Pages

Friday, January 11, 2013

Terapi tunggang kuda atasi ketagih



Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kim menunggang seekor kuda di Pusat Pemulihan Melalui Menunggang Kuda di Incheon barat Seoul 26 Disember lalu. - REUTERS
INCHEON 9 Jan. - Satu program terapi menunggang kuda menjadi kaedah baharu ibu bapa di Korea Selatan untuk membendung masalah ketagihan melayari internet terutamanya laman lucah dalam kalangan remaja negara ini.
Sebagai negara yang dua pertiga daripada penduduknya memiliki telefon pintar, masalah ketagihan terhadap internet dalam kalangan remaja menjadi isu utama di Korea Selatan.
Maklumat kerajaan menunjukkan, kira-kira 680,000 kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 tahun hingga 19 tahun sering menghabiskan masa melayari Internet.
Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan tampil dengan program yang dikenali sebagai 'Shutdown Law' pada tahun lalu iaitu melarang remaja berusia 16 tahun ke bawah melayari internet dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Namun program tersebut tidak memberi kesan positif memandangkan remaja boleh mengakses Internet menggunakan akaun ibu bapa mereka.
Sebagai contoh, kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang hanya dikenali sebagai Kim berkata, kebiasaannya dia akan menghabiskan masa selama tujuh jam sehari untuk melayari internet.
Dia menjelaskan, ibu bapanya telah mencuba pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah tersebut termasuk memarahinya, menggunakan terapi muzik dan seni, namun masih gagal menyelesaikannya.
Bagaimanapun, pihak sekolahnya mencadangkan terapi di Pusat Pemulihan Melalui Menunggang Kuda, pertubuhan terapi yang menggunakan kaedah menunggang kuda bagi memulihkan masalah emosi dan kelakuan, termasuklah masalah ketagihan internet.
"Saya hanya memikirkan tentang kuda dan cara untuk menunggang haiwan berkenaan dengan lebih baik.
"Tumpuan saya terhadap kuda juga membuatkan saya semakin hilang minat kepada komputer dan internet," jelas remaja perempuan itu.
Menurut Kim, dia turut menjalani beberapa sesi kaunseling di pusat terapi itu, namun baginya terapi tunggangan kuda merupakan kaedah yang paling berkesan.
Tenaga pengajar menunggang kuda di pusat itu, Yoon Ga-eun berkata, kuda merupakan haiwan yang paling mudah untuk menghubungkan emosi dengan sesiapa sahaja.
Pusat Pemulihan Melalui Menunggang Kuda itu memiliki dua pusat terapi dan kira-kira 50 orang menjalani program rawatan untuk mengatasi masalah seperti tekanan perasaan, penghidap Sindrom Down, Autism dan Attention Deficit-Hyperactivity Disorder (ADHD) serta ketagihan Internet. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130110/lu_06/Terapi-tunggang-kuda-atasi-ketagih#ixzz2HeEvcluj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekerja sambil berdiri



LONDON 10 Jan. - Pekerja pejabat yang menghabiskan masa bekerja secara duduk sepanjang hari perlu menukar gaya dengan cara bekerja sambil berdiri.
Menurut satu kajian yang dijalankan oleh saintis dari Universiti Chester, Dr. John Buckley, berdiri selama tiga jam mampu membakar 3.6 kilogram lemak dalam tempoh setahun.
Katanya, pekerja boleh menukar gaya bekerja secara berdiri dengan menggunakan meja komputer biasa untuk menjalankan rutin harian.
Bekerja secara berdiri telah dipelopori oleh Ernest Hemingway yang merupakan seorang penulis yang menjalankan tugasan harian secara berdiri dengan sebuah meja khas paras dada.
Kata Buckley, menukar cara gaya bekerja daripada duduk kepada berdiri mampu mengurangkan obesiti dan melancarkan peredaran darah.
"Berdiri selama tiga jam mampu membakar 144 kalori,'' ujar saintis Jabatan Klinikal Sains dan Nutrisi Universiti berkenaan.
Katanya lagi, ramai pekerja banyak menghabiskan masa secara duduk, keadaan itu akan menyebabkan kadar metabolisma lemah.
''Ia bukan sesuatu yang normal, manusia dicipta untuk berdiri dan terus bergerak,''ujarnya lagi.
Beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan pakar perubatan yang menjalankan kajian untuk mengawal obesiti.
Terdapat beberapa laporan mengenai gaya hidup ringkas di pejabat dan rekreasi yang boleh merbahayakan.
Kajian yang dijalankan tahun lalu mempunyai kaitan antara gaya hidup ringkas dan peningkatan risiko kepada penyakit diabetis.
Sementara itu, satu kajian di Australia yang dikeluarkan pada Mac 2012, mendapati terlalu lama duduk mempunyai risiko untuk mudah meninggal dunia walaupun aktif dalam aktiviti fizikal.
Hasil kajian tersebut mendapati seorang dewasa yang duduk selama 11 jam atau lebih dalam masa sehari mempunyai 40 peratus risiko untuk meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun berbanding dengan mereka yang kurang daripada empat jam sehari. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130111/lu_09/Bekerja-sambil-berdiri#ixzz2HeE4zsxd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Robot mimik emosi budak


