Pages

Saturday, October 27, 2012

Konflik di Rakhine mencecah lebih 50 orang

Sebuah keluarga berehat di tempat tinggal yang disediakan di Kem Baw
Du Pha yang menempatkan 7,575 penghuni etnik Islam Rohingya
dekat Sittwe, Myanmar pada 9 Oktober lalu. - UTUSAN
SITTWE, Myanmar 26 Okt. - Angka kematian dalam konflik agama dan etnik terbaru di Rakhine kini mencecah lebih 50 orang.
Jurucakap kerajaan Rakhine, Win Myaing hari ini berkata, sekurang-kurangnya 64 maut dalam pertempuran yang bermula Ahad lalu antara puak Rakhine beragama Buddha dan puak Rohingya beragama Islam.
Beliau berkata, 72 orang lagi termasuk 10 kanak-kanak dilaporkan cedera.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kira-kira 2,000 buah rumah musnah dalam konflik tersebut.
Dalam pada itu, kerajaan Myanmar merayu kedua-dua pihak bertelagah supaya berdamai, kerana kejadian keganasan yang berlaku mengancam reputasi negara untuk melaksanakan pemerintahan demokrasi.
''Tentera, polis dan pihak berkuasa lain kini bekerjasama untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan.
''Tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau pertubuhan yang cuba mencetuskan huru-hara,'' kata satu kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Presiden Thein Sein yang disiarkan dalam akhbar Myanma Ahlin hari ini.
Kenyataan itu berkata, masyarakat antarabangsa kini memantau pelaksanaan peralihan demokrasi dan kejadian seumpama ini akan mencemarkan imej negara. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121027/lu_04/Konflik-di-Rakhine-mencecah-lebih-50-orang#ixzz2AUxBk75r
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Warga emas maut gempa bumi landa Itali

ROME 27 Okt. - Seorang lelaki warga emas dilaporkan terbunuh selepas satu gempa bumi sederhana berukuran 5.3 skala Richter menggegarkan wilayah selatan Itali semalam.
Mangsa yang berusia 84 tahun itu mengalami masalah jantung semasa gempa terbabit melanda wilayah Cosenza dan lelaki itu meninggal dunia sebelum pasukan perubatan tiba untuk merawatnya.
Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian semalam, namun beberapa buah bangunan dilaporkan mengalami kerosakan.
Sebuah hospital tempatan memindahkan kesemua pesakitnya ke lokasi selamat dan beberapa buah sekolah ditutup sebagai langkah keselamatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121027/lu_11/Warga-emas-maut-gempa-bumi-landa-Itali#ixzz2AUvflnuw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Krisis Rohingya: Lebih 800 premis musnah, 64 maut

RohingyaFoto satelit menunjukkan kawasan yang musnah yang musnah dalam kebakaran ekoran rusuhan terbaru sejak awal minggu ini. - Foto ihsan BBC
YANGON - Human Rights Watch, sebuah badan hak asasi manusia, mengedarkan foto-foto yang menggambarkan kemusnahan teruk di sebelah barat Myanmar yang dilanda rusuhan kaum.

Rusuhan sejak awal minggu ini telah memusnahkan 800 rumah dan bangunan serta lebih 60 orang terbunuh.

Foto satelit dikeluarkan Human Rights Watch menunjukkan kira-kira 10 hektar (35 ekar) musnah di Kyaukpyu, bandar tepi pantai di Rakhine.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata kebanyakan penduduk kawasan tersebut adalah etnik Rohingya Islam.

Laporan dipetik BBC berkata, kebanyakan penduduk telah meninggalkan lokasi sasaran yang dijadikan sasaran ke kawasan laut menggunakan bot.

Timbalan Pengarah Human Rights Watch bagi Asia, Phil Robertson berkata, perkembangan itu menunjukkan kerajaan Myanmar perlu mengambil langkah keselamatan dengan segera bagi melindungi penduduk Rohingya di negeri Rakhine.

Dahulu Rakhine dikenali sebagai Arakan.

"Melainkan pihak mula mengenal pasti punca asas keganasan, ia akan bertambah buruk," kata Robertson.

