TIDAK ramai yang mengetahui wujudnya sebuah istana indah, Istana Moosham yang terletak di Salzburg, Austria.
 
Kepada yang pernah berkunjung ke Austria, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke istana yang megah berdiri sejak abad ke-13 ini.
 
Istana ini dibina oleh Putera Biskop Salzburg dan dibina 1,079 meter dari aras laut.
 
Bagaimanapun, istana indah ini menyimpan sejarah yang aneh dan jahat.
 
Menurut sejarah, istana ini dikatakan menjadi lokasi pembunuhan kejam ke atas ribuan wanita yang didakwa mengamalkan ilmu sihir pada zaman tersebut.
 
Pada masa itu, wanita-wanita hidup ketakutan kerana bimbang dituduh mengamalkan ilmu sihir oleh pemerintah mereka.
 
Penganiayaan yang sangat kejam ini berlaku antara tahun 1675 dan tahun 1690.
 
Sejarah mengatakan, sesiapa sahaja yang ditangkap dan dituduh sebagai ahli sihir akan dibicarakan di istana tersebut.
 
Ada di antara mereka yang mati dirantai di dalam kurungan, selebihnya akan mati ketika diseksa atau ketika hukuman mati dilaksanakan.
 
Wanita-wanita yang dituduh sebagai ahli sihir akan diarahkan kepalanya dipenggal.
 
Mangsa termuda yang dituduh sebagai ahli sihir adalah seorang budak miskin yang merupakan seorang pengemis jalanan.
 
Dia tidak mampu membela dirinya dalam perbicaraan, menyebabkan dia diseksa sebelum dijatuhi hukuman.
 
Kaedah yang digunakan untuk menyeksa mangsa-mangsa pula dianggap sangat mengerikan dan meninggalkan kesan ke atas diri mereka sepanjang hayat mereka.
 
Ada yang dipotong jari dan tidak kurang juga ditekap besi panas di bahagian tubuh badan bagi menandakan mereka pernah dituduh sebagai ahli sihir.
 
Akibat tidak dapat menahan derita dan mahu kesakitan dihentikan, kebanyakan mereka terpaksa mengaku mengamalkan ilmu sihir.
 
Kini Istana Moosham diubah menjadi muzium dan buka kepada umum untuk lawatan harian.
 
Ramai di antara pengunjung dan pekerja muzium mendakwa pernah mengalami beberapa siri aneh di dalam istana tersebut.

Menurut Pemilik semasa istana, Theresita Wilczek berkata, Bilik Toni adalah bilik yang paling menyeramkan bagi semua pengunjung yang pernah melawat istana tersebut.

Katanya, bilik tersebut pernah dihuni oleh lelaki yang bertanggungjawab menyeksa wanita-wanita berkenaan sebelum menjalankan hukuman mati ke atas mereka.
 
Istana Moosham juga dipanggil Istana Ahli Sihir kerana sejarahnya yang hitam dan panjang.