Pages
Thursday, February 24, 2011
KEUTAMAAN ILMU DARIPADA HARTA
Doktor Medan Tahrir Mesir sanggup menghulur bantuan ke libya
Duta ke Indonesia, Brunei letak jawatan
JAKARTA: Duta Libya ke Indonesia, Singapura dan Brunei meletak jawatan semalam sebagai membantah tindakan ganas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi terhadap penunjuk perasaan.
Dalam kenyataannya kepada akhbar The Jakarta Post, Salaheddin M El Bishari berkata, ia keputusan peribadinya dan beliau bimbang terhadap keselamatan keluarganya di Libya.
“Tentera membunuh orang awam tanpa belas kasihan, menggunakan senjata berat, jet pejuang dan tentera upahan terhadap rakyat.
“Ia tindakan yang tidak boleh diterima. Saya tidak boleh bertolak ansur lagi” katanya. - AFP"
Potong kaki mangsa dengann gergaji besi
CHRISTCHURCH: Seorang pengurus binaan yang menyertai gerakan menyelamat selepas gempa bumi melanda bandar raya ini berkata, pasukan penyelamat menggunakan gergaji besi untuk memotong kaki seorang lelaki dalam usaha membebaskannya daripada dihimpit bongkah konkrit.
Fred Haering berkata, pasukan penyelamat menggunakan mesin tukul dan gergaji rantai untuk menembusi bangunan Pyne Gould Guiness yang runtuh di Christchurch dari bumbung bagi membolehkan mereka memasuki beberapa lapisan pejabat sebelum menemui beberapa mayat yang tersepit di antara bongkah konkrit.
Seorang lelaki ditemui masih hidup walaupun kakinya dihempap konkrit.
Doktor yang turut menyertai gerakan menyelamat menyuntik ubat pelali untuk mengurangkan kesakitannya.
Menurut Haering, seorang anggota bomba kemudian meminta gergaji besi daripadanya.
“Saya menyerahkan gergaji itu dan mengelak melihat mangsa ketika kakinya digergaji. Ia perlu dilakukan kerana untuk menyelamat nyawanya,” katanya. - AP"
Henti usaha cari mangsa
CHRISTCHURCH: Polis semalam menghentikan usaha mencari mangsa yang mungkin terselamat di dalam sebuah bangunan enam tingkat yang runtuh selepas gempa bumi besar melanda bandar raya ini kelmarin.
Mereka juga berkata, beberapa pelajar asing mungkin antara yang terbunuh dalam bangunan itu.
“Bangunan CTV ini menempatkan beberapa pelajar asing dan saya bersimpati dengan keluarga mereka yang mungkin terbunuh dalam bencana ini,” kata Komander Operasi Polis, Dave Lawry, merujuk kepada bangunan TV Canterbury.
“Ketika ini, kami percaya tidak ada mangsa yang terselamat dalam bangunan ini,” katanya.
Seramai 75 orang terbunuh dan 300 hilang apabila gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda bandar kedua terbesar New Zealand itu, yang kedua dalam masa beberapa bulan. Menurut Lawry, keadaan bangunan itu yang menempatkan Sekolah Bahasa Inggeris Kolej Pendidikan King di tingkat tiga semakin teruk dan bimbang ia akan runtuh lagi, sekali gus membahayakan anggota penyelamat.
“Saya tidak akan membahayakan kakitangan saya untuk mereka yang saya percaya sudah tidak mempunyai peluang untuk selamat lagi,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya, anggota penyelamat kini memindahkan peralatan mereka dari bangunan itu ke kawasan yang mempunyai lebih banyak peluang untuk mencari mangsa yang terselamat.
Media New Zealand sebelum ini melaporkan, 24 orang diselamatkan daripada runtuhan bangunan CTV itu. Tujuh mayat ditemui dan sekurang-kurangnya 22 orang disenaraikan hilang.
Lawry tidak memberi butir lanjut mengenai kerakyatan mereka yang terperangkap dalam bangunan itu tetapi sekurang-kurangnya 10 pelajar Jepun berada di bangunan itu dan mereka dikhuatiri terbunuh. - AFPmyMetro
Ibu pengsan anak telefon dari Lombok
PETALING JAYA: Selepas enam hari mencari anak daranya yang hilang, seorang ibu pengsan apabila dihubungi anaknya dan memberitahu sudah berkahwin dengan lelaki Indonesia dan berada di Lombok Timur.
Zaiton Jaafar, 43, dari Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang berkata, kehilangan Norbaizura Mohd Salleh, 19, yang juga anak keempat daripada enam beradik disedari selepas rakan serumah lelaki Indonesia di Felcra itu menghubungi keluarganya dan memberitahu rancangan melarikan gadis terbabit, 5 Februari lalu.
