Pages

Saturday, December 22, 2012

Gempa bumi sederhana di Sumatera Utara



KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter, berlaku di pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada 11.50 pagi hari ini, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia.
 
Menurut kenyataan itu, lokasi gempa bumi itu ialah 144km barat daya Banda Acheh di Indonesia dan 658 km barat daya Langkawi, Kedah.
 
Gempa bumi itu tidak mendatangkan ancaman tsunami - Bernama

Kisah Hidup Ulama Pendiri Gerakan Hamas: Syekh Ahmad Yasin


Nama sebenar beliau Ahmad Ismail Yasin. Namun, dunia mengenalinya dengan panggilan Syeikh Ahmad Yasin. Mujahid yang berani itu lahir di desa jurah yang terletak di sebelah selatan kota Gaza, Palestin. Soal tarikh kelahirannya tak ada data yang pasti.

Syeikh Muhammad Said Mursi dalam Tokoh-tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah, mendedahkan, Syeikh Ahmad Yasin lahir tahun 1938. Ada pula yang menyebut lahir pada 28 Jun 1937. Namun, dalam paspornya disenaraikan 1 Januari 1929. Syeikh Ahmad Yasin sendiri pernah mengaku lahir pada 1938.

Ayahnya bernama Abdullah Yassin. Ia menjadi anak yatim ketika berusia tiga tahun. Ia mempunyai empat saudara laki-laki dan dua saudara perempuan. Dia dan seluruh keluarganya melarikan diri ke Gaza dan menetap di Kamp al-Shati, setelah desa tempat kelahirannya dijajah tentera Israel semasa Perang Arab-Israel pada 1948.

Syeikh Ahmad Yasin datang ke Gaza sebagai seorang pelarian. Menginjak usia 12 tahun, ia mengalami kelumpuhan total, setelah bermain gulat dengan kawannya Abdullah al-Khatib. Lehernya sempat diplester selama 45 hari. Namun, ia harus mengalami kelumpuhan seumur hidup.

Sejak kecil Syeikh Ahmad Yasin berjiwa bijak, sabar, dan tabah. Ia tak menceritakan kalau tubuhnya mengalami luka seperti itu kerana ulah temannya, al-Khatib. Semua itu dilakukannya, semata-mata kerana mereka tidak mahu hubungan persaudaraan antara keluarganya dengan keluarga teman yang telah melukainya retak. Ia hanya mengaku terluka ketika sedang bermain lompat katak di sekolahnya.

Meski keadaan fizikalnya tak seperti orang normal, kerana lumpuh, semangat belajarnya sangat tinggi. Ia sebenarnya diterima sekolah di Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir. Namun, keadaan kesihatannya yang semakin memburuk membuatnya terpaksa harus belajar di rumah.

Ia adalah seorang kutu buku. Minatnya pada ilmu falsafah, agama, politik, sosiologi, dan ekonomi membuatnya menjadi seorang tokoh. Masyarakat Gaza pun menjulukinya sebagai salah seorang penceramah atau pemidato tebaik di Jalu Gaza. Syeikh Ahmad Yasin pun dipercayai untuk menyampaikan khutbah mingguan, setelah solat Jumaat.

Sebagai seorang orator yang hebat, ceramahnya seakan mampu'' menyihir'' dan membuat masyarakat di Gaza terpana. Tak hairan jika setiap kali tampil berpidato atau berceramah massa menyemut mengelilinginya. Karier pertamanya adalah menjadi guru bahasa Arab pada sekolah dasar di Rimal, Gaza.

Awalnya, kepala sekolah SD itu, Mohammad al-Shawa tak yakin, Ahmad Yasin boleh diterima para pelajar untuk mengejar, kerana keadaan fizikalnya. Namun, secara mengejutkan, ia justru mampu menarik perhatian para pelajar kerana cara mengajarnya yang luar biasa. Mengajar murid-muridnya dengan hati dan keikhlasan membuatnya menjadi guru idola.

