Banyuwangi, Indonesia: Setiap kali lelaki berusia 42 tahun ini memperkenalkan dirinya, pasti ramai yang menyangka dia hanya bergurau.
Mana tidaknya, lelaki yang bekerja sebagai tukang kayu ini mempunyai nama yang unik iaitu Tuhan.
Tuhan berkata, kerana namanya itu, dia terpaksa menunjukkan kad pengenalan dirinya bagi meyakinkan itu adalah nama sebenarnya.
Menurutnya, nama itu diberi ibu bapanya dan sehingga kini dia tidak tahu mengapa dia diberi nama Tuhan.
“Enam adik-beradik saya mempunyai nama biasa, tetapi hanya saya yang mempunyai nama yang unik.
“Saya tidak pernah bertanya dan ibu bapa saya juga tidak pernah memberitahu sebab memilih nama ini sehinggalah mereka meninggal dunia,” katanya.
Katanya, dia tidak pernah berasa namanya itu pelik sehinggalah kisahnya itu menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
“Kebelakangan ini ramai yang bertanyakan nama saya dan mereka mahu melihat kad pengenalan saya kerana tidak percaya nama saya adalah Tuhan.
“Tidak sangka, saya terkenal kerana nama ini,” jelasnya.
Menurutnya, dia sudah berkahwin dan mempunyai dua anak perempuan.
Sementara itu, isterinya, Husnul Hotimah berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan nama unik suaminya itu.
“Orang sering bergurau bahawa saya isteri Tuhan dan rumah Tuhan ada di bandar ini,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:22 AM
KAD pengenalan Tuhan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72538#sthash.aar9CcPV.dpuf