Dia berkata, anggota keluarga dengan dibantu penduduk kampung melakukan pencarian selama enam hari di Jerantut sebelum ke Melaka selepas mendapat maklumat Norbaizura ada dilihat di negeri itu.
“Sehari selepas mengetahui dia hilang, saya membuat laporan di Pondok Polis Kuala Tahan sebelum kes dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.
“Berdasarkan maklumat, kami cuba mencari Norbaizura di sekitar Jerantut sebelum pencarian diteruskan hingga ke Melaka apabila mendapat petunjuk baru.
“Bagaimanapun, minggu lalu saya terkejut, lemah semangat dan pitam menerima panggilan telefon daripadanya memaklumkan berada di Kampung Jobeng, Lombok Timur dan kahwin dengan lelaki dikenali sebagai Suparlan berusia 30-an yang juga penoreh getah tidak jauh daripada tempat kami,” katanya.
Menurutnya, perbualan telefon itu terputus selepas Norbaizura memberitahu sudah berkahwin dan apabila cuba hubungi semula, talian itu tidak berjawab.
“Jika benar mahu memperisterikan anak saya, saya sedia menerimanya sebagai menantu, tetapi biar kena caranya. Kami sekeluarga tidak mempunyai sebarang halangan jika lelaki itu kahwin dengan Norbaizura tetapi harus mengikut hukum Islam, adab serta adat Melayu di negara ini.
“Saya rasa golongan tua di sana (Lombok) juga tidak bersetuju dengan perbuatan tidak beradab ini, lebih-lebih lagi majoriti penduduknya berpegang teguh kepada ajaran Islam. Justeru, perbuatan sebegini harus dihentikan segera,” katanya.
Namun, Zaiton berkata, rakan serumah Suparlan yang bekerja sebagai penoreh getah di Kuala Tembeling pernah memberitahu suspek menyimpan perasaan terhadap anak perempuannya itu.
“Difahamkan, dia selalu mengekori anak saya pulang dari tempat kerjanya di pusat peranginan di Kuala Tahan, tetapi tidak pernah mengganggu Norbaizura.
“Dia dilarikan sehelai sepinggang dan dipercayai dibawa masuk secara haram ke Lombok melalui jalan laut dari Melaka kerana tidak mempunyai pasport antarabangsa.
“Saya berharap Norbaizura dapat dibawa pulang secepat mungkin kerana kami sekeluarga, terutama ayahnya yang uzur amat merinduinya,” katanya.myMetro
Bandar Misurata jatuh ke tangan pemberontak
TRIPOLI: Bunyi kuat senjata api kedengaran di bandar raya ini semalam, ketika tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi melepaskan tembakan di jalan raya selepas pemimpin itu berikrar untuk mempertahankan pemerintahannya.
Pertempuran di Tripoli meletus selepas pembangkang dilapor menguasai bandar Misurata dan saksi berkata, orang ramai membunyikan hon kenderaan sambil mengibarkan bendera pra-pemerintahan Gaddafi.
Misurata menjadi bandar utama di barat Libya jatuh ke tangan kumpulan antikerajaan yang sebelum ini tertumpu di timur.
Seorang doktor tempatan, Faraj al-Misrati berkata, enam penduduk terbunuh dan 200 cedera sejak 18 Februari lalu apabila penunjuk perasaan menyerang pejabat dan bangunan yang ada hubungan dengan rejim Gaddafi.
Katanya, penduduk bersatu membentuk jawatankuasa untuk melindungi bandar berkenaan. - AP"
‘Telefon bimbit boleh jejas aktiviti sel otak’
2011/02/24
Metabolisme glukos meningkat di bahagian hampir antenaCHICAGO: Tempoh 50 minit untuk bercakap menerusi telefon bimbit yang dilekapkan di telinga, sudah cukup bagi menukar aktiviti sel otak yang paling hampir dengan antenanya.
Bagaimanapun, saintis di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), berkata sama ada keadaan ini akan menyebabkan sebarang kerosakan belum dapat dipastikan.Ia juga dijangka tidak dapat menyelesaikan kebimbangan dan andaian bahawa penggunaan telefon bimbit mempunyai kaitan dengan penyakit barah otak.
“Apa yang dapat kami lihat ialah metabolisme glukos meningkat di dalam otak seseorang yang terdedah dengan telefon bimbit dan paling ketara di bahagian yang paling hampir dengan antena telefon bimbit itu,” kata pakar NIH, Dr Nora Volkow. Penyelidikan beliau diterbitkan di Jurnal Persatuan Perubatan Amerika.