Aktivitinya di dunia poltik bermula dengan bergabung menjadi anggota Ikhwanul Muslimin cawangan Palestin. Pada 1987, bersama Abdul Aziz al-Rantissi, Syeikh Ahmad Yasin mendirikan sebuah organisasi bernama Hamas, yang dikenali sebagai sayap Ikhwan Muslimin di Palestuna. Ia pun menjadi tokoh yang disayangi umat dan ditakuti lawan.

- sumber dari republika.co.id-DETIK iSLAM

Sepuluh tanda kiamat

Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda

Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, “Apakah yang kamu semua sedang bincangkan.?”
Lalu kami menjawab, “Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat.”

Sabda Rasulullah S.A.W. “Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda :-

• Asap
• Dajjal
• Binatang melata di bumi
• Terbitnya matahari sebelah barat
• Turunnya Nabi Isa A.S
• Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
• Gerhana di timur
• Gerhana di barat
• Gerhana di jazirah Arab
• Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka.
Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat. Dajjal boleh membuat apa sahaja perkara-perkara yang luar biasa. Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan di antara kedua matanya tertulis perkataan ‘Ini adalah orang kafir’.
Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.
Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S.
Apabila binatang ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi orang itu ‘Ini adalah orang yang beriman’. Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan tertulislah ‘Ini adalah orang kafir’.

Turunnya Nabi Isa. A.S di negeri Syam di menara putih, beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W.
Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar. Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, ” Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq”
Berkata Ali bin Abi Talib, Akan datag di suatu masa di mana Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuk sahaja, Al-Qur’an hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah.
Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat.”
Sabda Rasulullah S.A.W, “Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, oarng dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat.”-Detik Islam

KETEGASAN MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH


Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan dan hormat kepadanya. Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar. Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah. 

Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.

Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.

Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya. Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.

"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku."

Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: "Anak damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang bernama Abu Syahamah." Sayyidina Umar bertanya: "Dengan jalan halal atau haram?"



Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak Abu Syahamah, anak ini haram."

Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh perempuan ini berterus terang.

Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan anak itu. Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu sehingga menitiskan air mata. Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi orang Arab), ceritakanlah perkara yang sebenarnya supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan sebenar-benarnya dan seadil-adilnya."

Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."

Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah." Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau berpaling kepada para sahabat, katanya "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di sini sehingga aku kembali."

Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu berhadapan dengan Allah nanti." Perempuan itu pun mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya.

Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku kembali."

Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata: "Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu untuk kehidupan dunia."

Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya berkata, "Wahai ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."

Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas Penglihatannya." Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk? Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau akan binasa."

Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku lakukan hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku itu."

Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."

Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian lama menunggu.

"Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah.

"Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.

Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."

Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik ayahmu."

Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun bertanya: "Siapakah di belakangmu wahai Amirul Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku, sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan yang menyampaikan khabar tadi."

Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): "Wahai Muflih, pukullah anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit, jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan kerana Allah."

Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila diperintah oleh Sayyidina Umar. Tatkala dia memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam kesakitan: "Wahai ayahandaku, rasanya seperti api yang menyala pada jasadku."

Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas dari jasadmu."

Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah: "Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat mengambil sedikit kesenangan."

Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan."

Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat bertaubat."

Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku, apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi."

Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi.

Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum seteguk air."

Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air minum."

Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku."

Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: "Wahai anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka engkau tidak akan dikasihani di akhirat."

Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku begini sebelum aku mati?"

Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti."

Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku, rasanya seperti sudah sampai ajalku....."

Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."

Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?"

Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan berkata: "Wahai Amirul Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah dia."

Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 yang tafsirnya: "Jangan kamu dipengaruhi kasihan belas pada keduanya dalam menjalankan hukum Allah." Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh sebatan lagi. Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi sehingga hari kiamat.

Kemudian berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah." Muflih pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.

"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan: "Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu Syahamah telah pergi menemui Allah." Mendengar pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat peristiwa tersebut.

Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar Radhiallah 'Anhu. Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi Wasallam yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda dengan berpakaian hijau. Setelah itu Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.