Laporan itu juga berkata, dalam tindakan tegas kerajaan kali ini, beberapa orang bukan Muslim juga ditembak oleh pasukan tentera pihak pemerintah.

Satu lagi laporan menunjukkan sekurang-kurangnya 64 orang terbunuh dalam rusuhan kaum sepanjang lima hari lalu sehingga semalam.

Semalam, enam bandar berhadapan dengan pertempuran. Perintah berkurung dikenakan di beberapa lokasi termasuk Min Mya dan Mrauk Oo.

Jurucakap Rakhine, Win Myaing berkata, daripada jumlah yang mati, separuh merupakan kaum wanita.

Rakhine berhadapan dengan rusuhan kaum sejak Jun lalu, sehingga menyebabkan kerajaan Myanmar mengisytiharkan darurat.

Taufan Sandy ragut 21 nyawa di Caribbean

MIAMI: Taufan Sandy melanda Bahamas semalam dan menuju ke bahagian timur Amerika Syarikat selepas menyebabkan 21 nyawa terkorban di Caribbean, termasuk 11 maut di timur Cuba.

Taufan itu menyebabkan kerosakan teruk seperti memutuskan be kalan elektrik, meranapkan bangunan dan merosakkan tanaman di Jamaica, Cuba, Bahamas dan Haiti.
Peramal cuaca memberi amaran taufan kuat yang kini bergabung dengan sistem cuaca Amerika Utara dan mampu bertukar menjadi taufan hibrid paling kuat yang digelar Frankenstorm.

Pakar meramalkan Taufan Sandy mungkin akan bertembung dengan sistem cuaca nor’easter bermusim sebelum melanda pesisir timur AS dengan hebat.


Seorang peramal cuaca di Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS berkata, “Hadangan tahap tinggi dari bahagian timur Amerika Utara merentasi Lembangan Atlantik dijangka menyebabkan penggabungan luar biasa untuk berlaku.”


Ahli kaji cuaca berkata, penggabungan dalam keadaan cuaca buruk itu boleh menjejaskan kawasan itu sehingga pesta Halloween pada 31 Oktober. Mungkin sebab itu, taufan itu digelar Frankenstorm.

NHC berkata, kelajuan angin Taufan Sandy kini mencecah 169 kilometer sejam dan bergerak ke utara, hampir mencecah kategori lima-mata skala angin Saffir-Simpson.

Keadaan di Bahamas masih lagi belum pulih akibat taufan yang melanda di mana bekalan elektrik dan telefon masih terputus, pelancong asing terkandas dan pokok tercabut.

Sekolah, pejabat kerajaan, lapangan terbang dan jambatan masih ditutup sehingga semalam.

Pada jam 2100 GMT semalam, pusat Taufan berada dekat Pulau Cat di tengah Bahamas, kira-kira 60 batu tenggara Eleuthera dan bidang angin semakin membesar. Sandy bergerak ke utara selaju 20 batu sejam. - AFP

Perkosa tiga anak selama 8 tahun

JAKARTA: Angkara ingin menguasai ilmu hitam, seorang bapa memperkosa tiga anak perempuannya secara bergilir-gilir selama lapan tahun.

Isteri lelaki itu tidak dapat berbuat apa-apa walaupun mengetahui perbuatan suaminya.


Zaeni, 43, dari Cakung Jakarta Timur dibawa ke balai polis di sini Khamis lalu selepas perbuatannya itu terbongkar. Isteri suspek yang hanya dikenali sebagai Ka memberitahu dia sering melihat suaminya membakar kemenyan setiap malam Jumaat.

“Saya sudah menasihatinya bahawa perbuatannya itu berdosa tetapi dia masih melakukannya,” katanya kepada wartawan.


Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga anak perempuan suspek berusia 20, 19 dan 15 tahun.


Perbuatan suspek terbongkar selepas anak bongsunya yang berusia 15 tahun memberontak ketika ingin diperkosa bapanya. Dia melarikan diri dan melaporkan kepada polis mengenai perbuatan bapanya selama ini.

