Pages
Wednesday, January 11, 2012
Penduduk protes larangan bertudung
January 11, 2012
BANGKOK - Ratusan penduduk Islam mengadakan perhimpunan aman di pejabat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, semalam bagi membantah tindakan sebuah sekolah menengah aliran Buddha melarang pelajar Islam memakai tudung.
'via Blog this'
Pak Arab jual anak menerusi Facebook
SAUD dengan anak yang hendak dijualnya.
RIYAHD: Seorang lelaki Arab Saudi cuba menjual anaknya di Facebook dengan harga AS$20 juta (RM60 juta) bagi mengelak untuk hidup dalam kemiskinan selepas perniagaan yang dijalankannya secara haram ditutup.
Saud bin Nasser Al Shahry mendakwa langkah itu adalah satu-satunya cara untuk membolehkannya terus menyara isteri dan anak perempuannya.
Menurutnya, dia bersedia ke mahkamah untuk menjual anaknya.
Saud bagaimanapun menetapkan satu syarat iaitu dia mahu tahu di bandar mana pembeli itu menetap.
Lelaki berkenaan mengambil keputusan itu selepas bertanya sama ada pihak berkuasa boleh membantunya dari segi kewangan apabila perniagaan memungut hutang yang dijalankannya ditutup, katanya kepada cawangan akhbar Qatar di Riyadh, Al-Sharq.
Permohonannya ditolak kerana usianya sudah melebihi 35 tahun.
Setakat ini tidak jelas sama ada tindakannya hanya gimik, atau jika benar, adakah beliau boleh menjual anaknya tanpa tindakan undang-undang.
Pemerdagangan manusia adalah satu kesalahan di Arab Saudi tetapi negara itu tidak memenuhi standard minimum antarabangsa, menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Dalam laporan terbaru yang dipetik dalam Venture Bear, jabatan itu berkata, Arab Saudi masih tidak mempunyai undang-undang pemerdagangan manusia secukupnya dan walaupun terdapat bukti kegiatan pemerdagangan yang berleluasa, negara itu tidak melaporkan sebarang pendakwaan jenayah, hukuman atau hukuman penjara untuk jenayah itu yang dilakukan terhadap pembantu rumah asing.
Dalam pada itu, Facebook tidak mungkin membenarkan penjualan seumpama itu dilakukan menerusi laman webnya.
Menurut kenyataannya mengenai Hak dan Tanggungjawab, pengguna tidak dibenarkan meletakkan kandungan atau mengambil sebarang tindakan dalam Facebook yang melanggar hak asasi orang lain atau yang melanggar undang-undang.
'via Blog this'
Bashar salahkan rancangan asing
BEIRUT: Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam menyalahkan ‘rancangan asing’ yang menyebabkan kebangkitan rakyat selama 10 bulan di negaranya sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
Bercakap kepada khalayak ramai untuk kali pertama sejak Jun, Bashar turut berikrar untuk memerangi pengganas dengan kekerasan.
Pemimpin Syria itu berkata, beliau mengalu-alukan idea untuk meluaskan kerajaannya, termasuk membolehkan penyertaan semua parti politik di dalam kerajaan di samping mengadakan pungutan suara pada Mac mengenai perlembagaan baru.
Beliau berucap di Universiti Damsyik dan ucapan itu disiarkan menerusi televisyen.
'via Blog this'
AS mahu bendung China
BEIJING 10 Jan. - China mendakwa strategi pertahanan baru Amerika Syarikat (AS) yang difokuskan terhadap rantau Asia Pasifik sebenarnya bertujuan untuk membendung kebangkitan negara ini.
Dakwaan dalam akhbar Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) hari ini menandakan amaran paling keras Beijing setakat ini terhadap strategi baru Pentagon yang diumumkan minggu lepas.
Bagaimanapun, komentar dalam Liberation Army Daily itu juga berkata, China tidak harus panik tetapi perlu bertindak balas sewajarnya terhadap strategi baru AS dengan mengambil langkah 'berjaga-jaga' dan menjalankan diplomasi pintar.
"AS mahu menempatkan bala tenteranya di seluruh rantau Asia Pasifik awal-awal lagi bagi membendung kebangkitan China," menurut komentar oleh Mejar Jeneral Luo Yuan itu.
Kenyataan Washington bahawa fokus semula tentera AS terhadap Asia bukan ditujukan kepada China 'hanya menjadikan niat sebenar mereka bertambah ketara', katanya.