pix_topright
Sacramento: Walaupun belum mencapai tahap sempurna seperti manusia, satu robot yang baru dicipta di sebuah universiti California dilaporkan sangat mirip meniru mimik muka kanak-kanak.

Dinamakan sebagai Diego-San, robot itu mampu membuat pelbagai ekspresi wajah seperti bayi, termasuk tersenyum, menyeringai dan berkerut.


Namun, kelebihan Diego-San tidak dapat dinilai sepenuhnya kerana setakat ini cuma bahagian wajah siap dibina.

Dalam klip video dimuat naik di YouTube, Diego-San yang dicipta menyerupai budak berusia setahun mempamerkan pelbagai emosi, termasuk gembira, sedih, terkejut, keliru dan marah.


Malah, Diego-San juga boleh menggigit bibir bawahnya seperti aksi kanak-kanak hampir menangis.


Robot itu dicipta sekumpulan pakar dari Institut Kajian Neural Universiti California di San Diego.

Mereka memasang kamera berdefinisi tinggi pada Diego-San bagi membolehkan robot berkenaan ‘melihat’ semua gerakan dan emosi manusia. Sejenis bahan dikenali sebagai frubber digunakan bagi menghasilkan kulit fleksibel Diego-San serta beberapa robot lain yang pernah mereka cipta.


Pakar robotik di universiti berkenaan menggunakan teknologi sains komputer canggih bagi membolehkan robot berkenaan mempelajari pelbagai pengalaman - sama seperti dialami seseorang bayi.

Ekspresi muka bahagian penting bayi berkomunikasi dan membantunya menjalin hubungan dengan orang lain. Robot bayi itu dinaik taraf daripada versi asal.


Antara pembaharuan dibuat adalah rahang baru dibina sepenuhnya bagi meningkatkan keberkesanannya. Pakar robotik, Dr David Hanson, berkata mencipta robot yang mampu memahami serta membuat ekspresi muka adalah aspek penting dalam mengajar mereka memahami perasaan manusia. “Kami mahu menghasilkan robot pintar dan empatik kerana ia jauh lebih penting,” katanya. - Daily Mail

Menteri Syria 'buang' anak

Warga Iran yang dibebaskan pemberontak Syria ceria selepas tiba di Damsyik. - Foto AP
Warga Iran yang dibebaskan pemberontak Syria
ceria selepas tiba di Damsyik. - Foto 
AP Aleppo: Seorang menteri Syria tidak mengaku anak lelakinya adalah zuriat beliau kerana dia menjadi anggota pemberontak Tentera Syria Merdeka (FSA).

Soal keamanan negara adalah lebih utama daripada semua perkara lain termasuk pertalian keluarga, kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Parlimen, Mohamed Torky El-Sayed yang dipetik agensi berita SANA.
Beliau memberi ulasan itu ketika mengumumkan pendiriannya terhadap anaknya, Bassem.

El-Sayed juga menyifatkan keputusan pemuda itu untuk menyertai FSA hanya mencetuskan kemarahan dan menyebabkan anaknya dibenci.

Hubungan mereka berakhir lebih setahun lalu selepas Bassem mengambil pendirian bercanggah dengan kepentingan negara, kata menteri itu lagi.

El-Sayed mengakui beberapa kali cuba memujuk anaknya tidak menjadi anggota pemberontak yang mahu menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, tetapi gagal.

Beberapa laman web pembangkang Syria melaporkan Bassem sudah maut dalam pertempuran di Aleppo baru-baru ini.
Sementara itu, menurut laporan dari Damsyik, pemberontak membebaskan 48 warga Iran dalam tahanan mereka.

Mereka dilepaskan sebagai tukaran pembebasan lebih 2,000 tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak yang ditahan pihak berkuasa Syria.

Persetujuan itu dicapai selepas perunding Turki, Qatar dan Iran menjadi pengantara.

Ia adalah pertukaran tahanan terbesar sejak pemberontakan meletus, 22 bulan lalu.

Warga Iran berkenaan tiba di hotel Sheraton di ibu negara Syria dalam beberapa van dengan diiringi anggota keselamatan.