Ekoran maklumat itu, sekumpulan polis bergegas ke kediaman suspek dan memberkasnya. Isteri suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut. - kompas.com

Anak ikan yu disambar helang masih hidup di padang golf

GAMBAR yang dirakamkan pada Isnin lalu menunjukkan
seekor anak ikan yu bintang yang ditemui dekat lubang
ke-12 di padang Kelab Golf San Juan Hills, selatan Los Angeles.
LOS ANGELES - Seekor anak ikan yu yang masih hidup ditemui berada dekat lubang ke-12 di Kelab Golf San Juan Hills, selatan bandar raya ini pada Isnin lalu.
Anak ikan yu bintang yang sepanjang 60 sentimeter itu dipercayai disambar seekor burung helang laut di Lautan Pasifik dekat padang golf tersebut.
Burung helang itu kemudian melepaskan ikan tersebut semasa ia terbang melintasi padang golf berkenaan.
"Seorang petugas kami yang membuat rondaan mendapati terdapat sesuatu yang bergerak-gerak di atas rumput dekat lubang ke-12.
"Selepas melakukan siasatan, dia mendapati terdapat seekor ikan yu yang kecil. Dia kemudian membawa ikan tersebut dengan menggunakan kereta golf ke bangunan kelab," kata pengarah operasi kelab itu, Melissa McCormack kelmarin.
Menurutnya, terdapat tanda gigitan pada badan anak ikan itu sekali gus menyebabkan beberapa kakitangan kelab tersebut menganggap ia terjatuh dari paruh burung helang.
McCormack berkata, seorang kakitangan kelab golf kemudian membawa ikan tersebut untuk dilepaskan ke Lautan Pasifik di pantai Dana Point yang terletak lapan kilometer dari situ. - AFP

Ganjaran RM370,000 jika penggal kepala ketua geng curi kereta

MANILA: Naib Datuk Bandar di sebuah bandar raya di selatan Filipina menawarkan ganjaran sebanyak AS$121,000 (RM368,573) kepada sesiapa yang memenggal kepala ketua kumpulan curi kereta.

Naib Datuk Bandar Davao, Rodrigo Duterte yang terkenal tegas menangani jenayah, memberitahu sidang akhbar di bandar raya itu Rabu lalu bahawa dia akan memberikan dua juta peso (RM147,430) jika suspek, Ryan Yu ditahan dan RM300,953 jika dia dibunuh. Dia berkata, akan menambah lagi RM73,715 jika kepala Yu dipenggal dan diserahkan kepadanya dalam ketulan air batu.


Ketua Polis Davao, Ronald de la Rosa berkata, banyak pihak berminat telah menghantar mesej pesanan ringkas meminta jaminan mereka akan menerima ganjaran itu. - Manila Times

Rancang makan 100 wanita

NEW YORK: Seorang pegawai polis di sini merancang untuk menculik sehingga 100 wanita, panggang di dalam oven atau api dan memakan mereka, dakwa pihak berkuasa persekutuan, semalam.

Gilberto Valle, 28, seorang pegawai polis aktif di Jabatan Polis New York, dituduh berbincang untuk “menculik, memasak dan makan anggota tubuh wanita” bersama seorang saksi yang namanya tidak didedahkan.
Kedua-dua mereka dikatakan berbincang menggunakan kloroform untuk membuatkan mangsa pengsan kemudian membawa mangsa ke dapurnya di mana Gilberto berkata dia mempunyai oven yang agak besar dan muat “sekiranya saya lipat kaki mangsa.”

Memasak dengan api yang perlahan atau panggang di atas api ketika mangsa masih hidup dan dikurung di dalam sangkar, adalah satu lagi cara yang difikirkan.


Gilberto yang dilaporkan bertugas di Harlem, ditahan kelmarin di rumahnya di Queens, New York.


Rakan komplot yang identitinya tidak didedahkan tidak didakwa dan tiada maklumat mengenai individu lain yang terlibat.

Pejabat Pendakwa Raya Amerika Syarikat di Manhattan berkata, ia merujuk kepada rakan komplot yang ramai.