"Jika kita memerhatikan perkembangan di sekeliling, kita boleh melihat AS sedang mengukuhkan lima perikatan utama tenteranya di Asia Pasifik, di samping melaraskan kedudukan lima kelompok pangkalan utama tenteranya, sambil meminta hak untuk memasuki lebih banyak pangkalan tentera di seluruh China.
"Siapa boleh percaya semua itu tidak ditujukan terhadap China, dan bukankah ini menandakan kembalinya mentaliti Perang Dingin?" tulis jeneral itu.
Luo dikenali kerana pandangannya yang agresif, sering kali disiarkan dalam akhbar popular di China dan dalam Internet.
Namun penyiaran komentarnya dalam akhbar Liberation Army Daily, yang ditapis rapi sebagai akhbar utama tentera China, membayangkan pandangan terbarunya itu mendapat sokongan kerajaan. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
Iran dituduh tingkatkan uranium di dalam gunung
TEHERAN 10 Jan. - Iran sudah memulakan proses pengayaan uranium, jauh di dalam sebuah gunung dan mahkamah negara ini, semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang warga Amerika Syarikat (AS) kerana menjadi pengintip Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Kedua-dua tindakan Iran itu membangkitkan kemarahan kuasa Barat dan menjejaskan harapan usaha diplomasi untuk mengelakkan sekatan lanjut ke atas Teheran atau mengelak perang daripada meletus.
Aktiviti pengayaan uranium di dalam kubu bawah tanah Fordow dekat bandar suci Syiah, Qom itu disahkan semalam oleh seorang pegawai Iran di sini dan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berpangkalan di Vienna.
Iran mendakwa program nuklearnya adalah untuk kegunaan awam, tetapi Barat percaya objektif sebenarnya adalah untuk membina senjata nuklear.
Keputusan Republik Islam itu untuk menjalankan aktiviti pengayaan uranium jauh di dalam kubu bawah tanah adalah bagi menyukarkan tentera AS atau Israel untuk mengebom kubu itu.
Ini bermakna kedua-dua negara sekutu itu mungkin tidak mahu berlengah-lengah lagi untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran dan sekali gus menjadikan usaha diplomasi bagi mengelakkan serangan menjadi semakin terhad.
Jabatan Negara AS menggambarkan proses pengayaan uranium di Fordow sebagai tindakan yang memburukkan lagi 'pencabulan berterusan' Iran terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kesatuan Eropah (EU) dijangka mempercepatkan mesyuarat Menteri-Menteri Luarnya kepada 23 Januari ini iaitu seminggu lebih awal bagi memutuskan sekatan ke atas minyak Iran.
Perancis menuntut langkah-langkah paling meluas dan ketat dikenakan terhadap Teheran.
Selain Perancis, Jerman dan Britain turut mengecam Iran.
Hukuman mati ke atas Amir Mirza Hekmati, 28, seorang bekas jurubahasa tentera AS yang lahir di Arizona dan memiliki dwikerakyatan, memarakkan lagi kemarahan Washington, yang menafikan dia seorang pengintip dan menuntut Amir dibebaskan segera.
Dua langkah Iran itu diambil ketika sekatan baru AS ke atas Teheran berikutan program nuklearnya dan menyebabkan ekonominya terjejas teruk. - REUTERS
'via Blog this'
Pemilik sejuta gambar bogel kanak-kanak dibebas
LONDON 10 Jan. - Seorang fidofilia yang ditemui dengan lebih sejuta gambar lucah kanak-kanak, sekali gus menjadi rampasan terbesar oleh Scotland Yard, terlepas daripada hukuman penjara untuk menjaga ibunya yang sakit.
Polis merampas lebih sejuta gambar dan video lucah kanak-kanak milik Robert Barrow, 57, di kediamannya di Plaistoe, timur London pada Ogos 2010, menurut Mahkamah Southwark Crown.
Dia yang mengaku melakukan tujuh kesalahan mengambil gambar lucah kanak-kanak dan dua kesalahan memiliki gambar itu dengan tujuan untuk mengedarkannya, terlepas daripada hukuman penjara kerana menjaga ibunya yang menderita penyakit Alzheimer dan artritis kronik sepenuh masa.
Barrow mengumpulkan gambar-gambar lucah itu sejak 15 tahun lalu dan telah berkongsinya dengan fidofilia lain di Internet.