Jutawan Arab Saudi beli Airbus A380



Model PEsawat Airbus A380 yang merupakan pesawat penumpang terbesar di dunia dan mampu membawa lebih 600 penumpang. - AGENSI
LONDON 21 Dis. - Jet peribadi mewah yang ditempah hartawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal Alsaud dilaporkan akan diserahkan kepada jutawan itu menjelang tahun baharu 2013.
Beliau menempah jet berharga kira-kira 240 juta pound (RM1.1 bilion) itu, yang merupakan pesawat terbesar di dunia pada masa ini, tiga tahun lalu.
Pesawat Airbus A380 itu telah diubah suai oleh sebuah syarikat hiasan dalaman, Design Q.
Ia sekali gus menambah aset mewah kepunyaan Alwaleed, selain kapal layar mewah yang digunakan dalam filem James Bond serta pesawat Boeing 747 dan Airbus 321.
Pesawat tersebut dilengkapi dewan mesyuarat dan dewan konsert, bilik mandi ala Turki serta ruang solat yang mempunyai lantai automatik yang bergerak mengikut arah kiblat.
Pesawat dua tingkat itu mampu memuatkan seramai 800 penumpang serta menempatkan ruang garaj kereta Rolls-Royce milik Putera Alwaleed.
Singapore Airlines dan Emirates Airlines merupakan dua syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat itu pada masa ini.
Tetamu juga boleh melihat pemandangan di bawah pesawat setelah dinding dan lantai pesawat diubah menjadi skrin gergasi.
Jurucakap Airbus berkata, Putera Alwaleed merupakan individu pertama membeli pesawat mewah itu.
"Ia merupakan model terkini kami dan merupakan pesawat terbesar, lebih besar daripada pesawat Boeing 747," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121222/lu_02/Jutawan-Arab-Saudi-beli-Airbus-A380#ixzz2Fk53bQar
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kiamat tak jadi


     BEBERAPA wanita yang mengecat hijau wajah mereka berlindung di Kampung Bugarach di Perancis yang dianggap sebagai tempat selamat daripada kiamat.     
BEBERAPA wanita yang mengecat hijau wajah mereka berlindung di Kampung Bugarach di Perancis yang dianggap sebagai tempat selamat daripada kiamat.
LONDON: Jika anda masih hidup pada hari ini maka jelas ramalan kaum Maya bahawa dunia berakhir semalam ternyata silap.

Pakar mendapati bahawa kalendar Maya meramalkan semuanya berakhir tepat jam 11.11 malam semalam.


Bagaimanapun, hari ini dunia masih ada dan hari masih berterusan. Puluhan orang yang membanjiri Kampung Bugarach di Perancis kerana menyangka mereka berada di satu-satunya tempat paling selamat daripada kiamat boleh pulang ke kediaman masing-masing.

Di tempat persembunyian lain, termasuk peluang untuk menyewa kubu bawah tanah Josef Stalin dengan harga AS$1,500 (RM4,590), mereka juga boleh pulang ke rumah. Bagaimanapun, mereka yang menyewa kubu 210 kaki bawah tanah itu bernasib baik kerana akan memperoleh 50 peratus daripada bayaran itu kerana kiamat tidak berlaku.


Sementara itu, di Serbia, tempat perlindungan di Gunung Rtanj yang berbentuk piramid dibanjiri golongan fanatik. Legenda tempatan menyatakan gunung itu pernah menelan ahli sihir jahat yang hanya akan dibebaskan pada hari kiamat dalama bentuk bola api. Bahagian dalam gunung itu kononnya menjadi tempat selamat untuk berlindung kerana dipercayai ahli sihir terbabit akan memusnahkan seluruh dunia.


Sementara itu, beberapa lombong arang batu lama dibuka sebagai ruang selamat untuk puluhan yang tiba di situ.

Sirince, perkampungan kecil di Turki yang terkenal dengan wainnya, juga dianggap sebagai lokasi selamat ekoran kawasan itu hampir dengan tempat di mana Virgin Mary kononnya hidup hingga dia meninggal dunia.


Di China, ramalan itu sudah pun menimbulkan masalah apabila pihak berkuasa negara itu menahan lebih 900 orang minggu ini.

Sekumpulan penganut Kristian berdepan masalah apabila menyebarkan khabar angin mengenai dunia akan kiamat menerusi risalah, cakera padat, buku dan bahan lain yang kemudian dirampas.


