Pages
▼
Saturday, November 6, 2010
HIKMAH MENINGGALKAN CAKAP BOHONG
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam.
Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata : "Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu saja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahwa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?" "Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya : "Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."
Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek. "Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata : "Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya.
Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga." Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya.
Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.
Faedah Memeluk Isteri~
by Ayong Sal
Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun.
Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, fakta berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan antara sentuhan dan tahap kesihatan.
“Seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.
“Bagaimanapun, sebagai seorang Islam kita tidak harus lupa ajal dan maut terletak di tangan Allah,” katanya ketika memberi syarahan bertajuk Perkahwinan dan Seks: Penawar dan Rawatan Bagi Banyak Penyakit’ di Persidangan Ketiga Perubatan Daripada Perspektif Islam anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya di Hotel Sheraton Subang di sini hari ini.
Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan.
Jelasnya, selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w. Tambah beliau, ada kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri.
“Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan berat badan digalakkan peluk isterinya lebih kerap,” katanya disambut dengan gelak ketawa oleh peserta persidangan itu.Jelas beliau, hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk awet muda dan berketerampilan menarik.
“Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri,” kata Fadzilah.
7 Sunnah Rasulullah saw
Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Kedua: membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.
Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.
Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.
Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
Wallahualam. ..
Contoh Isteri Solehah
Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim. Perkahwinan itu direstui isteri pertama, Siti Sarah, sebagai satu usaha untuk melahirkan zuriat Nabi Ibrahim yang bakal meneruskan tugas menyebarkan agama Allah. Siti Sarah tidak mampu melahirkan anak disebabkan usianya ketika itu telah mencecah 70 tahun.
Namun, perasaan Siti Sarah berubah menjadi cemburu setelah Siti Hajar mengandung dan mengambil keputusan tidak mahu hidup bersama lagi dengan madunya. Nabi Ibrahim terpaksa mengambil keputusan untuk memisahkan antara kedua isterinya itu untuk mengelak persengketaan. Peristiwa itu sebenarnya menyimpan banyak hikmah yang telah ditentukan oleh Allah. Nabi Ibrahim mendapat wahyu agar membawa Siti Hajar dan anak yang baru dilahirkan, Nabi Ismail, menuju ke satu tempat yang amat jauh dari kampung halaman mereka di Palestin.
Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan Nabi Ismail ke satu lembah yang kering kontang dan tiada penghuni yang kini dikenali Makkah. Kedua beranak itu ditinggalkan dengan hanya sedikit bekalan makanan dan air minuman. Mereka hanya berserah kepada Allah kerana mengetahui tindakan Nabi Ibrahim itu satu perintah daripada Allah.
Siti Hajar menyedari jika itulah perintah daripada Allah, sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang taat. Namun hatinya masih tertanya-tanya hikmah di sebalik perintah Allah itu. Bayangkan perasaan Siti Hajar ditinggalkan berdua dengan anak yang masih bayi di suatu tempat yang tidak berpenghuni dan kering kontang. Pada siapakah dia harus mendapatkan pertolongan jika berlaku sesuatu perkara yang buruk kepadanya?
Dia juga sering tertanya-tanya sama ada dirinya masih berpeluang menemui suaminya yang tercinta. Sedangkan, dia tahu jarak perjalanan antara Palestin dengan Makkah pada ketika itu mengambil masa kira-kira enam bulan untuk sampai dan terpaksa melalui perjalanan yang sukar.
Siti Hajar memang merupakan wanita terpilih. Zuriatnya melalui Nabi Ismail melahirkan nabi-nabi seterusnya hinggalah Nabi Muhammad. Kecekalan dan perasaan reda berdepan dengan cabaran hidup yang sedemikian tentunya tidak pernah dilalui wanita lain.
Tidak lama selepas tinggal di lembah kontang itu, bekalan makanan dan minuman yang dibawa telah kehabisan. Lebih merungsingkan lagi apabila susu badan Siti Hajar sendiri tidak lagi keluar disebabkan keadaan badannya yang tidak mendapat makanan yang cukup. Nabi Ismail tidak dapat menyusu susu badan ibunya.
Ketika itulah Siti Hajar mula resah. Tidak sanggup mendengar tangisan Nabi Ismail akibat kehausan, Siti Hajar meletakkan Nabi Ismail di satu tempat lalu bingkas bangun mencari ke segenap tempat untuk mendapatkan air.