Kajian yang dijalankan bertujuan mengenal pasti reaksi otak terhadap medan elektromagnetik yang berpunca daripada isyarat telefon tanpa wayar.
Volkow berkata, beliau terkejut dengan bukti bahawa radiasi elektromagnetik yang lemah dari telefon bimbit boleh menjejaskan aktiviti otak, tetapi kajian itu tidak memberi jawapan sama ada penggunaan telefon bimbit menyebabkan barah.
“Kajian itu tidak memberi petunjuk sedemikian. Apa yang dilakukan kajian ini ialah untuk menunjukkan bahawa otak manusia adalah sensitif kepada radiasi elektromagnetik akibat penggunaan telefon bimbit.
Penggunaan telefon bimbit meningkat secara dramatik sejak peranti itu diperkenalkan pada awal hingga pertengahan 1980-an dan kini 5 bilion telefon bimbit digunakan di seluruh dunia.
Sesetengah kajian menga-itkan penggunaan telefon bimbit dengan peningkatan penyakit barah otak tetapi kajian yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak dapat memberi keputusan muktamad.
Pasukan Volkow membuat kajian ke atas 47 orang yang menjalani imbasan ketika telefon bimbit digunakan selama 50 minit, manakala satu kumpulan lagi diimbas ketika telefon bimbit dimatikan. – Reuters
Kejadian serangan 11 September dipapar secara online
1Kejadian serangan 11 September dipapar secara online
2011/02/24
NEW YORK: Muzium New York hari ini melancarkan satu laman interektif yang memaparkan peristiwa serangan pengganas pada 11 September 2001 sebagai mengenang tragedi yang mengejutkan seluruh dunia itu. Paparan itu bermula jam 5.45 pagi dengan gambar yang agak kelam sekumpulan pengganas yang melalui kawalan keselaamtan di Lapangan Terbang Boston sebelum menawan pesawat pertama.Ia berakhir sehinggalah jam 8.30 malam apabila Presiden George W Bush menjelaskan mengenai kejadian yang menimpa Pusat Dagangan Dunia New York yang runtuh atau 'Ground Zero'.
Sepanjang paparan interaktif itu, turut ditunjukkan gabungan klip video, gambar dan suara mangsa, termasuk anggota bomba dan pegawai ketika dua lelaki yang menawan pesawat menghala dan melanggar bangunan berkenaan.
Ia disusuli dengan pelanggaran bangunan Pentagon dan kejadian sebuah pesawat yang terhempas di Pennyslvania, yang semunya mengorbankan kira-kira 3,000 orang.
“Perlukah saya terjun?" suara seorang wanita yang terperangkap di tingkat 77 bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia New York yang ketika itu sedang terbakar.
“Bangunan 110 tingkat runtuh ke arah kami dan ketika itu saya hanya melihat ke matahari," kata seorang anggota bomba yang terselamat dari celah runtuhan.
Album interektif di alamat http://timeline.national911memorial.org, itu dipaparkan di Memorial National 11 September dan di Muzium New York.
"Berikutan ia menggambarkan keadaan semasa berlakunya serangan 11 September itu, beberapa imej grafik dan klip video yang kandungan yang sensitif.
"Justeru, ibu bapa boleh melihatnya terlebih dulu sebelum berkongsinya dengan anak mereka yang masih kecil," kata laman berkenaan sebagai peringatan kepada pengunjung.
Muzium berkenaan dijadual dibuka kepada awam pada 11 September tahun ini, iaitu sempena menyambut tahun ke-10 kejadian serangan itu. - AFP
Ketukan, tangisan beri petunjuk
2011/02/24
Ramai lagi dipercayai masih terperangkap dalam runtuhanCHRISTCHURCH: Pasukan mencari dan menyelamat New Zealand terus menyelongkar sisa runtuhan bagi mencari mangsa yang terselamat berpandukan bunyi tangisan dan ketukan, ketika angka korban gempa di negara itu meningkat kepada 75 orang, manakala ramai lagi dipercayai masih terperangkap.
Pasukan penyelamat juga terpaksa memotong anggota tubuh sebahagian daripada 120 mangsa yang diselamatkan dalam bencana alam yang melanda bandar raya kedua terbesar di negara itu. Angka kematian dijangka meningkat.“Kami menerima pesanan ringkas dan bunyi ketukan daripada mangsa yang masih hidup dan inilah tumpuan kami sekarang,” kata pegawai kanan polis Russel Gibson kepada stesen radio New Zealand.
