Pages
▼
Monday, April 2, 2012
Jodoh usia 61 tahun
MESRA...Shahrin dan Aminah berbual mesra di majlis perkahwinan mereka.
TELUK INTAN: Akhirnya pada usia 61 tahun, Aminah Alias menamatkan zaman anak daranya semalam, selepas selamat diijabkabulkan dengan duda beranak enam serta mempunyai 40 cucu dan 13 cicit.
Pesara Pembantu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sejak empat tahun lalu itu kini bukan saja bergelar isteri, malah ibu, nenek dan moyang ‘segera’, sesuatu yang tidak pernah dijangka olehnya, namun bersyukur kerana hatinya terbuka untuk menerima Shahrin Dais, 83, sebagai suami.
Aminah berkata, masih sukar untuknya menerima kenyataan sebagai isteri pada usia warga emas sekarang, namun percaya jodohnya sudah ditetapkan bersama Shahrin.
Dia mengakui mempunyai ramai kawan lelaki ketika muda, namun sikap anti lelaki yang menebal menyebabkan hatinya tidak terbuka untuk berkahwin.
“Saya pernah menolak beberapa pinangan ketika muda kerana hati tertutup dan belum mahu berumah tangga.
“Namun, selepas bertemu dengannya (Shahrin), saya terus bersetuju untuk menjadi isterinya. Mungkin inilah jodoh,” katanya yang ditemui pada majlis perkahwinannya, semalam.
Sementara itu, Shahrin berkata, dia juga tidak menyangka pertemuan kali pertama dengan Aminah di sebuah warung kopi di Kampung Balun, Slim River pertengahan Februari lalu, membawa kepada perkahwinan.
Menurutnya, ketika pertemuan kali pertama itu dia terus jatuh hati kepada Aminah sebelum sepakat membuat keputusan mendirikan rumah tangga awal bulan lalu.
Puak berbalah di selatan Libya capai gencatan senjata
TRIPOLI: Kerajaan sementara Libya semalam mengumumkan gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran maut enam hari di antara puak yang setakat ini mengorbankan 150 orang.
Perdana Menteri, Abdel Rahim al-Kib, berkata usaha penyatuan sebelum ini membawa kepada persetujuan gencatan senjata. “Keadaan di Sabha kini tenang,” katanya.
Sekurang-kurangnya 16 maut kelmarin dalam keganasan di bandar oasis terletak kira-kira 750 kilometer di selatan Tripoli itu.
Pertempuran mula tercetus Isnin lalu selepas pejuang Toubou didakwa bertanggungjawab menyebabkan kematian seorang puak Arab tempatan.
Menurut Abdel Rahim, tentera kerajaan kini mengawal zon strategik serta memulihkan keadaan, terutama di lapangan terbang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Fatima al-Hamrush, berkata sekurang-kurangnya 147 maut dan 395 cedera sehingga Jumaat lalu. “Ia tidak termasuk kematian yang berlaku pada Sabtu (kelmarin),” katanya. - AFP
20 juta Arab menganggur
KAHERAH: Organisasi Buruh Arab (ALO) berkata, kadar pengangguran di dunia Arab meningkat dengan pantas terutama di kalangan belia.
Kira-kira 20 juta orang di rantau itu dikatakan menganggur.
“Kadar pengangguran kami jauh lebih tinggi berbanding di dunia lain,” kata kenyataan dalam dokumen ALO. Hal itu akan diusulkan dalam persidangan Buruh Arab yang dirasmikan di Kaherah semalam.
Kenyataan itu menyebut masalah berkenaan adalah yang terburuk di negara yang terbabit dengan revolusi Arab.
Penyelidikan turut menjangkakan keadaan itu akan berubah menjadi lebih buruk dalam beberapa tahun akan datang apabila populasi dunia Arab bertambah kepada 460 juta pada 2025 dan mencecah 600 juta pada 2050.
Perbezaan politik dan jarak masa dalam proses perubahan daripada pemerintahan diktator kepada sistem parlimen serta ketidakstabilan di sesetengah negara juga dikenal pasti sebagai faktor yang akan menyumbang kepada peluang pekerjaan yang lembap.
ALO berharap negara khususnya yang bijak menangani situasi politik mereka akan menyelesaikan isu pengangguran.
Dokumen itu mengandungi saranan untuk memperbaiki keadaan di dunia Arab. Ia termasuk rayuan kepada kerajaan di rantau itu supaya memfokus kepada kemudahan kredit kewangan agar belia dapat membuka syarikat kecil dan sederhana serta melabur dalam pembangunan sumber manusia.
Ia turut menggesa negara Arab yang kaya supaya menggantikan tenaga kerja warga asing dengan pekerja Arab jika perlu.
Persidangan itu akan memfokus kepada mencari penyelesaian isu pengangguran dengan penekanan khas kepada negara yang terbabit dengan revolusi Arab. Ia juga akan membincangkan saranan Arab Saudi untuk mengakhiri pengangguran seperti program Hafiz. Program pelaksanaan terkini Saudi itu menawarkan elaun bulanan kepada pe
Recep hairan tiada siapa peduli simpanan nuklear Israel
ISTANBUL: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, berkata sebarang serangan Israel ke atas Iran akan menyebabkan “bencana” dan dunia tetap berdiam diri terhadap laporan pemilikan senjata nuklear oleh rejim Zionis itu.