Siti Hajar mendaki sebuah bukit untuk meninjau dari jauh agar dapat melihat kalau-kalau ada tempat menakungkan air. Dari puncak bukit itu dia melihat dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari sekuat hati ke tempat itu agar cepat dia mendapat air itu bagi diberi minum kepada puteranya. Namun, setelah sampai di tempat itu, apa yang dilihatnya tadi hanyalah fatamorgana. Dari tempat itu pula dia melihat ada tempat lain seperti ada air bertakung. Lantas dia terus berlari ke tempat itu. Sekali lagi dia kecewa kerana apa yang dilihatnya itu juga fatamorgana. Tetapi, dilihatnya sekali lagi ada tempat seperti air bertakung. Dia terus berlari tanpa mengenal penat bagi memastikan anaknya dapat minum. Begitu besar sekali pengorbanan seorang ibu. Dia tidak sedar dirinya sendiri semakin lama tidak berdaya lagi untuk bergerak.
Tanpa disedari, Siti Hajar sebenarnya telah berulang alik antara dua bukit iaitu Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk mencari sumber air.Perlakuan Siti Hajar berlari antara Bukit Safa dan Bukit Marwah adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu untuk anaknya.
Sebagai mengingati dan menjadikan kisah ini iktibar untuk seluruh umat Islam, perbuatan Siti Hajar berlari-lari berulang-alik dari Bukit Safar dan Bukit Marwah dizahirkan ketika melakukan ibadat haji. Berlari atau berjalan bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah berulang alik sebanyak tujuh kali adalah antara Rukun Haji yang menentukan sah atau batal ibadat haji yang dilakukan. Rukun haji itu dipanggil saie yang dilakukan selepas melakukan tawaf. Kembali kepada kisah Siti Hajar, selepas dirinya tidak lagi berdaya bergerak untuk mencari air, dengan rasa hampa dan memikirkan nasib anaknya yang ditinggalkan seketika itu, dia kembali ke tempat anaknya ditinggalkan.
Nabi Ismail yang kehausan ketika ditinggalkan telah menghentak-hentak kakinya ke bumi. Dengan rahmat Allah, tempat hentakan kaki Nabi Ismail itu terpancut mata air. Melihatkan keadaan itu, Siti Hajar gembira bukan kepalang. Serta merta semangat Siti Hajar kembali pulih. Dia menerpa ke arah mata air yang terpancut itu lalu ditadah dengan tangan terus dititiskan air itu ke mulut Nabi Ismail. Ketika menadah air itulah terpancul dari mulut Siti Hajar perkataan 'zami, zami, zami yang bermaksud 'berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah'. Dari perkataan itulah lahir perkataan air zam-zam.
Tangisan Nabi Ismail reda setelah hilang hausnya. Dan dapatlah Siti Hajar pula menikmati air itu untuk mengembalikan kekuatan dirinya. Tempat air terpancut keluar itu dibuatkan takungan bagi mengumpul lebih banyak air.
Takungan air yang dibina itu bukan sahaja dijadikan sumber air minum Siti Hajar dan anaknya, tetapi dalam tempoh masa yang singkat dikesan oleh burung-burung yang berterbangan. Berkawan-kawan burung datang dan pergi silih berganti minum dan berehat di kawasan itu. Pergerakan burung itu kemudian dikesan oleh satu kabilah yang melalui kawasan itu. Mereka dapat mengagak bahawa tempat itu ada sumber air. Lantas, mereka mencari-carinya dan terjumpalah sumber air yang tidak disangka-sangka itu.
Dengan itu Siti Hajar pertama kali dapat menemui orang sejak ditinggalkan suaminya di situ. Ada kabilah menawarkan untuk membawa Siti Hajar meninggalkan tempat itu. Namun, dia tetap setia berpegang kepada perintah suaminya agar tetap tinggal di tempat itu.
Selepas peritiwa itu, kabilah-kabilah telah menjadikan kawasan Makkah sebagai laluan perjalanan untuk mendapatkan bekalan air. Setiap kali air dicedok, air yang keluar semakin banyak. Lebih menakjubkan, rasa dan khasiat air zam-zam amat istimewa berbanding air biasa.
Memandangkan ada bekalan air yang terjamin di situ, ada kabilah yang terus menetap di situ. Mereka yakin tempat itu dipenuhi dengan barakah. Tidak hairanlah jika dalam tempoh masa yang singkat sahaja, bilangan penduduk Makkah bertambah dengan mendadak.
Pengorbanan Siti Hajar wajar dijadikan contoh kepada para wanita dalam menghadapi cabaran hidup. Yang penting jangan mudah merasa kecewa dan hilang keyakinan diri apabila berdepan dengan sesuatu masalah.
Gunung Merapi mengganas
YOGYAKARTA - Angka korban Gunung Merapi di Pulau Jawa, Indonesia melepasi angka 122 orang manakala berpuluh-puluh lagi sesak nafas dan melecur selepas ia meletus semalam, kata beberapa pegawai.
Letusan kuat pada tengah malam Khamis lalu adalah enam kali ganda lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu dengan angka kematian keseluruhan setakat ini 122 orang.