Tiada wanita yang cedera setakat ini tetapi Pemangku Penolong Pengarah FBI, Mary Galligan berkata, dia tidak dapat memberi apa-apa komen mengenai dakwaan yang mengerikan itu.

“Kami tidak perlu beri apa-apa huraian dalam dakwaan aduan yang dibuat. Ia jelas. Kata-kata dan perbuatan Gilberto itu memeranjatkan,” katanya,

Ketua Polis New York, Ray Kelly menganggap kes itu “pelik.”

Menurut aduan itu, FBI mengetahui mengenai rancangan Gilberto, September lalu apabila mereka mendapat tahu dia merancang untuk melakukan perbuatan itu melalui e-mail dan mesej segera daripada komputer di rumahnya.

Hasil siasatan melalui komputer itu, dikatakan fail sekurang-kurangnya 100 wanita bersama nama, gambar dan butiran peribadi seperti alamat serta penerangan individu berkenaan, ditemui.

Gilberto dikatakan menyalah guna pangkalan data penguatkuasa undang-undang untuk membuat senarai mangsa wanita. - AFP

Guru dera murid tadika dipecat

SAKIT...murid malang ini menjerit kesakitan ketika diangkat Yanhong dengan memegang cuping telinganya.
SAKIT...murid malang ini menjerit kesakitan
ketika diangkat Yanhong dengan
memegang cuping telinganya.

BEIJING: Seorang guru prasekolah di China dipecat selepas laman perkongsian foto di Internet menunjukkan dia mengangkat muridnya dengan memegang cuping telinga kanak-kanak malang itu.

Ibu bapa di wilayah Zhejiang di negara itu membuat aduan kepada jabatan pendidikan tempatan selepas imej tidak berperikemanusiaan itu dimuat naik dalam rangkaian laman sosial Weibo.


Foto itu menunjukkan Yan Yanhong, 20, tersenyum ketika dia mengangkat kanak-kanak yang menjerit kesakitan itu beberapa inci dari lantai di sebuah sekolah di bandar raya Wenling. Foto itu adalah satu daripada lebih 700 gambar yang dimuat naik Yanhong di Internet yang kelihatannya dirakam oleh guru lain.

Foto
MELAMPAU...kepala seorang murid diserkup
dengan bakul sampah.
Foto
ZALIM...seorang murid dicampak ke
 dalam tong sampah.




Foto lain menunjukkan kanak-kanak dengan mulut mereka ditutup pita pelekat dan tangan mereka dilekatkan ke meja agar mereka duduk diam tidak bergerak. Satu lagi foto menunjukkan seorang kanak-kanak dicampak dalam tong sampah dengan belakang tubuhnya melengkung di tepi tong sampah.


Gambar terakhir menunjukkan kepala seorang kanak-kanak diserkup dengan bakul sampah.


Bagaimanapun, apabila bersemuka dengan media tempatan, Yanhong menjelaskan dia dan murid berkenaan hanya berseronok.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan: “Tadika itu diarahkan agar menyingkirkan guru terbabit dan melaporkan perkara itu kepada pihak keselamatan awam tempatan.”


Pihak berkuasa yang menyiasat kes itu mendapati Yanhong tidak layak untuk kerja itu, tetapi diambil bekerja ekoran kekurangan tenaga pengajar.

Awal minggu ini seorang lagi guru di negara itu mencetuskan kemarahan apabila rakaman menunjukkan dia menampar kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berulang kali. - DM

Korban pagi Aidiladha



Foto
Mayat mangsa letupan bom di Masjid Eid Gah bandar
 Maymana di utara Afghanistan bergelimpangan
selepas penyerang meletupkan bom ketika umat
Islam bersiap sedia menunaikan solat Aidiladha. - Foto REUTERS

Foto
Anggota polis Afghanistan mengangkat mayat orang
awam yang terbunuh dalam letupan
berkenaan. - Foto REUTERS
Kabul: Sekurang-kurangnya 41 orang menjadi korban pada sambutan Aidiladha apabila penyerang bunuh diri meletupkan bom di dalam sebuah masjid di bandar Maymana, wilayah Faryab di utara Afghanistan ketika solat sunat hari raya semalam, kata pegawai.