Beliau menjangka angka kematian akan terus bertambah, ketika usaha ditumpukan kepada mencari mangsa yang masih hidup dan mengenal pasti mayat.
“Banyak mayat bergelimpangan di jalan raya. Mereka terperangkap di dalam kereta atau tertimbus di celah runtuhan bangunan. Kami terpaksa memberi tumpuan kepada mangsa yang masih hidup,” katanya.
Sementara itu harapan untuk menemui sekumpulan 15 mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan sebuah bangunan, musnah semalam, ketika sekumpulan penyelamat meninggalkan lokasi manakala anggota bomba memberitahu media bahawa laporan awal adalah salah.
Bangunan itu menempatkan agensi penyiaran CTV dan sebuah sekolah bahasa Inggeris dengan berpuluh pelajar Jepun dipercayai terperangkap ketika gempa bumi berlaku.
Satu pasukan ditugaskan khusus mencari mangsa dari bangunan runtuh meninggalkan lokasi bagi memberi tumpuan kepada mangsa lain yang mempunyai peluang lebih baik untuk selamat.
“Mereka memberitahu kami tiada harapan mangsa hidup ditemui di situ,” kata seorang wanita yang menangis ketika pasukan mencari meninggalkan lokasi tempat adik iparnya terperangkap.
Berpuluh-puluh anggota keluarga dan sanak saudara yang menunggu dengan penuh harapan terkejut selepas diberitahu mengenai berita itu.
Datuk Bandar, Bob Parker berkata, kira-kira 300 orang lagi masih hilang sehari selepas gempa bumi melanda tetapi tidak jelas bagaimana anggaran ini dibuat selepas hubungan antara keluarga, rakan dan pihak berkuasa terputus. – Reuters
Menteri, jeneral Libya letak jawatan
2011/02/24
TRIPOLI: Pemimpin Libya Muammar Gaddafi semakin tertekan semalam berikutan peletakan jawatan beberapa pegawai kanan, termasuk Menteri Dalam Negeri, Abdel Fattah Younes al-Abidi yang dianggap nombor dua di Libya.
Al-Abidi mengumumkan langkahnya untuk menyokong penunjuk perasaan ketika laporan menyatakan sehingga 1,000 orang terbunuh sejak bantahan tercetus 17 Februari lalu.Sementara itu, penunjuk perasaan dengan bantuan anggota tentera yang berpaling tadah mendakwa menguasai bahagian timur Libya.
Malah mereka mendakwa selepas seminggu bantahan tercetus Gaddafi kini hanya menguasai wilayah tertentu termasuk sebahagian ibu negara Tripoli dan bandar selatan Sabha.
Menurut perangkaan kerajaan hampir 300 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan dengan ganas menyuraikan penunjuk perasaan. Namun menteri luar Itali Franco Frattini berkata di Rom laporan yang menyatakan kematian mungkin mencecah 1,000 orang boleh dipercayai berikutan serangan udara turut dilancarkan terhadap penunjuk perasaan.
Bekas negara penjajah Libya itu bimbang jika rejim Gaddafi berjaya ditumbangkan, sehingga 300,000 rakyat Libya mungkin akan lari ke Itali.
Selain Al-Abidi, ramai lagi jeneral kanan termasuk Jeneral Mahmud, pegawai pemerintah di Tripoli dan timur Libya berpaling tadah.
Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) Gaddafi kini hanya mendapat sokongan daripada kelompok kecil yang rapat dengannya tetapi agak jelas beliau tidak akan menyerah kalah tanpa melawan habis-habisan.
Sementara itu, beberapa negara Eropah dilaporkan sudah mula membawa keluar warga masing-masing dari Libya.
Perancis, Turki dan Russia adalah antara negara yang sudah menghantar pesawat masing-masing bagi membawa keluar rakyat mereka yang terperangkap.
Britain pula menghantar kapal perangnya, HMS Cumberland ke pesisir pantai Libya bagi membantu operasi membawa keluar rakyatnya.
Amerika Syarikat, China dan India juga dilaporkan sedang membuat persiapan membawa pulang rakyat masing-masing keluar dari negara bergolak itu. – AP/Agensi
Wajah mirip manusia pada labah-labah
1,000 maut di Libya
Khuatir penyakit bawaan air merebak
Sikap kejam pencuri beras
AHMAD ROZLIN yang dirawat di HRPB, Ipoh semalam menceritakan kekecewaannya dibiarkan selama sejam atas jalan oleh orang ramai. |
IPOH – Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.
