Pages

Saturday, March 29, 2014

Lembu berjalan berkaki dua


Anak lembu berkaki dua milik Paisan mendapat perhatian penduduk Desa Wonodadi apabila haiwan itu bergerak seperti kanggaru. - AGENSI
MOJOKERTO, Jawa Timur - Seekor lembu milik seorang penduduk di Desa Wonodadi, di sini menarik perhatian orang ramai apabila haiwan itu berjalan seperti kanggaru kerana hanya mempunyai dua kaki sejak dilahirkan.
Pemiliknya, Paisan, 70, berkata, ketika dilahirkan, lembu tersebut tidak mampu berjalan kerana dilahirkan cacat dengan memiliki dua kaki sahaja.
Katanya, selepas empat hari, lembu betina itu mula menunjukkan keunikan apabila mampu berjalan seperti kanggaru walaupun tidak sempurna.
"Cara lembu tersebut melompat seperti kanggaru menarik perhatian ramai penduduk kampung yang tidak putus-putus datang ke rumah saya untuk melihat aksi haiwan itu.
"Malah ada antara mereka menganggap lembu yang dilahirkan dengan dua kaki merupakan kejadian luar biasa dan membawa keberkatan kepada saya," katanya kepada tribunnews.com.
Walaupun lembunya cacat, Paisan tetap mahu menjual haiwan itu dengan harga 10 juta rupiah (RM2,899) jika ada pembeli yang berminat.
Sebelum ini, Indonesia pernah digemparkan dengan dua ekor lembu yang berjalan seperti kanggaru iaitu anak lembu milik Pak Madyo dari Yogyakarta dan anak lembu milik Solikin dari Banyuwangi, Jawa Timur.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140329/lu_07/Lembu-berjalan-berkaki-dua#ixzz2xLZpUs1G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Biola tahun 1719 dijangka dilelong lebih RM147 juta


GAMBAR menunjukkan biola yang dibuat pada tahun 1719 yang akan dilelong pada Jun depan.


NEW YORK - Sebuah biola yang dibuat pada tahun 1719 oleh Antonio Stradivari akan dilelong oleh firma lelongan Sotheby's.
Biola itu dijangka dilelong pada harga lebih AS$45 juta (RM147 juta) pada Jun depan.
Setakat ini, hanya 10 biola buatan Stadivari yang masih ada dalam simpanan peribadi.
Biola yang akan dilelong itu dikenali sebagai Macdonald kerana ia pernah dibeli oleh golongan bangsawan Ireland, Baron Macdonald, Godfrey Bosville Ketiga pada tahun 1820-an.
Ia kemudian menjadi milik mendiang Peter Schidlof pada tahun 1964.
Firma Sotheby's kini mewakili pihak pentadbir hartanah Schidlof untuk melelong biola tersebut.
Jika ia berjaya dijual pada harga lebih RM147 juta itu, biola tersebut akan mencipta rekod lelongan paling tinggi di dunia.
Sebelum ini, biola yang dibuat pada tahun 1791 dan dikenali sebagai Lady Blunt dilelong pada harga AS$15.9 juta (RM51.95 juta) pada tahun 2011.
Lelongan itu dibuat menerusi online. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2xLUjPETJ 
Hakcipta terpelihara