Semalam, lebih 70 orang terbunuh selepas Gunung Merapi mengganas dengan menghamburkan awan panas.
Sebahagian mangsa terbaru yang mati itu ditemui anggota penyelamat sedang tidur dan bercakap menggunakan telefon.
Gunung Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini adalah gunung berapi paling aktif di Indonesia dan ia menghamburkan awan setinggi 8,000 meter.
Jurucakap Hospital Sarjito, Banu Hermawan berkata: "Kami khuatir angka kematian akan terus meningkat kerana terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat dilawati kerana abu panas dan bahang gunung berapi."
Kebanyakan mangsa yang mati adalah kanak-kanak dari Kampung Argomulyo yang terletak sekitar 18 kilometer dari kawah gunung berkenaan.
Letusan semalam dan kelmarin turut mengeluarkan awan panas yang menyebabkan sejumlah rumah di zon bahaya musnah.
Di Brongang iaitu kira-kira 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, askar-askar mengeluarkan sejumlah mayat dari rumah-rumah yang hangus dilitupi abu setebal lima sentimeter sebelum mengumpulkannya di atas beberapa buah trak.
Berpuluh-puluh mangsa yang cedera dibawa keluar dengan menggunakan pengusung.
Keadaan mereka sangat mengerikan dengan baju dan selimut hangus melekat pada kulit selepas dibakar awan panas dikenali sebagai awan piroklas dengan suhu setinggi 750 darjah Celsius yang membakar paru-paru manusia.
Seorang penduduk kampung, Niti Raharjo, 47, yang dirawat di hospital kerana melecur di kaki berkata, dia bangun dan menghidupkan enjin motosikal untuk melarikan diri bersama anak lelakinya selepas mereka dikejutkan oleh gegaran kuat semasa sedang tidur pada tengah malam kelmarin.
"Kami diselubungi hawa panas dan terdapat asap putih di merata-rata tempat. Saya melihat orang ramai bertempiaran lari manakala beberapa wanita pengsan akibat terlalu takut," ceritanya.
Gunung Merapi kerap meletus sepanjang abad lepas.
Pada tahun 1994, 60 orang terbunuh dalam tempoh beberapa hari manakala pada 1930, 12 penduduk kampung terbakar hangus dengan kematian keseluruhan mencecah 1,300 orang.
Bahaya paling dahsyat adalah awan piroklas yang bergerak di cerun selatan Gunung Merapi sejurus sebelum tengah malam semalam pada kelajuan 100 kilometer sejam.
Haba panas yang dibawa awan itu seperti pembunuh senyap yang meragut nyawa penduduk kampung ketika mereka sedang nyenyak tidur.
"Saya menemui tiga mayat iaitu seorang kanak-kanak dan bapanya yang masih terbaring di katil mereka. Mereka sedang tidur apabila awan panas melanda rumah mereka," kata seorang anggota penyelamat, Utha.
Dia menghantar 10 mayat ke sebuah hospital di sini.
"Mayat-mayat mereka melecur teruk. Kami turut menemui satu mayat seorang lelaki yang masih memegang gagang telefon," tambahnya lagi.
Setiap kali meletus, Gunung Merapi mengeluarkan abu yang melitupi setiap benda termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Abu Gunung Merapi melitupi kawasan sejauh 30 kilometer dan menghalang sinaran matahari sekali gus memaksa para pemandu memasang lampu kenderaan mereka pada waktu siang.
Seorang ahli vulkanologi yang mengkaji Gunung Merapi selama beberapa tahun berkata, beliau kini keliru untuk meramalkan aktiviti gunung berkenaan yang seterusnya.
Menurutnya, beliau tidak pernah melihat gunung berapi setinggi 2,914 meter itu begitu aktif seperti yang berlaku sekarang. - Agensi
Orang tua dari Hong Kong jadi pemuda di Kanada
VANCOUVER, Kanada - Polis menangkap seorang penumpang yang menaiki sebuah pesawat di Hong Kong sebagai orang tua tetapi semasa tiba di Vancouver dia menjadi seorang pemuda, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia ditahan pada 29 Oktober lalu selepas pesawat yang dinaikinya tiba di sebuah lapangan terbang di sini.
Satu amaran perisikan yang dikeluarkan oleh Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada yang menyatakan: "Maklumat telah diterima daripada pihak Keselamatan Penerbangan Kanada berhubung kemungkinan seorang penyamar dalam satu penerbangan dari Hong Kong.
"Penumpang itu diperhatikan dari permulaan penerbangan merupakan seorang lelaki tua Kaukasia yang didapati memiliki tangan orang muda.
"Dalam penerbangan, lelaki itu pergi ke tandas dan kemudian keluar sebagai seornag lelaki Asia berumur dalam lingkungan 20-an."