AGENSI

Spesies baharu katak terbang ditemui di Vietnam



GAMBAR bertarikh 23 Mei 2009 menunjukkan katak yang boleh terbang di Hutan Simpan Semula Jadi Nui Ong, wilayah Binh Thuan, Vietnam.


SYDNEY - Seorang ahli biologi Australia, Jodi Rowley dan beberapa rakannya dari Vietnam telah menemui satu spesies baharu katak yang boleh terbang.
Penemuan itu dibuat di Hutan Simpan Semula Jadi Nui Ong, wilayah Binh Thuan yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Bandar Ho Chi Minh.
Katak berwarna hijau itu 'terbang' dari sepohon pokok ke pokok yang lain.
Haiwan itu hanya turun dari pokok ketika musim mengawan.
Baru-baru ini, spesies haiwan tersebut diberi nama Katak Pokok Helen.
Helen merupakan nama ibu Rowley. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2HcGhTKqE 
Hakcipta terpelihara 

12 ikan paus di bawah lapisan ais




SEORANG lelaki menyaksikan dua ekor ikan paus pembunuh di sebuah lubang yang dikelilingi lapisan ais.



MONTREAL - Kira-kira 12 ekor ikan paus pembunuh terperangkap di bawah lapisan ais di Teluk Hudson, dekat Inukjuak, 1,500 kilometer dari sini sejak Selasa lalu.
Datuk Bandar Inukjuak, Peter Inukpuk mendesak supaya pihak pentadbiran Kanada menghantar sebuah kapal bagi memecahkan ais bagi menyelamatkan haiwan tersebut.
Ikan paus itu mendapatkan bekalan oksigen dengan muncul di sebuah 'lubang' yang dikelilingi lapisan ais. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2HcG1zLEK 
Hakcipta terpelihara 

Ribut salji landa Baitulmuqaddis



RIBUT salji melanda Amman, Jordan semalam.


BAITULMUQADDIS - Ribut salji yang jarang berlaku telah melanda kawasan utara Israel dan melumpuhkan pengangkutan awam di Baitulmuqaddis semalam.
Ia merupakan ribut salji yang terburuk sejak 20 tahun lalu sekali gus menyebabkan beberapa batang jalan raya dan sekolah terpaksa ditutup.
Seorang pegawai sebuah agensi bencana di Baitulmuqaddis, Elisha Peleg meminta penduduk tidak keluar ke rumah ekoran ribut salji itu.
Sebuah stesen radio tentera Israel memberitahu, salji setebal 10 sehingga 15 sentimeter memenuhi Baitulmuqaddis.
Kawasan pekarangan Masjid Al-Aqsa juga turut dipenuhi dengan salji.
Di Ramallah, Tebing Barat, Palestin, sejumlah penduduk termasuk kanak-kanak bermain salji.
Seorang penduduk, Dawla Suleiman, 23, saling membaling bola salji dengan rakan-rakannya.
"Ini merupakan hari yang indah. Ia merupakan hari untuk bermain dan bergembira (bermain salji)," katanya.
Seorang penduduk di Kampung Qusra, Tebing Barat, Abdelhamid Qusrawi berkata, salji yang turun itu adalah yang paling lebat pernah dilihatnya.
"Pada tahun 1991, kami pernah melihat lebih banyak timbunan salji.
"Bagaimanapun, selepas 10 tahun, hari ini (semalam) kami menyaksikan salji turun dengan lebat ," tambahnya.
Menurutnya, dia suka dengan salji.
"Saya keluar rumah dan bermain dengan beberapa anak saudara saya," katanya.
Abdelhamid berkata, dia membaling bola salji ke arah beberapa anak saudaranya.
Sementara itu, salji juga turun di Damsyik, Syria walaupun negara tersebut dilanda pertempuran antara penduduk tempatan yang menentang Presiden Bashar Al-Assad.
Salji juga kelihatan di bandar Homs.
Pertempuran antara penduduk tempatan dengan tentera Bashar bermula sejak Mac 2011.
Kumpulan penentang yang terdiri daripada rakyat tempatan bertindak menentang Bashar kerana beliau dianggap gagal membawa pembaharuan dan kebebasan hak bersuara.
Lebih 43,000 orang dilaporkan telah terbunuh di Syria.
Salji juga turun di sempadan Lebanon dengan Israel.
Di Jordan, pemerintah negara itu, Raja Abdullah II mengarahkan pihak tentera membantu mangsa-mangsa yang terperangkap akibat salji.
Ribut salji itu turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus di Lebanon, Jordan dan Israel. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2HcFEr7e4 
Hakcipta terpelihara