Mereka yang ditahan dilaporkan adalah kumpulan Almighty God yang juga dikenali sebagai Eastern Lightning. Pihak berkuasa di Qinghai berkata, mereka melancarkan operasi terhadap kumpulan itu dengan mendakwa mereka menyerang Parti Komunis dan kerajaan. Imej palsu bandar raya Sydney ditawan meteor berapi dan makhluk gergasi tersebar luas di Internet.


Lima individu hippie, termasuk seorang yang mengacukan pistol Taser dihalang polis Perancis ketika mereka cuba memasuki Bugarach. Kampung di kaki banjaran Pyrenees itu dikatakan mengandungi garaj UFO yang akan membawa orang ramai keluar dari bumi ketika kalendar Maya berakhir. Pengikut hari kiamat di sini yakin bahawa tidak akan ada tarikh 22 Disember untuk semua kecuali mereka yang melarikan diri ke desa yang mempunyai 189 penduduk itu.


Jumlah itu meningkat tiga kali ganda semalam dengan 200 wartawan yang kebanyakannya mempercayai aliran New Age turut serta.


Bagaimanapun, 100 anggota polis yang membuat sekatan jalan raya berkata, tiada sesiapa pun dibenarkan masuk ke kampung itu sehingga hari Krismas. Sementara itu, Datuk Bandar Bugarach, Jean-Pierre Delord turut meminta golongan fanatik tidak memasuki kampung berkenaan.


“Kami tidak mahu orang ramai ke sini atas sebab tidak wajar dan kami tidak boleh bertolak ansur dengan jumlah pengunjung yang ramai,” katanya. - Agensi

Dunia seperti biasa



   Pelajar Taiwan ceria beraksi di hadapan piramid  selepas ramalan kiamat meleset.

Pelajar Taiwan ceria beraksi di hadapan piramid selepas ramalan kiamat meleset.
Riyadh: Penduduk di seluruh dunia akhirnya maklum bahawa pelbagai spekulasi tarikh 21.12.12 adalah detik kehancuran alam ternyata tidak benar.

Malah, bagi mereka yang percaya kiamat akan berlaku hari ini pula - 22.20.12 - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sudah menghantar video ke web YouTube bertajuk Why the World Didn’t End Yesterday bagi menerangkan mengapa ia tidak akan berlaku.
Saintis berkata, khabar angin oleh media sosial dan internet mengenai hari kiamat berpunca daripada salah faham kalendar Maya yang berakhir pada 21 Disember tahun ini.

“Ia hanya menandakan berakhir satu pusingan tahun dan bermula tahun baru, seperti 31 Disember yang seterusnya disusuli dengan 1 Januari,” kata Pegawai Kanan NASA, Don Yeomans.

“Sejak manusia mencatat peredaran masa, sudah ada beribu-ribu ramalan mengenai kiamat. Cuma, kita masih di sini,” katanya lagi.

Cerita di internet menyatakan satu planet besar bernama Niburu atau planet X akan melanggar bumi pada Mei 2003.

Tetapi, apabila ia tidak berlaku, tarikhnya ditukar kepada 21 Disember 2012 yang kebetulan sama dengan kalendar Maya.
Ketua Jabatan Astronomi Bandar Sains dan Teknologi Raja Abdulaziz (KACST), Zaki Abdulrahman Al-Mostafa, berpusat di sini, berkata khabar angin mengenai kiamat jelas ‘tidak berasas dan bertentangan dengan sains dan agama.’

“Tiada apa akan berlaku hari ini dan hari ini serta esok, keadaan sama seperti hari lain pada tahun baru, Insya-Allah,” kata Abdulrahman.

Saintis Arab Saudi itu memberitahu Arab News bahawa ribuan artikel berita mengenai hari kiamat dimuat naik dalam internet mencetuskan kebimbangan bukan hanya di Barat, namun di Asia Barat.

Tidak percaya

“Sudah tentu 21 Disember akan menjadi malam paling panjang di Hemisfera Utara, namun tiada kejadian astronomi akan menyebabkan dunia musnah,” tambahnya.