Dia dijatuhkan hukuman penjara setahun yang ditangguhkan selama dua tahun, tetapi diarahkan untuk mendaftar sebagai Pesalah Seks selama 10 tahun.
Dia turut dikenakan perintah berkurung, dua tahun pemantauan dan perlu menjalani program rawatan pesalah seks.
"Biasanya pesalah seperti awak akan segera dipenjarakan, tetapi dalam kes ini awak terkecuali kerana keadaan kesihatan ibu awak yang nazak.
"Oleh itu, mahkamah memberi belas kasihan, bukan untuk awak tetapi untuk ibu anda. Namun jika arahan mahkamah dilanggar, awak akan dipenjarakan terus," kata Hakim Stephen Robbins.
Mahkamah turut mengetahui Barrow menderita gangguan personaliti keterlaluan dan tidak pernah melakukan hubungan seks serta tidak boleh berbogel di depan sesiapa pun.
Ini juga menjadi punca dia taksub mengumpul barangan seperti tin bir dan pembalut gula-gula getah. - AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
AS digesa tutup Kem Guantanamo
WASHINGTON 10 Jan. - Aktivis hak asasi manusia yang sesetengah daripada mereka memakai pakaian banduan berwarna jingga mengadakan protes di depan White House bagi menuntut penutupan pusat tahanan Teluk Guantanamo, semalam.
Anggota kumpulan Witness Against Torture yang melancarkan protes mereka sejak Ahad lalu, merancang untuk terus berjaga 24 jam sehingga esok sempena ulang tahun ke-10 pembukaan penjara di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Cuba itu.
Sesetengah daripada anggota aktivis itu mengurung diri mereka dalam sangkar yang tertera perkataan mengecam penjara tersebut seperti 'penahanan yang tidak jelas tanpa perbicaraan'.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia lain termasuk Amnesty International turut merancang mengadakan protes besar-besaran esok.
Witness Against Torture juga merancang mengadakan protes sama di Paris, London, Toronto, Brussels dan Berlin esok.
"Kerajaan AS terus menahan orang tanpa proses yang betul dan membelakangkan Perlembagaan negara.
"Kerajaan tidak melayan orang ramai seperti asas yang telah membentuk negara ini," kata jurucakap aktivis, Helen Schietinger.
Protes itu turut menuntut penutupan penjara tentera US di Afghanistan iaitu pusat tahanan Bagram. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
Jutawan Mesir beragama Kristian dituduh hina Islam
KAHERAH 10 Jan. - Seorang ahli perniagaan terkemuka dan aktivis politik Mesir dihadapkan ke mahkamah, semalam atas dakwaan memfitnah serta menghina Islam selepas menyiarkan kartun kontroversi Internet.
Pada Jun 2010, Naguib Sawiris yang juga penganut Kristian Qibti menyiarkan kartun Mickey Mouse dengan jambang serta Minnie Mouse yang memakai niqab di akaun Twitternya.
Seorang peguam beragama Islam, Mamdouh Ismail memfailkan aduan itu mendakwa Sawiris menghina Islam.
Katanya, tindakan ahli perniagaan itu dilihat 'sengaja mempersenda-sendakan pakaian serta simbol Islam'.
Sawiris sebelum ini telah meminta maaf di Internet berhubung penyiaran kartun berkenaan, dengan menyatakan beliau tidak berniat menimbulkan salah faham dan menyifatkan kartun itu sebagai jenaka.
Pergerakan ultra konservatif Salafis, bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya permohonan maaf tersebut.
Sawiris turut menubuhkan Parti Kebebasan Rakyat Mesir semasa kebangkitan rakyat pada tahun lalu yang membawa kepada penyingkiran Presiden, Hosni Mubarak.
Pilihan raya Parlimen di Mesir yang sedang berlangsung telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat Kristian dan liberal berhubung kecenderungan penduduk Mesir terhadap Islam, apabila parti-parti Islam mencatat kemenangan pada pilihan raya pertama negara ini sejak kejatuhan Mubarak.
