitangan itu sepanjang tempoh tahun pertama anak itu dilahirkan.
Kajian menunjukkan jika keluarga yang bekerja menghabiskan satu tempoh masa yang tertentu untuk bersama anak mereka yang baru dilahirkan, hasilnya adalah jauh lebih baik sama ada untuk kanak-kanak itu atau keluarga mereka.
Mark Zuckerberg, 31, dan Priscilla Chan, 30, berkahwin pada 19 Mei 2012 dalam satu majlis yang sederhana dan jauh daripada segala publisiti walaupun dia seorang jutawan sehinggakan para tetamu pada mulanya menyangka mereka hadir untuk meraikan majlis graduasi Priscilla yang baru tamat pengajiannya dalam bidang perubatan.
Mereka mengumumkan majlis perkahwinan mereka - sepertimana juga mereka mengumumkan berita kehamilan Priscilla tidak lama selepas itu - menerusi laman Facebook.
Mark dan Priscilla bertemu buat pertama kalinya ketika mereka sama-sama melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard pada 2003.
Priscilla menyifatkan Mark sebagai seorang suami yang kelakar dan sangat mengambil berat akan orang di sekelilingnya.
"Dia adalah seorang yang sangat sensitif dan sangat-sangat mengambil berat akan orang yang memerlukan bantuan dan sentiasa cuba untuk memenuhi hajat seseorang. Dan itulah Mark yang saya kenali," ujar isterinya itu.
Kedua-dua pasangan tersebut telah menderma sejumlah wang yang besar kepada kerja-kerja amal khususnya yang melibatkan kesejahteraan kanak-kanak termasuklah menderma sebanyak AS$120 juta kepada Sekolah Rendah Bay Area pada tahun 2014 dan sebelum itu pernah menderma sebanyak AS$100 juta kepada Sekolah Rendah Newark pada 2010.