Sarang buaya di Pasir Gudang
huda.hassan@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 23 Feb. – Siapa sangka di sebalik deretan kilang di kawasan perindustrian Pasir Gudang, dekat sini terdapat sebuah tempat menempatkan spesies buaya paling besar dan ganas antara 23 spesies yang terdapat di dunia iaitu buaya tembaga.
Sarang Buaya atau turut dikenali sebagai Santuari Buaya Tembaga yang dibangunkan di dalam kawasan hutan paya bakau berhampiran Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang seluas 3.237 hektar itu mula didirikan pada 2008.
Tempat yang dibangunkan dengan kos RM2.9 juta merupakan satu-satunya santuari seumpama itu yang diwujudkan di negara ini dan ia mula dibuka kepada orang awam sejak Februari 2009.
Lebih menarik, Sarang Buaya yang merupakan produk eko-pelancongan baru di negeri ini memberi tumpuan kepada konsep pembelajaran, konservasi, rekreasi dan penyelidikan mengenai buaya tembaga kepada pengunjungnya.
Menurut pengurus pusat tersebut, Abdul Malek Ab. Aziz, kini terdapat sebanyak 144 ekor buaya tembaga pelbagai saiz dan warna ditempatkan di enam daripada 12 kolam yang dibina mengikut bentuk tapak kaki di situ.
Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun mengendalikan buaya memberitahu, di santuari buaya tembaga itu orang ramai dapat melalui pelbagai pengalaman menarik dan berbeza berbanding di lokasi lain.
“Pengunjung boleh melihat pelbagai aksi buaya ketika diberi makan, cara pemindahan buaya selain dibenarkan mengambil gambar bersama anak buaya sebagai kenang-kenangan,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Buaya tembaga yang hidup di dalam air masin dan tawar merupakan spesies buaya tempatan yang hampir pupus serta dilindungi sepenuhnya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Buaya merupakan haiwan prasejarah yang telah wujud lebih 200 juta tahun. Daripada 23 spesies buaya di dunia, hanya dua spesies terdapat di Malaysia iaitu buaya tembaga dan jenjulung.
Mengulas lanjut, Abdul Malek yang juga pengasas pertunjukan manusia dan buaya di negara ini memberitahu, buaya-buaya yang diletakkan di dalam kolam di santuari itu dibeli daripada penternak yang berlesen di Muar.
“Buaya-buaya di sini diberi makan daging ayam dua kali setiap minggu bagi buaya dewasa dan seminggu sekali bagi anak buaya dan jangka hayatnya boleh mencecah sehingga 90 tahun,” katanya.
Ditanya bagaimana mula meminati dan mendampingi buaya, Abdul Malek memberitahu, beliau sememangnya seorang pencinta haiwan.
Semua ilmu yang diterima termasuk teknik-teknik untuk mengawal buaya dipelajari daripada seorang penternak buaya yang juga sifunya, Ng Chong Seng.
Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) juga bakal memasukkan Sarang Buaya dalam pakej pelancongan Pasir Gudang sekali gus membantu mempergiatkan lagi promosi tempat tersebut.
“Malah, satu program dikenali sebagai Program Titian Kasih Yang Dipertua MPPG, A. Rahim Nin bakal diperkenalkan kepada semua sekolah di kawasan Pasir Gudang.
“Menerusi program ini, 40 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terpilih akan dibawa melawat santuari ini dengan percuma sebagai satu tanggungjawab sosial korporat MPPG,” katanya.
Justeru, beliau mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Sarang Buaya yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran RM4 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.
Pengalaman ngeri mangsa gempa
Bukan itu sahaja, penduduk di situ juga memberitahu bagaimana mereka melihat mangsa mati akibat dihempap runtuhan bangunan, selain mangsa terbaring mengerang kesakitan kerana kecederaan serius akibat gempa berukuran 6.3 pada skala Ritcher itu.
Eksekutif pengiklanan, Sven Baker berkata, keputusan bersembunyi di bawah meja telah menyelamatkannya.
Kata Baker, nyawanya pasti melayang jika dia berlari ke luar apabila dua tingkat sebuah bangunan runtuh akibat gempa itu.
"Saya sangat bersyukur dengan keputusan segera yang saya ambil itu. Ia satu keajaiban," katanya sambil memberitahu bahawa jalan raya dipenuhi dengan orang ramai yang panik.
"Ia seperti berada di zon pertempuran. Penuh dengan debu dan hiruk pikuk jeritan serta bau gas," katanya kepada New Zealand Herald.
Gempa yang kuat itu juga membuatkan Anthony Rohan berlindung di bawah meja.