Pada 2010, majalah Forbes menganggarkan Sawiris memiliki aset berjumlah AS$2.5 bilion (RM7.5 bilion) hasil perniagaan syarikat konglomerat Orascom Group miliknya dalam industri telekomunikasi, pembinaan, hotel dan pembangunan. - DPAUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
Syria tidak hirau pemantau Liga
DAMSYIK 10 Jan. - Tentera Syria melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Homs semasa pemantau Liga Arab melakukan tinjauan di bandar itu untuk melihat sama ada rejim Presiden Bashar al-Assad menunaikan janji untuk menghentikan kempen kekerasan ke atas penentang kerajaan.
Di ibu negara ini semalam, beribu-ribu penduduk menghadiri majlis untuk mendoakan mangsa yang terbunuh sejak pemberontakan bermula pada Mac lalu.
Para pemimpin Islam dan Kristian menghadiri majlis itu, dan beribu-ribu penduduk memenuhi gereja Holy Cross, perkarangannya dan jalan berdekatan.
"Hentikan pembunuhan di negara Syria yang kita cintai," kata ulama Sunah tertinggi di negara ini, Mufti Besar Ahmad Badreddine Hassoun kepada hadirin.
Anak lelaki beliau ditembak mati pada Oktober lepas.
Seramai 165 pemantau asing itu ditugaskan untuk memastikan Syria mematuhi pelan Liga Arab yang menuntut rejim Assad menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan, mengundurkan senjata berat termasuk kereta kebal dari semua bandar, membebaskan semua tahanan politik dan membenarkan kemasukan pertubuhan hak asasi manusia serta wartawan asing.
Syria mempersetujui pelan itu pada 19 Disember lalu, tetapi kekerasan belum dihentikan dan aktivis pembangkang mendakwa kira-kira 450 orang dibunuh oleh rejim sejak pemerhati memulakan misi di negara ini pada 21 Disember lalu.
Semalam, pertubuhan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia di Britain berkata, pasukan keselamatan menembak mati empat orang di seluruh negara dan menyerahkan mayat 10 orang kepada keluarga mereka di beberapa kawasan kediaman di Homs.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beberapa minggu lalu menganggarkan lebih 5,000 orang terbunuh dalam keganasan politik sejak Mac lepas.
Sejak laporan PBB itu, ratusan lagi telah terbunuh, kata aktivis pembangkang. - AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
Bom kawalan jauh meletup di Kyber, 35 terkorban
PESHAWAR 10 Jan. - Sebutir bom kawalan jauh meletup di sebuah terminal bas di wilayah bergolak Khyber di barat laut negara ini, hari ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 35 orang terkorban dan 69 yang lain cedera.
Letupan tersebut berlaku di Bazar Jamrud, salah sebuah bandar di wilayah kabilah itu, yang turut menjadi lokasi persembunyian militan Taliban dan al-Qaeda.
Bandar tersebut juga menjadi laluan untuk membawa bekalan bagi keperluan tentera Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan.
"Bahan letupan itu diletakkan di dalam sebuah van penumpang dan diletupkan dengan alat kawalan jauh," kata pegawai keselamatan kanan daerah, Jamil Khan.
Pegawai berkata, sebanyak 23 mayat dan 34 mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Jamrud, sementara baki yang maut dan cedera dibawa ke sebuah pusat perubatan di Peshawar.
Jurucakap perkhidmatan ambulans, Mujahid Khan berkata, antara yang maut dalam letupan itu ialah tiga anggota separa tentera dari Kor Sempadan.
Seorang pegawai tertinggi pentadbiran di Khyber, Mutahir Zeb berkata, sasaran sebenar serangan masih belum dikenal pasti.
Pegawai berkata, sehingga kini masih belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan.
Tentera Pakistan sering menjadi sasaran militan termasuk Taliban Pakistan di Khyber sejak lebih empat tahun lalu.
Letupan hari ini juga merupakan yang paling besar berlaku pada tahun ini. Pada 30 Disember lalu, seramai 13 maut dalam satu kejadian letupan di bandar Quetta, barat daya negara ini. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
Paus pembunuh Pygmy ditemui terdampar
Aduan jenayah siber naik 88 peratus
hisham.idris@kosmo.com.my
PUTRAJAYA - Kes jenayah siber semakin mengancam masyarakat apabila pihak berkuasa merekodkan 15,218 aduan sepanjang tahun lalu iaitu peningkatan 88 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kes yang paling mendapat perhatian ialah penipuan di Internet dengan melibatkan 5,328 aduan diikuti dengan spam (3,751) dan pencerobohan (3,699).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, kesemua aduan tersebut disalurkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 yang dikendalikan sepenuhnya oleh CyberSecurity Malaysia.