Katanya, Kutub Selatan akan condong ke arah matahari dalam mencapai kedudukan paling selatannya di langit dan akan berada secara langsung di atas tropik Capricorn pada 23.44 darjah selatan.

“Ini hari pertama musim sejuk atau musim sejuk solstis (paling jauh ke selatan) di Hemisfera Utara dan hari pertama musim panas atau musim panas solstis di hemisfera selatan,” katanya.

Ia akan diikuti satu bulan penuh pada 28 Disember apabila bulan akan berada bertentangan secara langsung dengan bumi dan akan dipancar penuh oleh matahari. - AGENSI

WikiLeaks dedah sejuta dokumen tahun depan

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange LONDON - WikiLeaks yang mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan mendedahkan dokumen-dokumen rahsia melibatkan hubungan diplomatik dan politik sedang membuat persediaan untuk mengeluarkan sejuta dokumen tahun depan.
Bagaimanapun Pengasasnya, Julian Assange tidak memberi butiran berkenaan dengan kandungan dokumen-dokumen yang akan dikeluarkan kelak.
Pun begitu, Assange berkata, kandungannya akan menjejaskan setiap negara di dunia ini.
Beliau membuat pengumuman dari balkoni Kedutaan Ecuador di sini. Assange berada di kedutaan itu sejak enam bulan lalu.
Pihak berkuasa Britain memberi amaran akan menangkap beliau jika keluar dari kedutaan itu.
"Saya datang ke sini pada musim panas. Sekarang musim sejuk," kata Assange sambil menambah, beliau tidak boleh meninggalkan premis itu selagi disiasat oleh pihak berkuasa.
Assange mendapat perlindungan di Kedutaan Ecuador pada Jun lalu bagi mengelak daripada diekstradisi ke Sweden.

Bertemu semula selepas 20 tahun

Bertemu semula selepas 20 tahun
Foto menunjukkan Salome yang masih bayi dan dijaga oleh Smith. (Gambar kanan) Smith tidak dapat menahan sebak melihat kehidupan Salome.
APABILA ibu gorila gagal menjaga anak yang dilahirkannya, seorang penjaga Zoo London, Ron Smith dan isteri, Barbara bertindak menyelamatkan bayi itu dengan menjadi keluarga angkatnya.

Mereka yang tidak dikurniakan anak, menamakan bayi gorila berusia setahun itu dengan nama Salome dan menjaganya seperti anak mereka sendiri.

Dalam tahun 1990, Smith mengambil keputusan untuk menyerahkan Salome, 13, kepada pihak zoo kerana faktor umur. Dua tahun kemudian, Salome dipindahkan ke Zoo Bristol, Britain.

Selepas 22 tahun berpisah, Smith diberi kesempatan bertemu dengan Salome di Zoo Bristol secara dekat.

Smith menitiskan air mata sebaik sahaja melihat kelibat Salome, 36, yang kini ibu kepada tiga ekor gorila.

"Dia nampak sangat baik. Saya sangat gembira dapat melihatnya dan harap Salome masih mengenali saya sebagai bapa angkatnya," kata Smith. - MailOnline

Bom tentera Syria tidak meletup



GAMBAR menunjukkan sebutir lagi bom tidak meletup di Ain Terma.


DAMSYIK - Beberapa butir bom yang digugurkan di Ain Terma, timur Damsyik dalam peperangan saudara di Syria didapati tidak meletup pada 19 Disember lalu.
Bom-bom tersebut jatuh di beberapa batang jalan raya tetapi ia tidak meletup sekali gus menjadi tontonan penduduk dan para penentang Presiden Bashar Al-Assad.
Kawasan di Ain Terma itu merupakan lokasi serangan tentera Syria terhadap askar-askar Tentera Pembebasan Syria yang menentang rejim Bashar.
Pertempuran itu meletus sejak Mac tahun lalu dan lebih 43,000 orang dilaporkan telah terkorban.
Para penentang itu terdiri daripada penduduk tempatan yang mahu menggulingkan rejim Bashar.
Bashar dianggap gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan pihaknya akan menyediakan bekalan makanan kepada lebih 100,000 orang yang melarikan diri dari kem pelarian Palestin di Syria.
Kem itu terletak di Yarmuk, lapan kilometer dari Damsyik.
Ia turut menempatkan penduduk Syria yang menjadi mangsa peperangan tersebut.
Para pelarian itu melarikan diri ekoran serangan pesawat tentera Syria di kawasan berdekatan kem itu.
Kelmarin, konflik di Syria telah menjadi pertempuran antara fahaman Syiah dengan Sunni.
Ia diumumkan oleh agensi penyiasat PBB, Suruhanjaya Siasatan Syria selepas melakukan lawatan ke negara ini.
Bashar merupakan penganut Islam fahaman Syiah Alawi manakala ramai penduduk di negara ini berfahaman Sunni. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2FjBDK7dl 
Hakcipta terpelihara 