Penyerang memakai seragam polis ketika meletupkan bom di masjid Eid Gah yang penuh sesak di ibu negeri wilayah Faryab, kata Timbalan Gabenor Wilayah, Abdul Satar Barez. Angka kematian terkini disebabkan letupan itu ialah 41 dan ia mungkin meningkat. Sembilan belas daripada mangsa yang maut adalah anggota pasukan keselamatan termasuk polis, tentera dan ejen perisikan, 17 penduduk awam dan lima kanak-kanak antara yang turut menjadi korban. Ketua polis wilayah, Abdul Khaliq Aqsai, antara yang cedera, katanya.
Kebanyakan pegawai kerajaan tempatan juga berada di masjid berkenaan, yang penuh sesak pada hari pertama daripada cuti empat hari sempena sambutan Aidiladha.

Kami baru selesai menunaikan solat sunat Aidiladha dan saling berbalas ucapan. Tiba-tiba letupan besar berlaku dan kawasan itu dipenuhi debu dan asap dan bahagian anggota mayat berselerak. Ia letupan yang amat kuat, kata Barez.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab, tetapi pengeboman bunuh diri adalah kaedah kegemaran Taliban untuk menumbangkan kerajaan Presiden Hamid Karzai yang disokong Barat.

Aidiladha diraikan dengan umat Islam menyembelih haiwan sebagai korban dan mengagihkan bahagian daging kepada orang miskin, dan hari pertama mengundang kehadiran ramai orang ke masjid di seluruh dunia.
Utara Afghanistan selalunya aman, dengan Taliban, yang ditumbangkan dalam pencerobohan tentera asing diketuai Amerika Syarikat pada 2001, menumpukan operasi di selatan dan timur negara itu.

Namun mereka meningkatkan aktiviti di utara sejak kebelakangan ini, di sebalik kehadiran lebih 100,000 anggota tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) di negara itu.

Minggu lalu, letupan bom tepi jalan memusnahkan bas mini membawa tetamu ke sebuah majlis perkahwinan di wilayah Balkh, berhampiran Faryab, membunuh 19 orang dan mencederakan 16 lagi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 1,145 penduduk awam maut dalam perang pada enam bulan pertama tahun ini, menyalahkan 80 peratus kematian itu ke atas pemberontak.

AFP

Angkasawan wanita pertama Pakistan

Gambar fail 2006, Namira bercakap pada sidang akhbar 
di Islamabad. - Foto AFP
Gambar fail 2006, Namira bercakap pada
sidang akhbar di Islamabad. - Foto AFP
Islamabad: Beliau pernah berada di kedua-dua kutub, melakukan terjun payung dari Gunung Everest dan menubuhkan konsulat pertama Pakistan di Monaco. Misi Namira Salim seterusnya ialah menjadi rakyat Pakistan pertama menjelajah angkasa lepas.

Penerbangan dengan projek pelancongan angkasa lepas Virgin Galactin milik hartawan Richard Branson dirancang tahun depan. Walaupun tarikh belum ditentukan untuk penerbangan komersil pertama itu, Namira, 37, sudah tidak sabar memenuhi minat seumur hidupnya itu.
Ketika kanak-kanak saya percaya saya akan pergi ke angkasa lepas. Ia bukan sekadar saya membaca mengenainya satu hari dan terus menandatangani untuk menyertai penerbangan itu. Saya selalu berkata ia mengalir dalam DNA saya.

Umur saya belum pun lima tahun dan selalu menangis. Bapa saya cuba memuaskan hati saya dan saya seolah-olah Saya tidak mahukan apa-apa, saya cuma mahu pergi ke angkasa lepas. Saya tidak mahu mainan, cuma hantar saya ke angkasa lepas, katanya kepada AFP menerusi Skype dari Dubai.

Namun datang dari negara yang tiada program angkasa lepas sendiri, dengan jutaan rakyat hidup dalam kemiskinan, perjalanan itu tidak mudah.