"Kuasa gempa itu membuatkan anda tercampak ke sana sini. Anda boleh melihat bumi dan bangunan bergerak," katanya kepada Fairfax Media.
Paul Hewitson pula berkata, dia dan dua rakan pejabat mahu keluar makan tengah hari apabila tiba-tiba konkrit tebal jatuh dan hampir menimpanya dan rakannya.
"Seperti bom diletupkan dan kepingan konkrit tebal runtuh. Saya cuba membuat panggilan telefon. Kami tidak tahu apa yang berlaku.
"Syukurlah konkrit yang runtuh itu tidak menimpa kami," katanya kepada Radio New Zealand. - AFP
Negara luar hantar pasukan penyelamat
CHRISTCHURCH 23 Feb. - Beberapa negara mula menghantar pasukan penyelamat ke Christchurch bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi yang dikhuariti tertimbus di bawah runtuhan selepas gemba bumi kuat melanda bandar ini, semalam.
Pasukan dari Australia, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Britain, Singapura dan Taiwan telah dan bakal sama-sama menyertai pekerja penyelamat tempatan menggali runtuhan bangunan akibat gegaran berukuran 6.3 pada skala Richter yang mengorbankan sekurang-kurangnya 75 orang setakat ini.
Usaha itu berbaloi apabila pekerja penyelamat Australia hari ini berjaya mengeluarkan seorang wanita daripada runtuhan bangunan Pyne Gould Guinness, di sini selepas lebih 24 jam tertimbus dengan menyorok di bawah mejanya.
"Rakyat New Zealand sangat berbesar hati dengan sokongan pasukan pakar serta bantuan menyelamat yang berpusu-pusu tiba di negara ini selepas 24 jam bencana berlaku.
"Bantuan amat diperlukan dalam tempoh beberapa hari ini ketika kami menilai semula perkhidmatan pakar yang diperlukan untuk mempercepat lagi operasi menyelamat," kata Menteri Luar, Murray McCully.
Australia menghantar sepasukan 140 anggota terdiri daripada pakar penyelamat dan kakitangan perubatan serta hospital sementara yang dilengkapi 75 katil bagi memberikan bantuan kecemasan.
Kira-kira 300 anggota polis bakal tiba kemudian.
Singapura pula mengerahkan satu kontinjen tentera yang berada di New Zealand sebelum gempa bumi melanda serta satu kumpulan bantuan bencana seramai 55 anggota. - AFP
Penduduk India pula anjur protes
NEW DELHI 23 Feb. - Beratus-ratus ribu ahli kesatuan pernigaaan termasuk yang mempunyai kaitan dengan kerajaan berarak di jalan-jalan raya sekitar bandar raya ini bagi memprotes kenaikan harga makanan.
Demonstrasi itu merupakan gelombang terbaru siri protes di negara ini, yang sebelum ini melanda Asia Barat Timur dan Afrika utara ekoran bantahan terhadap kenaikan harga barang dunia.
India yang mempunyai ekonomi ketiga terbesar di Asia dengan penduduk berjumlah lebih satu bilion sedang bergelut menghadapi kadar inflasi makanan berganda yang memberi kesan besar kepada ratusan juta rakyat miskin di negara ini.
Pada protes anti-kerajaan yang merupakan antara terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekurang-kurangnya 50,000 orang mewakili kesatuan perniagaan yang mempunyai hubungan dengan parti politik berarak di tengah-tengah bandar raya ini menuju ke bangunan Parlimen.
Dalam lautan bendera merah dan topi yang tertera nama kesatuan, penunjuk perasaan melaung-laungkan slogan dan membawa sepanduk antaranya membawa maksud 'harga sekarang membunuh rakyat biasa'. dan meminta kerajaan memberi jaminan agar makanan mencukupi untuk semua golongan rakyat.
"Kami dibayar antara 100 rupee (RM6.74) ke 125 rupee (RM8.43) sehari. Bagaimana kami mampu hidup jika harga makanan terlampau tinggi," kata Kailash Sain yang datang ke sini dari Rajashtan di barat India.
"Kami datang ke sini agar suara kami bergema di dalam Parlimen supaya mereka dapat melihat bagaimana keperitan hidup yang sedang dilalui oleh rakyat," kata Akhil Samamtray yang berasal dari Orissa.
Penunjuk perasaan datang dengan menaiki bas dan kereta api dari seluruh negara dengan jumlahnya dijangka terus meningkat.
Setiausaha Kesatuan Perdagangan parti Kongres, PJ Raju berkata, kira-kira 100,000 ahli kongres tersebut menyertai demonstrasi itu.