Kiamat tidak berlaku



SEJUMLAH orang berhimpun di Stonehenge, England sempena ramalan hari kiamat.


SYDNEY - Bumi yang diramalkan kiamat berdasarkan ramalan sebahagian peminat fanatik kalendar kaum Maya di Amerika Tengah didapati tidak berlaku semalam.
Akaun Facebook agensi yang mempromosikan pelancongan di Australia, Tourism Australia dihujani dengan pertanyaan sama ada penduduk di negara itu terselamat pada 21 Disember.
Australia merupakan antara negara pertama di dunia yang menerima cahaya matahari pada hari yang diramalkan kiamat itu.
"Ya, kami masih hidup," kata agensi tersebut di laman berkenaan.
Menurut ahli-ahli arkeologi, kalendar Maya yang bermula antara 11 dan 13 Ogos 3114 Sebelum Masihi (SM) akan berakhir pada 21 Disember atau 23 Disember 2012.
Bagaimanapun, sebahagian pihak membuat tafsiran kemusnahan Bumi akan berlaku dengan menyebabkan ketibaan hari kiamat pada tarikh tersebut.
Negara-negara Asia semalam tidak dilanda bencana alam yang besar dengan penduduk di benua tersebut meneruskan kegiatan harian mereka.
Di Taichung, Taiwan, sejumlah pelajar sekolah dan orang dewasa menunggu ketibaan hari kiamat seperti yang diramalkan itu di depan sebuah binaan piramid.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2Fj9kPuon 
Hakcipta terpelihara 

Budak tak sangka pelihara anak ular berbisa



TUJUH ekor anak ular berbisa terdapat dalam sebuah bekas makanan yang terletak di dalam bilik tidur Cumming di Townsville, Queensland pada Isnin lalu.


SYDNEY - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Kyle Cumming tidak menyangka terdapat tujuh ekor anak ular berbisa keluar dari tujuh biji telur yang dikutipnya di pekarangan rumahnya di Townsville, negeri Queensland.
Cumming yang merupakan peminat hidupan liar menemui sepuluh biji telur di padang rumput di kawasan rumahnya yang seluas 1.2 hektar beberapa minggu lalu.
Telur-telur itu kemudian diletakkan di dalam sebuah bekas makanan yang tertutup di dalam bilik tidurnya.
Bagaimanapun, pada Isnin lalu, ibunya, Donna Sim membuka penutup bekas tersebut dan mendapati terdapat tujuh ekor anak ular.
Dia kemudian menghubungi pakar-pakar hidupan liar untuk mengesahkan identiti haiwan yang ditemuinya itu.
Seorang pakar hidupan liar kemudian mendapati, haiwan tersebut ialah anak ular perang timur yang kedua berbisa selepas ular inland taipan di bumi.
Tiga lagi telur dalam bekas tersebut didapati busuk.
"Budak itu amat bertuah kerana dia tidak digigit," kata seorang penyelaras reptilia di Pusat Penjagaan Hidupan Liar Queensland Utara, Trish Prendergast.
Dia kemudian membebaskan haiwan tersebut ke hutan.
Menurutnya, bisa ular tersebut boleh membunuh manusia.
"Jika budak itu membuka penutup tersebut, dia mungkin tidak lagi hidup," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2Fj8izXrq 
Hakcipta terpelihara