Menerima tekanan daripada bapanya supaya belajar, Namira menyemarakkan minatnya pergi ke angkasa lepas pada masa lapang, menyertai kelab astronomi dan menghabiskan waktu malam merenung bintang di langit padang pasir selepas keluarganya berpindah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 1980-an.

Saya selalu berasakan ada sesuatu bersifat kerohanian dan suci yang ada kaitan dengan semua benda. Seolah-olah sesuatu benar-benar menarik saya ke sana dan memanggil saya dan saya perlu berada di sana dan ia memiliki saya, kata Namira mengenai cita-citanya.
Mengejar impian bukan sesuatu yang murah kerana Namira membayar AS$200,000 (RM600,000) untuk menandatangani dengan Virgin Galactic pada tahun 2007, dibiaya dengan sokongan keluarga.

Kos itu memang tinggi tetapi cuma secebis daripada AS$35 juta (RM105 juta) yang dibayar oleh penaung perisian Amerika Syarikat, Charles Simonyi, untuk lawatannya ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa pada tahun 2007 dan Namira menegaskan ia sekadar memenuhi kehendak golongan kaya.
AFP 

Samsung catat untung besar RM18.1 bilion

KEMAMPUAN Samsung mengeluarkan produk baru yang memenuhi
cita rasa pengguna seperti Galaxy S III (kiri) dan
Galaxy S III mini menjadi faktor syarikat itu berkembang pesat.

SEOUL - Firma teknologi terbesar dunia dari Korea Selatan, Samsung Electronics semalam mengumumkan keuntungan bersih bagi suku ketiga tahun ini sebanyak AS$5.97 bilion (RM18.1 bilion), meningkat hampir dua kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Anak syarikat Kumpulan Samsung itu menyatakan, keuntungan itu juga adalah yang tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan.
Samsung Electronics pada suku ketiga 2011 mencatat keuntungan bersih sebanyak AS$3.09 bilion (RM9.39 bilion).
Syarikat itu dalam kenyataannya semalam menjelaskan, hasil jualan segmen telefon pintar menyumbang lebih separuh daripada jumlah keuntungan tersebut.
Menurutnya, perolehan daripada segmen perniagaan telefon bagi suku ketiga tahun ini berjumlah AS$23.91 bilion (RM72.80 bilion).
Samsung Electronics bagaimanapun mengakui berhadapan dengan era perniagaan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
"Persekitaran perniagaan masih sukar dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu selain terdapat kebimbangan tentang situasi kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Beli kucing berharga RM100,000

HEZLIN FAZRINA menunjukkan kucing Bengal di Lapangan Terbang
Sultan Ismail Petra, Kota Bharu kelmarin. Kucing itu dihantar kepada pemiliknya
di Adelaide, Australia.

KOTA BHARU – Seorang peminat kucing dari Adelaide, Australia sanggup membelanjakan RM100,000 bagi memenuhi hasratnya memelihara seekor kucing Bengal dari Moscow, Rusia.
Kucing betina yang bernama Polar Day itu pada awalnya dibeli oleh Julie Menadue Sancheita, 50, dengan harga RM30,000 tetapi melonjak sehingga mencecah RM100,000 apabila terpaksa menanggung kos perjalanan, insurans, kuarantin, perubatan dan makanan.
Polar Day sempat membesar di Malaysia apabila dikehendaki dikuarantin sekurang-kurangnya enam bulan di negara transit seperti yang disyaratkan kerajaan Australia terhadap kemasukan haiwan asing.
Ketika dihantar oleh pemiliknya, Svetlana Ponomareva, 50, dari Moscow Februari lalu, kucing tersebut baru berusia tiga bulan dan kini telah mencecah usia setahun.
Kelmarin, kucing itu yang dikuarantin di pusat pemeliharaan dan pembiakan kucing di negeri ini, Cattery Kittun Katz, telah dihantar ke Australia untuk diserahkan kepada Julie.
Pemilik Cattery Kittun Katz, Hezlin Fazrina Abdul Hadi Nor, 34, berkata, Polar Day terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 20,000 kilometer kerana perlu melalui beberapa siri kuarantin sebelum bertemu pembelinya itu.