Penyertaan ahli kesatuan yang mempunyai kaitan dengan parti Kongres diketuai Perdana Menteri, Manmohan Singh seakan petanda mereka turut gusar dengan polisi kerajaan yang gagal mengatasi masalah inflasi.
Kerajaan dilihat gagal membantu rakyat meskipun telah memperkenalkan polisi untuk mengekang kenaikan harga barang. Para penganalisis menganggap ia sudah terlalu lambat untuk dilaksanakan.
Salah sebuah bank terkemuka, Bank Rizab India telah menaikkan kadar faedah sehingga tujuh kali ganda setahun dalam usaha mengatasi masalah itu.
Namun, dalam masa yang sama mereka turut memberi amaran bahawa polisi fiskal akan menjadi tidak efektif untuk berdepan kenaikan harga barangan yang berpunca daripada cuaca buruk serta beberapa masalah lain dihadapi pembekal.
Protes itu sebenarnya berlaku hanya sehari setelah Manmohan cuba meredakan keadaan ekoran pendedahan pembangkang terhadap skandal penjualan lesen syarikat telekomunikasi yang membabitkan wang sogokan mencecah bilion dolar.
Skandal itu menambah tekanan ke atas Perdana Menteri berusia 78 tahun itu yang dilihat berada di penghujung kariernya. Ada yang beranggapan, pendedahan lanjut mengenai perkara itu mampu memaksanya melepaskan jawatan lebih awal sebelum pilihan raya umum pada 2014. - REUTERS
Usaha menyelamat diteruskan
CHRISTCHURCH 23 Feb. – Pekerja penyelamat New Zealand hari ini meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan berpandukan suara tangisan serta bunyi ketukan, ketika angka korban akibat gempa bumi di negara ini meningkat kepada 75 orang.
Pasukan penyelamat juga terpaksa memotong tangan atau kaki sebahagian daripada 120 mangsa bagi mengeluarkan mereka yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan, selepas gempa sekuat 6.3 pada skala Richter semalam meruntuhkan kebanyakan struktur bangunan di bandar kedua terbesar New Zealand ini.
Usaha mencari dan menyelamat turut dilakukan menggunakan tangan, bantuan anjing pengesan dan jentera berat ekoran masa yang semakin suntuk bagi mengeluarkan mangsa selepas 24 jam bencana itu berlaku.
Perdana Menteri, John Key turut mengisytiharkan perintah darurat di New Zealand ketika beratus-ratus tentera, polis dan pekerja penyelamat termasuk dari negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dikerah ke Christchurch.
Sebahagian daripada 350,000 penduduk bandar tersebut kini tinggal sehelai sepinggang dengan kebanyakan kawasan kini tidak mendapat bekalan air minum yang mencukupi serta bekalan elektrik dan talian telefon terputus.
Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker berkata, seramai 300 mangsa masih disenaraikan sebagai hilang, sementara pihak berkuasa kini telah mengecam 55 mayat dengan 20 yang lain masih belum dikenal pasti identiti mereka.
“Mayat bergelimpangan di jalan-jalan raya. Ada yang terperangkap di dalam kereta dan dihempap runtuhan bangunan,” kata komander polis, Russell Gibson kepada Radio New Zealand.
Pekerja penyelamat hari ini berjaya mengeluarkan 15 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah bangunan pejabat enam tingkat yang runtuh akibat gempa bumi semalam.
“Kami berjaya mengeluarkan mereka hidup-hidup dan kami akan mencari lebih ramai mangsa yang mungkin masih hidup,” kata jurucakap jabatan bomba kepada sebuah stesen radio.
Seorang lagi mangsa, Ann Bodkin juga berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan Pyne Gould Guinness, di sini, selepas terperangkap lebih 24 jam. – Agensi
Bahrain bebas banduan politik
MANAMA 23 Feb. – Bahrain hari ini membebaskan banduan dan tahanan politik termasuk 23 yang didakwa terlibat untuk menyingkirkan pemerintahan monarki pimpinan golongan Sunah di negara ini, kata seorang pemimpin pembangkang Syiah.
“Ini satu langkah yang bagus,” kata Ibrahim Mattar daripada parti utama Syiah, Wefaq kepada Reuters dengan menyatakan bahawa lebih 100 banduan telah dibebaskan sebelum subuh.
Tambahnya, mereka yang dibebaskan termasuklah 21 pesalah yang melakukan jenayah biasa.
Pembebasan tahanan politik merupakan tuntutan utama penunjuk perasaan yang mahukan pembaharuan politik di Bahrain, yang menyaksikan tujuh orang maut sementara beratus-ratus yang lain cedera dalam bantahan jalanan pada minggu lalu.