Bercakap kepada media semalam, Recep berkata, setiap orang mempunyai kesedaran menolak senjata nuklear.
Bagaimanapun, kata Recep, serangan Israel dijanga hanya akan menyebabkan kemusnahan menyeluruh ke atas rantau Teluk.
“Perang serantau yang terjadi akibat serangan yang dilakukan Israel tidak akan berakhir seperti hasil perang AS dan Iraq,” katanya sekembali beliau dari lawatan rasmi ke Iran.
Pada Rabu lalu, Recep berkata, tiada sesiapa berhak mengenakan sesuatu ke atas mana-mana pihak hanya kerana memiliki tenaga nuklear yang dibangunkan untuk tujuan keamanan.
Kata Recep, ketika ini Israel memiliki antara 250 hingga 300 senjata nuklear tetapi tiada sesiapa membincangkannya.
“Iran berkata, mereka tidak akan menghasilkan senjata, sebaliknya loji itu hanya menghasilkan sejumlah uranium diperkaya saja,” katanya. - Agensi
Iraq yakin rejim Bashar gagal ditumbangkan
BAGHDAD: Rejim Presiden Bashar al-Assad tidak akan tumbang dan setiap cubaan menggulingnya melalui kekerasan akan meningkatkan krisis di rantau itu, kata Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, semalam.
“Sudah setahun tetapi rejim itu tidak tumbang, dan ia tidak akan tumbang.
“Mengapa pula ia perlu tumbang?” katanya di sidang media mengenai situasi semasa di Syria.
Menurut Nuri, Iraq menolak sebarang usaha menyalurkan senjata kepada pemberontak dan sebarang proses menggulingkan kerajaan kerana ia hanya akan menyebabkan krisis lebih besar di rantau itu.
Kenyataan Nuri itu dianggap paling keras pernah dikeluarkan Iraq mengenai krisis Syria.
Ia juga satu bantahan terhadap pendirian beberapa negara - termasuk Qatar dan Arab Saudi - untuk menyediakan senjata kepada penentang Bashar.
Kedua-dua negara itu hanya menghantar delegasi peringkat rendah bagi menyertai Sidang Kemuncak Negara Arab di Baghdad pada Khamis lalu.
Qatar berkata, tindakan itu dianggap satu “mesej” untuk Iraq. - AFP
Buku dedah Ibu Ratu anak tukang masak
LONDON: Dakwaan luar biasa bahawa ibu sebenar ibu Ratu Elizabeth adalah tukang masak Perancis keluarga diraja itu bakal dimuatkan dalam buku terbaru penuh sensasi.
Penulis aristokrat, Lady Colin Campbell berkata, pembantu dapur itu mungkin - versi awal ibu tumpang - bagi kedua-dua beradik Elizabeth Bowes Lyon dan adik lelakinya David.
Tukang masak terbabit wanita Perancis yang “menarik dan cantik” bernama Marguerite Rodiere. Dia melahirkan ibu ratu kerana ibunya Cecilia yang telah mempunyai lapan anak tidak dapat melahirkan anak lagi.
Menurut Lady Colin, ini menjelaskan nama gelaran "Cookie" yang diberikan kepada ibu ratu oleh Duke dan Duchess of Windsor. Dakwaan mengejutkan itu terkandung dalam “The Queen Mother, The Untold Story of Elizabeth Bowes Lyon, Who became Queen Elizabeth the Queen Mother yang akan dijual bulan depan.
Penerbitan itu disifatkan keterlaluan berikutan Ratu Elizabeth semalam mengadakan acara memperingati ibunya sebagai menandakan ulang tahun ke-10 kematian wanita itu.
Acara yang diadakan di gereja St George di Istana Windsor dihadiri oleh hampir semua anggota kanan keluarga diraja yang menyaksikan penghormatan tidak berbelah bagi diberikan kepada bekas ratu dan anak perempuannya, Puteri Margaret. - The Telegraph
Penulis aristokrat, Lady Colin Campbell berkata, pembantu dapur itu mungkin - versi awal ibu tumpang - bagi kedua-dua beradik Elizabeth Bowes Lyon dan adik lelakinya David.
Tukang masak terbabit wanita Perancis yang “menarik dan cantik” bernama Marguerite Rodiere. Dia melahirkan ibu ratu kerana ibunya Cecilia yang telah mempunyai lapan anak tidak dapat melahirkan anak lagi.
Menurut Lady Colin, ini menjelaskan nama gelaran "Cookie" yang diberikan kepada ibu ratu oleh Duke dan Duchess of Windsor. Dakwaan mengejutkan itu terkandung dalam “The Queen Mother, The Untold Story of Elizabeth Bowes Lyon, Who became Queen Elizabeth the Queen Mother yang akan dijual bulan depan.
Penerbitan itu disifatkan keterlaluan berikutan Ratu Elizabeth semalam mengadakan acara memperingati ibunya sebagai menandakan ulang tahun ke-10 kematian wanita itu.
Acara yang diadakan di gereja St George di Istana Windsor dihadiri oleh hampir semua anggota kanan keluarga diraja yang menyaksikan penghormatan tidak berbelah bagi diberikan kepada bekas ratu dan anak perempuannya, Puteri Margaret. - The Telegraph