Jemaah haji melontar jamrah




JEMAAH haji melontar batu di Jamrah Aqaba di Mina semalam.


MINA, Arab Saudi - Ratusan ribu jemaah haji melontar jamrah di Mina semalam pada hari pertama Hari Raya Aidiladha.
Para jemaah haji dari 189 buah negara itu melontar batu di Jamrah Aqaba yang merupakan sebuah batu.
Selepas melontar jamrah, para jemaah lelaki menggunting atau mencukur rambut.
Para jemaah yang selesai melontar akan kembali ke khemah masing-masing dan menunggu untuk melontar lagi batu di Jamrah Ula dan Wusta.
"Saya melontar jamrah pada awal pagi apabila tidak ramai jemaah berada di kawasan ini," kata seorang jemaah haji dari Malaysia, Abdullah Noor kepada agensi berita AFP.
Abdullah, 47, berkata, dia berasa gembira kerana dapat sampai ke tanah suci yang merupakan cita-cita sejak bertahun-tahun lamanya.
"Namun, saya berasa sedih kerana tidak dapat membawa keluarga bersama," katanya.
Melontar jamrah dilakukan bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim melontar batu ke arah syaitan.
Hampir 2.5 juta jemaah mendaftarkan diri untuk mengerjakan ibadah itu pada musim haji tahun ini. - Agensi

112 orang terbunuh di Myanmar




SEORANG penduduk Rakhine (kanan) yang cedera dalam keganasan melibatkan etnik Rohingya dirawat di sebuah hospital di Sittwe, Myanmar semalam.


KYAUKTAW, Myanmar - Seramai 112 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak enam hari lalu yang melibatkan etnik Rohingya yang beragama Islam, kata seorang pegawai semalam.
Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu memberi amaran demokrasi yang berkembang di Myanmar akan terjejas ekoran pergolakan tersebut.
Pergolakan itu berlaku lima bulan selepas etnik Rohingya bergaduh dengan etnik Rakhine yang beragama Buddha mengakibatkan lebih 80 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 75,000 penduduk terpaksa berpindah.
Menurut beberapa etnik Rakhine kepada agensi berita Reuters, mereka ditembak oleh anggota-anggota pasukan keselamatan yang melaksanakan arahan ketenteraman awam di negeri tersebut.
Seorang pegawai penerangan di negeri itu, Win Myaing berkata, antara yang terbunuh itu ialah 61 orang wanita.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden Myanmar, Thein Sein, kira-kira 2,000 buah rumah dan lapan bangunan keagamaan musnah pada Rabu lalu.
Keganasan itu berlaku pada Ahad lalu apabila sekumpulan etnik Rohingya melakukan tunjuk perasaan ekoran kekurangan bekalan makanan dan bantuan di kampung mereka.
Sebahagian etnik Rohingya didakwa membakar rumah di pekan Min Bya dan Mrauk Oo di utara Rakhine pada Isnin lalu menyebabkan berlaku pertempuran dengan penduduk beragama Buddha.
Bagaimanapun, seorang penduduk beragama Buddha, Tun Tun berkata, pekan Mrauk U kembali tenang selepas lebih ramai anggota keselamatan dihantar dari bandar Sittwe.
Pada Jun lalu, penduduk beragama Buddha di negeri Rakhine membunuh 10 orang etnik Rohingya yang menyebabkan berlakunya keganasan di negeri itu.
Keganasan itu tercetus selepas tiga penduduk beragama Islam didakwa merogol seorang wanita beragama Buddha. - Agensi

Gencatan senjata di Syria berkecai



BASHAR (tiga dari kanan) berdoa di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik semalam.