"Trend ini membimbangkan kerana kalau dibandingkan dengan tahun 2010, jumlah aduan itu telah meningkat lebih 88 peratus," katanya pada Majlis Pelancaran Penyelesaian Sekuriti Internet Perisai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Mohd. Azumi Mohamed.
K osmo! Online - Negara:'via Blog this'
Ramai beli Rolls-Royce di China
LONDON - Pengeluar kereta mewah Britain, Rolls-Royce yang kini dimiliki syarikat dari Jerman, BMW mengumumkan kelmarin bahawa jualan untuk 2011 mencatat rekod tertinggi yang didorong permintaan kukuh dari China dan Amerika Syarikat (AS).
Jualan kereta Rolls Royce melonjak 31 peratus kepada 3,538 buah kereta pada tahun lalu berbanding 2,711 buah kereta pada tahun sebelumnya, menurut satu kenyataan daripada syarikat induk Rolls Royce, BMW.
Angka tersebut adalah yang tertinggi sepanjang 107 tahun penubuhan Rolls-Royce sekali gus mengatasi rekod 3,347 buah kereta yang pernah dicatat pada 1978.
Rolls-Royce yang beribu pejabat di kilang Goodwood, selatan England menambah bahawa China dan AS kini merupakan "pasaran individu paling penting" buat pengeluar kenderaan mewah berkenaan.
"Kami melalui tahun yang cemerlang pada 2011. Perniagaan kami berada pada tahap yang amat baik. Kami sedang membangunkan rangkaian pengedar kami, membuka pasaran baharu di Amerika Selatan, membesarkan operasi kilang kami di Sussex Barat bagi memenuhi permintaan global dan kami turut memiliki perancangan untuk membangunkan rangkaian produk kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Rolls-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös.
Syarikat pembuat kereta berkenaan yang dibeli oleh BMW pada tahun 1998 mencatat lonjakan jualan sebanyak 47 peratus pada tahun lalu di rantau Asia Pasifik, 17 peratus di Amerika Utara dan 23 peratus di Asia Barat.
Bagaimanapun Rolls-Royce gagal menandingi saingannya, Bentley yang pada minggu lalu menyatakan jualan kereta mewah berkenaan meningkat 37 peratus kepada 7,003 buah kenderaan pada tahun lalu ekoran permintaan kukuh dari China dan AS.- AFPKosmo! Online - Dunia:'via Blog this'
Burung jenjang ditemui merayau-rayau di California
CARLSBAD, Amerika Syarikat - Seekor burung jenjang yang pada kebiasaannya terdapat di Afrika ditemui merayau-rayau di sebatang jalan raya di Encinitas, California pada Sabtu lalu.
Burung itu dipujuk memasuki sebuah garaj milik seorang wanita yang menemui haiwan tersebut semasa dia berjalan bersama seekor anjing di laluan ke rumahnya.
Wanita itu kemudian menghubungi Jabatan Perkhidmatan Haiwan kelmarin yang membawa burung tersebut ke sebuah pusat perlindungan di Carlsbad.
Seorang lelaki yang mendengar berita mengenai burung tersebut kemudian menghubungi jabatan perkhidmatan haiwan itu dengan menyatakan ia adalah miliknya. - AgensiKosmo! Online - Dunia:'via Blog this'
Harimau Sumatera terperangkap diselamatkan
JAKARTA - Seekor harimau Sumatera yang hampir pupus ditemui dengan kecederaan serius di seluruh badannya akibat terkena bahan tajam selepas termasuk dalam satu perangkap di dalam hutan Muara Aman di wilayah Bengkulu, kata beberapa pegawai semalam.
Harimau jantan berusia lima tahun itu ditemui kelmarin dengan kesan sembilan kecederaan dipanah, kata seorang ketua agensi pemuliharaan hidupan liar, Supartono.
"Semasa kami menemui haiwan itu, harimau tersebut terbaring lemah di tanah dengan kaki kiri terangkat, terperangkap dalam perangkap wayar yang dipasang pada dahan sebatang pokok," katanya.
Menurutnya, perangkap itu dipercayai dipasang oleh pemburu haram untuk menjual organ haiwan tersebut di pasaran gelap.
Harimau itu kemudian diselamatkan oleh para pegawai agensi pemuliharaan itu. - AFPKosmo! Online - Dunia:'via Blog this'