MOHD FARIZ ILHAM diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Rayuan Syarie, semalam.
KOTA BHARU: Mahkamah Rayuan Syarie Kelantan mengarahkan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, yang pernah membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian, diberi bimbingan khas oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Daud Muhammad yang dibantu dua ahli panel, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim dan Tan Sri Ghazali Abd Rahman selepas menolak permohonan Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Hashim Deraman supaya pelajar itu diletakkan di Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.
Hashim memohon Mahkamah Rayuan membuat semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lalu terhadap Mohd Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19, pelajar Diploma Seni Kulinari UiTM Dungun, supaya diletak di bawah pengawasan Unit Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Hashim berhujah, Unit Dakwah JAHEAIK hanya sebuah jabatan yang tidak mempunyai kelengkapan khas untuk memberi bimbingan secara khusus kepada Mohd Fariz Ilham dalam usaha memulihkan akidahnya.
Berikutan permohonan Hashim itu, Daud menyoal pelajar berkenaan sama ada sepanjang bersama pegawai JAHEAIK, dia mengikuti kelas bimbingan akidah dan Mohd Fariz Ilham memaklumkan, dia sempat menyertai beberapa siri ceramah.
“Saya mengikuti siri ceramah anjuran JAHEAIK dan saya bukan seorang yang mudah dipengaruhi, selain mempunyai cara sendiri untuk berubah,” katanya ketika disoal Daud sama ada dia menghadapi masalah atau kesukaran menerima bimbingan dalam usaha memulihkan akidahnya akibat membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian sebelum itu.
Mohd Fariz Ilham berkata, dia menerima pembelajaran agama Islam daripada kedua-dua ibu bapanya sejak kecil dan mengaku mempunyai kawan bukan beragama Islam ketika menuntut di UiTM Dungun.
“Saya masih menunggu jawapan untuk bekerja sebagai penjawat awam di Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sebagai penceramah penduduk Orang Asli. Jika permohonan ini diterima, ia mungkin dapat membantu saya mengubah orang lain dan pada masa sama, saya juga boleh mengubah diri sendiri,” katanya sambil mengaku turut sembahyang lima waktu dan berpuasa.
Berikutan pengakuan Mohd Fariz Ilham itu, Daud dan dua ahli panel sebulat suara memutuskan supaya penjagaan dan bimbingan khas bagi memulihkan akidah pelajar itu diserahkan kepada MAIK.
“Mahkamah Rayuan Syarie membuat keputusan supaya kamu diletakkan di bawah bimbingan MAIK dan tidak perlu dipindahkan ke Pusat Pemulihan Akidah Selangor,” katanya.
“Keputusan ini juga boleh memberi keselesaan kepada dirinya kerana dia juga tidak keluar dari negeri ini,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar itu yang sebelum ini mengaku menukar agama kepada Kristian, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, bahawa dia sudah insaf dan kini kembali memeluk Islam.
Berikutan pengakuan itu, Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan Mohamad Fariz Ilham, dari Pengkalan Chepa, bersembahyang jemaah di tempat pengajiannya serta melaporkan kehadiran kepada imam masjid itu selama enam bulan, berkuat kuasa 4 Mei lalu.