BEIRUT - Gencatan senjata yang bermula pada sambutan Hari Raya Aidiladha berkecai di Syria semalam apabila tiga orang awam mati ditembak oleh beberapa anggota tentera pemerintah.
Menurut Kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Manusia, tiga orang itu mati ketika beberapa anggota tentera Syria melepaskan tembakan di bandar Harsta, pinggir Damsyik.
Kumpulan berkenaan turut mendakwa gencatan senjata selama empat hari itu musnah di beberapa wilayah di Syria.
Bagaimanapun, pengarah kumpulan itu, Rami Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP, keganasan didapati berkurangan berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Presiden Bashar Al-Assad bersolat sunat Aidiladha di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik.
Bashar kelihatan tenang, memberikan senyuman dan berjabat tangan dengan sejumlah orang di masjid itu.
Sementara itu, suasana Hari Raya Aidiladha kelihatan suram di Syria ekoran pertempuran yang berlaku sejak Mac tahun lalu yang mengakibatkan lebih 30,000 orang terbunuh.
Pertempuran itu berlaku antara tentera Syria dengan kumpulan yang menentang pemerintahan Bashar.
"Semua orang gembira hanya kerana mereka masih hidup," kata seorang wanita di sebuah bandar yang dikepung tentera Syria berhampiran sempadan Turki ketika diminta mengulas tentang sambutan hari raya. - Agensi

Taufan Sandy: Angka kematian kini 11 orang di Cuba



HAVANA: Taufan Sandy meragut mangsa ke-11 apabila ia merobek seluruh Cuba sekali gus mengakibatkan kemusnahan di timur pulau itu, kata pegawai di sini hari ini.

Kenyataan pihak pertahanan awam berkata, mangsa terbaru yang mati ialah di wilayah Santiago de Cuba dan Guantanamo biarpun pihak berkuasa "sudah mengambil semua langkah yang perlu untuk memindahkan penduduk". Sementara itu, 10 lagi kematian dilaporkan Caribbean iaitu sembilan di Haiti dan seorang di Jamaica dan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 21 setakat ini.
Sebahagian yang mati turut ditemui dalam runtuhan bangunan akibat taufan berkenaan. - AFP

Lelaki warga emas maut gempa melanda selatan Itali



ROME: Seorang lelaki warga emas maut akibat serangan jantung ketika gempa bumi bermagnitud 5.3 melanda wilayah Cosenza, selatan Itali, awal pagi tadi, lapor agensi berita tempatan, ANSA.

Gempa yang berlaku awal pagi tadi menyebabkan kerosakan kepada beberapa bangunan di kawasan terbabit. Mangsa yang berusia 84 tahun, mengalami kegagalan jantung ketika gempa itu melanda dan mati sebelum perkhidmatan kecemasan tiba di kediamannya.
Menurut Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa dengan kedalaman 3.8 kilometer itu berpusat kira-kira enam kilometer di tenggara Mormanno, wilayah Cosenza, selatan Itali. - AFP

56 mati dalam keganasan perkauman di Myanmar



YANGON: Sekurang-kurangnya 56 orang terbunuh dan beribu-ribu kediaman hangus terbakar dalam keganasan perkauman yang tercetus di barat Myanmar, kata jurucakap wilayah Rakhine, hari ini.

"Seramai 25 lelaki dan 31 wanita maut di empat bandar dan 2,000 rumah terbakar," kata Win Myaing berikutan keganasan membabitkan etnik Buddha, Rakhine dan masyarakat Islam Rohingya di negara bergolak berkenaan. Angka kematian mungkin meningkat kepada 67, kata pegawai di Yangon selepas beberapa hari keganasan berlaku sehingga memaksa beribu-ribu orang meninggalkan kediaman mereka.
Lebih 150 orang terbunuh di wilayah berkenan sejak Jun lalu. - AFP

32 maut, bom meletup di luar masjid utara Afghanistan



KABUL: Pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar sebuah masjid di utara Afghanistan, hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 32 orang dan mencederakan 34 yang lain.

Serangan itu berlaku semasa umat Islam sedang menunaikan solat sunat Aidiladha di bandar Maymana, wilayah Faryab, kata jurucakap pejabat gabenor, Jawid Didar. Katanya, semasa letupan berlaku, pegawai atasan negeri termasuk gabenor dan ketua polis, berada di dalam masjid termasuk ribuan umat Islam. Bagaimanapun, pegawai terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. - AP