“Membenarkan orang ramai menjalankan protes dan membebaskan tahanan adalah satu langkah yang bagus.
“Pihak pembangkang kini menanti keluarga diraja menerima prinsip monarki Perlembagaan sebelum mereka ingin memulakan dialog,” kata Mattar.
Jelasnya, apa yang pembangkang perlukan kini adalah inisiatif kepada pembaharuan politik kerana sehingga kini Raja Bahrain, Hamad bin Issa al-Khalifa masih belum menjanjikan apa-apa. – REUTERS
Majlis Keselamatan kutuk rejim Libya
Majlis dianggotai 15 negara itu turut mendesak tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menggunakan kekerasan terhadap rakyat Libya.
Ia turut mengutuk penggunaan tentera terhadap penduduk awam dan menyuarakan kesal atas kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat yang mengadakan bantahan secara aman.
Sementara itu, negara-negara luar termasuk dari Asia hari ini bersedia membawa keluar lebih 100,000 rakyat mereka, kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar di kawasan-kawasan pembinaan yang kini terkandas di Libya.
Urusan membawa keluar semua pekerja itu menggunakan kapal, pesawat dan laluan darat ke Mesir sedang diusahakan oleh kerajaan-kerjaan terbabit ketika mereka berusaha menjamin keselamatan rakyat di negara ini di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat di negara ini serta sistem komunikasi yang terjejas.
Mereka merupakan buruh kasar dari Bangladesh (60,000), Filipina (30,000), Thailand (23,000) dan India (18,000).
China juga dilapor bersedia membawa pulang kira-kira 30,000 rakyatnya yang kebanyakannya bekerja sebagai jurutera dalam projek pelaburan minyak, jalan kereta api dan sektor telekomunikasi. - AFP
Gaddafi semakin terdesak
TRIPOLI 23 Feb. - Pemimpin veteran Libya semakin terdesak apabila beliau mengerahkan pasukan tentera termasuk menggunakan senjata berat, kereta kebal dan jet pejuang selain askar upahan untuk mematahkan pemberontakan di negaranya.
Selain itu, beliau turut menerima tekanan di peringkat antarabangsa termasuk daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah (UE) dan negara-negara lain yang mengecam tindakan kekerasan yang diambil rejimnya untuk mematahkan tunjuk perasaan rakyat Libya yang masuk seminggu hari ini.
Setakat ini, hampir 300 orang terkorban dalam tunjuk perasaan 'Revolusi 17 Februari' yang dilancarkan oleh penduduk Libya bagi mendesak Gaddafi meletakkan jawatan setelah 41 tahun memerintah negara ini.
Gaddafi turut menerima tekanan apabila Menteri Dalam Negeri Libya, Abdel Fatah Yunes mengumumkan peletakan jawatan dan meminta angkatan bersenjata Libya menyokong pemberontakan serta Duta Libya ke Indonesia, Singapura dan Brunei, Salaheddin M. El Bishari turut mengambil tindakan serupa.
Timbalan Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Dubbashi semalam berkata, beliau dimaklumkan bahawa penghapusan bangsa bermula di wilayah tersebut.
Saksi pula mendakwa rejim Gaddafi menggunakan senjata berat termasuk kereta kebal dan jet pejuang bagi mematahkan tunjuk perasaan.
Di timur Libya, pasukan tentera yang berpangkalan di wilayah itu mengumumkan berpaling tadah daripada Gaddafi dan menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan.
Di Benghazi, bandar kedua terbesar di Libya, penunjuk perasaan menyatakan bahawa mereka sudah menguasai pangkalan tentera di bandar itu juga mendakwa mereka sudah menguasai hospital di bandar itu.
Penunjuk perasaan turut mendakwa mereka sudah menguasai beberapa bandar di negara ini dengan bandar Misrata di barat Libya menjadi bandar pertama jatuh di tangan penunjuk perasaan antikerajaan setelah berlaku pertempuran antara tentera dan penyokong Gaddafi dengan penunjuk perasaan antikerajaan sejak 18 Februari lalu.
Menteri Luar Itali, Franco Frattini berkata, kira-kira 1,000 terbunuh sejak pemberontakan meletus di Libya seminggu lalu.
Di Tokyo beratus-ratus penduduk Libya menyerbu Kedutaan Libya di Tokyo.
Gaddafi muncul di televisyen semalam memberi amaran akan memburu 'musuh rejimnya' dengan mengeledah 'dari rumah ke rumah' dan memburu mereka hingga le lubang cacing. 'di setiap inci' bumi Libya. - Agensi