Selepas pesawat itu mendarat, lelaki yang menyamar itu diiringi oleh beberapa anggota pengawal sempadan Kanada.
Agensi itu enggan mendedahkan butiran lanjut tetapi menyatakan, lelaki itu menaiki penerbangan dengan menggunakan pas milik orang lain.
Pemuda itu memakai topeng muka silikon sebagai orang tua dan menanggalkannya semasa berada di dalam tandas pesawat.
Anggota-anggota agensi tersebut turut menemui beg yang mengandungi topeng muka silikon itu. - Agensi
Terengganu beli rumah Haji Su
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my
utusanterengganu@utusan.com.my
KUALA TERENGGANU 5 Nov. - Rumah warisan 'Haji Su' di Kampung Losong dekat sini yang bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional negeri akan dibeli dan dipulihara oleh kerajaan negeri.
Pengarah Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah memberitahu, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi tujuan itu dan kini dalam proses perbincangan akhir dengan pewaris.
Katanya, ia sebahagian daripada usaha bagi mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agak tidak lenyap begitu sahaja bersama sejarah.
''Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa membelanjakan wang membeli rumah usang ini yang hampir roboh. Ia bukan sekadar soal rumah atau tapak warisan.
''Tetapi kita sebenarnya turut membeli dan mengekalkan bersama ilmu tentang seni bina Melayu, yang melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya.
''Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rumah kepunyaan Allahyarham Su Mohammed Salleh Mohammed yang dibina pada 1850 bercirikan reka bentuk rumah Limas Belanda dan rumah Bujang Berpeleh Kembar Tiga berkait rapat dengan identiti negeri ini.
Mengikut sejarah awal, rumah berkayu cengal itu didiami semua anak Su Mohammed Salleh dan apabila anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu sahaja.
Dua buah rumah yang ditinggalkan itu merupakan rumah pasang siap dan dipercayai mampu dibina oleh hanya seorang tukang dengan mengambil kira kesesuaian alam persekitaran dan kehidupan beragama dan resam Melayu.
''Walaupun ramai yang mungkin melihat struktur rumah tersebut dari luar seolah-olah tidak berharga namun, nilai sejarah dan nilai di dalam rumah itu mendorong Muzium Negeri berusaha untuk memuliharanya bagi tatapan generasi akan datang.
''Ia rumah paling besar di penempatan itu yang masih terdapat rumah-rumah tradisional yang melambangkan taraf kehidupan keluarga yang mendudukinya pada masa silam," ujar beliau.
Katanya, selain nilai warisan yang ditinggalkan, pemilik asal rumah itu mempunyai sejarah tersendiri dan namanya diabadikan sebagai nama penempatan di situ iaitu Losong Haji Su.
''Haji Su merupakan ahli perniagaan dan pada zamannya adalah kalangan yang ternama di negeri ini.
''Allahyarham dikatakan mempunyai banyak kapal untuk urusan dagang di rantau ini malah mempunyai kapal penumpang yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Singapura,'' tambahnya.
Isterinya Seorang Khunsa
Nak share satu cerita :
Semasa Khalifah Ali r.a. memerintah maka terjadilah suatu peristiwa yg tidak pernah terjadi sebelumnya. Seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yg khunsa ( memiliki dua alat kelamin ). Sisuami juga menghadiahkan seorang jariah kepada isterinya.
Setelah beberapa lama maka isterinya yg khunsa itu pun melahirkan anak. Selepas itu tiada berapa lama timbul pula nafsu berahi wanita khunsa ini terhadap jariahnya. Akhirnya jariah inipun melahirkan anak juga. Masyarakat menjadi gempar dan peristiwa ini terus tersebar hingga sampai kepada pengetahuan Khalifah Ali.
Khalifah terus menghantar seorang pakar untuk mengesahkannya. Ternyata wanita khunsa ini mengalami haid seperti perempuan serta keluar mani dari dua alat kelaminnya. Dia boleh dijimak oleh suaminya serta dapat pula menjimak jariahnya.
Untuk menentukan jantina sebenar wanita khunsa ini Khalifah Ali tidak ketandusan akal. Beliau menghantar pakar untuk menghitung tulang rusuk wanita ini. Hasilnya ternyata tulang rusuk sebelah kiri kurang satu dari kanannya. Khalifah Ali lalu menetapkan bahawa wanita khunsa ini adalah lelaki.
Alasannya kerana ketika ALLAH menciptakan Adam yg tinggal keseorangan di dalam syurga, ALLAH lalu mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri Adam dan diciptakan Hawa daripadanya. Oleh itu tulang rusuk kiri Adam telah kurang satu. Khalifah Ali lalu memisahkan perkahwinan wanita khunsa ini dengan suaminya kerana ianya dianggap tidak sah.
Jariah=hamba perempuan